suria

Usaha Basmi Kemiskinan Secara Menyeluruh Dan Bersepadu

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan menggunakan dasar dan pendekatan secara menyeluruh dan bersepadu termasuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara berkembang dengan memberangsangkan, dalam usaha membasmi kemiskinan agar sasaran miskin sifar tercapai.

Perdana Menteri berkata apabila ekonomi negara berkembang dengan baik, kerajaan dapat menyediakan banyak insentif kepada sektor swasta dan korporat, peruntukan pembangunan dan peluang niaga kepada syarikat tempatan.

"Ia sekaligus membolehkan syarikat berkenaan yang memperoleh keuntungan menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya termasuk mengeluarkan rakyat daripada belenggu kemiskinan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di majlis penyerahan kunci perumahan komuniti di Kampung Baru Salong, Chini, dekat sini, Sabtu.

Projek perumahan komuniti yang dibina di kawasan seluas empat hektar itu membabitkan 50 unit rumah tiga bilik yang lengkap dengan perabot untuk diduduki golongan asnaf yang dipilih Majlis Agama dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP).

Najib kemudiannya menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada golongan kurang bernasib baik sebelum berbuka puasa bersama penduduk di Masjid Kampung Baru Salong seterusnya mengerjakan solat Maghrib dan Isyak dan diikuti solat sunat Tarawih di Masjid Paloh Hinai, dekat sini.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain