suria

Kawasan Pelancongan Kampung Tradisi Melayu Beroperasi Bulan Depan

ALOR SETAR: Kawasan pelancongan Kampung Tradisi Melayu (KTM) yang terletak di kaki Gunung Keriang dan siap dibina setahun lepas akan mula beroperasi pada bulan depan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat India dan Pekerja Ladang Kedah M. Manikumar berkata KTM dibangunkan sebagai tempat pemuliharaan budaya tradisional masyarakat Melayu di Kedah.

"Kita akan ketengahkan budaya Melayu iaitu budaya tradisional menanam padi di sawah yang menggunakan kerbau untuk membajak sawah suatu masa dahulu. Budaya ini mungkin sudah dilupakan oleh masyarakat kini," katanya.

Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) telah menyerahkan kepada syarikat Abdul Halim Mu'adzam Shah Holding (AHMSH) untuk menguruskan operasi di kawasan pelancongan yang mengetengahkan budaya tradisi Melayu itu, katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Kedah Anuar Abdul Razak berkata projek bernilai kira-kira RM6 juta yang dibina pada Februari 2008 itu siap sepenuhnya pada Mac 2009.

"Projek ini bukan terbengkalai tetapi selepas siap pada Mac tahun lepas, tiada sesiapa menguruskan tempat itu sehinggalah pengurusannya diswastakan kepada AHMSH.

"Dalam proses penyerahan pengurusan itu, kawasan KTM ditumbuhi rumput dan lalang-lalang menyebabkan orang ramai menganggap ia terbengkalai," katanya.

Mengikut perancangan awal, KTM seluas kira-kira 10 hektar itu antara lain menempatkan beberapa buah chalet berkonsepkan rumah tradisional dan juga dewan seminar selain turut dibina sebuah auditorium daripada kilang padi.

Ia turut mempamerkan alat dan bahan tradisi termasuk makanan penduduk Kedah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain