suria

Kastam KLIA Rampas Dadah Bernilai RM1 Juta

SEPANG: Dua cubaan penyeludupan dadah ke negara ini melalui mel dan kurier dapat dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh kurang seminggu, yang membabitkan tujuh kilogram dadah bernilai hampir RM1 juta.

Pengarah Kastam KLIA Datuk M. Govinden berkata untuk kes pertama iaitu Rabu lalu, dua bungkusan berisi skrol lukisan daripada China yang dialamatkan kepada dua alamat berasingan di Subang dan Sepang, Selangor disyaki mengandungi dadah setelah melalui imbasan di Pusat Mel dan Kurier KLIA.

"Pemeriksaan kemudian mendapati empat kilogram ketamin yang dianggarkan bernilai RM72,000 disembunyikan dalam lubang tujuh skrol lukisan tersebut, katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Govinden berkata dengan kerjasama Pos Malaysia, bungkusan itu dihantar kepada penerima yang seterusnya membolehkan dua suspek ditangkap, iaitu lelaki berumur 21 dan 49 tahun.

Beliau berkata pihaknya juga menemui sebuah beg di rumah salah seorang suspek itu yang mengandungi syabu seberat 300 gram, selain mempunyai bahagian tersembunyi di bawah beg yang dipercayai pernah digunakan untuk menyeludup dadah sebelum ini.

Bagi kes kedua, Govinden berkata pada Sabtu lalu, satu bungkusan dari India yang diikrarkan sebagai kotak barang kemas yang kosong dan dialamatkan kepada sebuah syarikat multinasional di Selangor disyaki mengandungi dadah setelah melalui mesin pengimbas.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati sebanyak tiga kilogram dadah disembunyikan di bahagian bawah lima kotak barang kemas tersebut, dengan nilai dianggarkan sebanyak RM750,000.

"Penerima bungkusan itu iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun yang juga merupakan pekerja biasa di syarikat tersebut telah ditahan semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Secara keseluruhannya, Govinden berkata untuk tahun ini sehingga semalam, sebanyak 64.37 kilogram dadah pelbagai jenis dirampas melalui 15 kes membabitkan nilai rampasan sebanyak RM5.623 juta.

Beliau berkata daripada 15 kes tersebut, lima kes melibatkan dadah jenis syabu, lima lagi melibatkan dadah jenis ketamin, tiga kes melibatkan dadah jenis Eramin 5 dan masing-masing satu untuk dadah jenis ganja dan heroin.

"Pada tahun ini banyak rampasan dadah membabitkan penyeludupan dadah melalui mel dan kurier, kebanyakan dari China dan India dipercayai kerana tidak banyak proses pengimbasan dilakukan oleh negara pengeksport dan lebih mudah untuk sesiapa sahaja menerima bungkusan yang dihantar," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain