suria

Tengku Mahkota Pahang Mahu Kajian Terperinci Dilakukan Tangani Banjir

ROMPIN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu satu kajian terperinci dilakukan bagi menangani masalah banjir yang sering berlaku di kawasan-kawasan tertentu di negeri ini.

Baginda bertitah terdapat kawasan-kawasan tertentu di Pahang yang dilihat sering dilanda banjir yang menyebabkan ramai penduduk terjejas dan mengalami kesusahan dan kemusnahan harta benda setiap kali berlaku bencana itu.

"Satu jalan penyelesaian perlu dilakukan bagi menangani masalah itu seperti membina rumah sementara yang lebih tinggi misalnya di kawasan penempatan penduduk.

"Rumah sementara itu tidak perlu cantik tetapi ia sebagai alternatif atau persediaan kepada penduduk untuk berpindah terutamaya bagi penduduk yang tinggal jauh di pedalaman," titah baginda selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Balai Raya Telok Gading, dekat sini, di sini.

Baginda bertitah kajian terperinci termasuk membina rumah sementara itu dilihat penting bagi mengurangkan kesesakan di pusat-pusat pemindahan banjir apabila berlakunya musim banjir.

"Meskipun rumah sementara yang dibina tinggi itu bukan penyelesaian sepenuhnya kepada masalah banjir, namun ia diharap dapat mengurangkan kehadiran mangsa bencana yang ramai yang bertumpu di pusat pemindahan banjir yang terletak jauh dari penempatan mereka," katanya.

Baginda bertitah cadangannya itu lebih pada kawasan-kawasan yang sering dinaiki air setiap kali musim tengkujuh atau ketika hujan lebat yang menyebabkan berlakunya banjir kilat.

Seramai 480 orang daripada 114 keluarga kini masih ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir di daerah Rompin setakat pukul 2 petang ini. - BERNAMA

Artikel Lain