suria

Sultan Ibrahim Mahu Kerajaan Pertimbang Ganti Tambak Johor

JOHOR BAHARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mahu kerajaan mempertimbangkan rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, Tambak Johor amat penting kepada rakyat malah institusi kesultanan Johor sejak pemerintahan terdahulu sentiasa memberi sokongan kepada usaha menaik taraf Tambak Johor.

"Jika disingkap sejak dahulu, tidak dinafikan bahawa Tambak Johor adalah amat penting kepada rakyat.

"Berdasarkan kepada kepentingan Tambak Johor kepada rakyat, maka keluarga saya sejak zaman moyang Almarhum Sultan Ibrahim sehingga ayahanda saya, Almarhum Sultan Iskandar sentiasa memberi sokongan kepada usaha menaik taraf Tambak Johor," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan bangunan JB Sentral dan melancarkan Kembara Mahkota Johor 2010, di Dewan Menunggu Penumpang, JB Sentral, di sini, hari ini.

Hadir sama isteri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Sultan Ibrahim bertitah baginda yakin seluruh rakyat terutama rakyat Johor berasa gembira dengan kejayaan pembinaan bangunan JB Sentral, namun, terdapat kekurangan kerana komponen utama bangunan itu iaitu jambatan, masih belum dilaksanakan.

Baginda bertitah, perasmian bangunan JB Sentral hari ini adalah bersejarah selepas almarhum ayahanda baginda merasmikan Bangunan Sultan Iskandar yang menempatkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, pada 1 Dis 2008.

Titah Sultan Ibrahim, baginda sendiri turut terlibat dalam memberi pandangan sehingga projek pembangunan Bangunan Sultan Iskandar, JB Sentral dan pembinaan jambatan diluluskan pada 2003.

"Apabila kerajaan mengatakan wujudnya masalah untuk mencari tapak yang sesuai dalam kawasan Johor Baharu bagi memindahkan penghuni Flet Lumba Kuda dan Bukit Chagar, maka almarhum ayahanda beta memberi keizinan agar tanah milik kesultanan Johor di Kampung Bakar Batu seluas 27 ekar digunakan secara menyeluruh bagi tujuan penduduk yang terlibat dalam projek tersebut.

"Itulah tanda sokongan pihak istana supaya projek ini dapat diteruskan demi kepentingan rakyat," titah baginda.

Sambil melahirkan penghargaan kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri atas kejayaan membangunkan Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral, Sultan Ibrahim bertitah baginda berasa bangga kerana bangunan tersebut dibina oleh kontraktor Bumiputera dari negeri ini dan siap mengikut jadual yang ditetapkan.

Baginda berharap lebih banyak projek kerajaan diberikan kepada kontraktor Bumiputera di negeri ini kerana kemampuan mereka terbukti dalam membangunkan projek mega. - BERNAMA

Artikel Lain