suria

HFMD Terkawal Di Sabah - Rosnah

PAPAR: Jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sabah masih terkawal, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Rashid Shirlin pada Selasa.

"Kita telah bersedia di semua peringkat negeri termasuk Jabatan Kesihatan negeri untuk membendung penyakit ini supaya tak merebak secara berterusan," katanya kepada pemberita di sini.

Pada masa yang sama, Rosnah meminta ibu bapa agar menjaga kebersihan anak-anak mereka bagi membendung wabak itu daripada berleluasa.

Media baru-baru ini melaporkan jangkitan HFMD di Sarawak meningkat secara mendadak sehingga empat kali ganda dalam tempoh tujuh minggu pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu, Rosnah yang juga Anggota Parlimen Papar berkata setakat ini, seramai 14,000 penduduk di Papar telah menerima bantuan di bawah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Parlimen Papar telah membuat pembahagian BR1M sebanyak tiga kali dan ini merupakan fasa yang ketiga untuk kawasan Parlimen ini," katanya yang ditemui selepas menyampaikan bantuan itu kepada 35 warga emas di Rumah Warga Tua Sri Pritchard di Kinarut, di sini. - BERNAMA

Artikel Lain