suria

Pembunuhan Banting: Kesan Darah Pada Sampel Tanah

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis di Makmal Forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa ujian terhadap sampel tanah di ladang tempat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh menunjukkan kewujudan kehadiran darah di kawasan tersebut.

Asisten Komisioner Hussein Omar Khan, 41, berkata, ujian dilakukan pada 9 dan 10 Oktober 2010 dengan bantuan pegawai-pegawai dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia yang menggali tanah sehingga mencapai kedalaman 90 sentimeter daripada permukaan.

"Sampel tanah itu diletakkan di atas meja mengikut tahap kedalaman dan ujian dilakukan pada setiap lapisan pada kedalaman 10 sentimeter. Tanah dicampurkan dengan air suling dan selepas cair akan diletakkan pada alatan yang dipanggil hemoccult sensa card bagi menguji kehadiran darah," katanya pada Rabu.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, saksi pendakwaan ke-51 memberitahu, alatan tersebut akan berubah warna daripada jernih kepada hijau atau biru sekiranya terdapat darah pada sampel yang diuji.

Hasil ujian tersebut, Hussein yang merupakan Timbalan Ketua di Bahagian Digital Makmal PDRM seterusnya mengambil 65 sampel tanah yang didapati positif untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi ujian lanjut.

Saksi juga memberitahu, beliau turut terlibat dalam pemeriksaan yang dijalankan di dasar Sungai Panchau, Banting, dekat sini pada 15 September 2010 yang menjumpai 417 serpihan tulang, tiga batang gigi, dua utas rantai, dua duit syiling, satu anak kunci, 15 kepingan logam dan empat ketulan lebur yang dipercayai emas.

Sementara itu, pada sesi pemeriksaan balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon, saksi mengakui bahawa cadangan untuk menggali tanah di kawasan ladang tersebut adalah dibuat hasil daripada inisiatif dirinya yang diutarakan kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Ishak Yaakob.

Ditanya bagaimana hemoccult sensa card berfungsi, Hussein memberitahu alatan berkenaan akan mengesan kehadiran satu komponen yang terdapat di dalam darah dipanggil hemoglobin.

Manjeet: Darah boleh ditemui pada spesies jenis apa?

Hussein: Manusia dan haiwan. Semua haiwan daripada golongan vertebrata (bertulang belakang) mempunyai darah.

Manjeet: Saya katakan ada 58,000 jenis haiwan vertebrata di dunia, seperti lembu, kambing dan ayam. Adakah ia juga mempunyai hemoglobin?

Hussein: Ya.

Pada prosiding sama, Hussein juga bersetuju dengan Manjeet bahawa beliau mempunyai pengetahuan bahawa ujian yang dilakukan oleh Jabatan Kimia terhadap sampel-sampel tersebut menunjukkan kesan negatif terhadap kesan darah.

Hussein sedang memberi keterangan terhadap seorang bekas peguam, N.Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang iaitu T.Thilaiyalagan, 20, R.Matan, 21, dan R.Kathavarayan, 31, yang didakwa atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan juga pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Semua mereka juga didakwa membunuh pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang dikatakan hilang selepas mengikut pengasas kosmetik Nouvelles Vissage itu bertolak ke Bantimg.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di ladang beralamat Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung pada Khamis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain