suria

Lima Rumah Setinggan Terbakar Di Tawau

TAWAU: Lima buah rumah setinggan di Kampung Hidayat di sini musnah dalam kebakaran pada Khamis yang mengakibatkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

Laporan kebakaran diterima oleh pihak bomba kira-kira 10.28 pagi.

"Ketika kebakaran saya berada dalam bilik air dan terus membawa cucu dan anak-anak keluar menyelamatkan diri," kata seorang ibu tunggal Hugayah Ambotuo, 52, yang tinggal bersama enam orang anak dan dua cucu.

"Saya bersyukur kerana semua anak-anak dan cucu saya selamat," tambahnya.

Roslan Suddin, 46, dan isterinya Samsina Hamid, 40, yang mempunyai seorang anak juga merasa lega kerana mereka selamat.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Zon Tawau, Zougarana Konin berkata pihaknya belum mengetahui punca kebakaran.

Beliau berkata dua jentera bomba beserta sembilan angota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.

"Ketika anggota bomba tiba ditempat kejadian, tiga daripada rumah berkenaan telah musnah sama sekali," katanya. Zougarana berkata kebakaran itu merupakan yang kedua yang berlaku di Tawau dalam bulan ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain