suria

Keluarga Aji Saregar Bersyukur Beliau Selamat

Aji Siregar Mazlan, 26, cedera di lengan kanan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki ditembak. - Foto BERNAMA
Aji Siregar Mazlan, 26, cedera di lengan kanan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki ditembak. - Foto BERNAMA
Aji Siregar Mazlan, 26, cedera di lengan kanan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki ditembak. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHARU: Keluarga kepada Aji Saregar Mazlan, jurukamera TV3 yang cedera terkena tembakan peluru sesat di Somalia, Jumaat, bersyukur beliau selamat.

"Jantung saya bagai terhenti dan air mata mula mengalir apabila mendapat berita mengatakan Aji kena tembak," kata ibunya Rohana Jamil, 50.

Beliau berkata mereka sekeluarga mulai risau apabila Aji Saregar, 27, tidak menelefon mereka.

Kerisauan itu menjadi kenyataan, katanya apabila beliau menerima panggilan telefon kira-kira jam 11.20 malam tadi daripada seorang kakitangan TV3 yang memaklumkan anaknya cedera terkena tembakan yang dipercayai dilepaskan oleh kumpulan pemberontak.

Rohana berkata sejak berangkat ke Somalia pada 28 Ogos lalu, anaknya akan menghubungi ayahnya, Mazlan Mohd Sam, 52, setiap hari pada 5 petang bagi memaklumkan keadaannya di sana.

"Setiap kali Aji telefon, dia beritahu negara bergolak itu lebih dahsyat daripada konflik di Gaza dan meminta kami sekeluarga mendoakan keselamatannya, menyebabkan saya bertambah bimbang.

"Namun semalam Aji langsung tidak menghubungi ayahnya menyebabkan saya semakin risau jika perkara buruk menimpanya," katanya di rumahnya di Jalan Bukit Kempas di sini.

Dengan linangan air mata beliau berkata beliau pada mulanya merasa amat berat untuk melepaskan anaknya mengikuti misi kemanusiaan ke negara tersebut namun anaknya banyak kali meminta kebenarannya untuk pergi ke sana.

Aji Saregar sebelum ini pernah mengikuti beberapa misi seperti di Gaza dan Kaherah.

Beliau dilaporkan cedera di tangan terkena tembakan curi yang dipercayai dilepaskan oleh kumpulan pemberotak di Mogadishu pada Jumaat malam, ketika membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Isteri (Bakti).

Namun serangan itu mengorbankan jurukamera BernamaTV, Noramfauzl Mohd Nor, 39.

Sementara itu, Mazlan bersyukur kerana anaknya kini dilaporkan stabil.

Bagaimanapun beliau bersimpati dengan nasib yang menimpa Noramfaizul.

"Esok jam 5 pagi, kami sekeluarga akan berangkat ke Kuala Lumpur kerana kesemua anggota misi kemanusiaan itu termasuk Aji dan jenazah Noramfaizul dijangka tiba jam 10 pagi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain