suria

Enam Dipercayai Anggota Sindiket Samun & Dadah Ditangkap

KUALA LUMPUR: Enam orang termasuk seorang lelaki rakyat Iran yang disyaki anggota sindiket samun dan dadah diberkas dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di ibu kota awal Rabu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata kesemua suspek, yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita itu ditahan dalam serbuan pada pukul 2 pagi.

Polis merampas sepucuk pistol dan 14 butir peluru yang cuba dibuang oleh suspek dari tingkat lapan kondominium itu, katanya pada sidang akhbar di sini. Beliau berkata, turut dirampas ialah 79 gram dadah jenis syabu, beberapa telefon bimbit, spray pemedih mata, sepasang gari, wang tunai RM37,000, tiga bilah pedang, empat bilah parang, tiga bilah pisau dan sebuah kereta mewah Mercedes Benz.

Zakaria menambah, serbuan itu adalah ekoran maklumat daripada kes samun seorang remaja di Sentul dua hari lepas.

"Kami percaya wanita yang ditangkap turut terlibat dalam beberapa kejadian samun di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan penemuan pistol, peluru dan gari, polis percaya kemungkinan besar anggota kumpulan itu menyamar sebagai anggota polis ketika melakukan samun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain