suria

Malaysia-AS Kongsi Pendirian Sama Mengenai Kekejaman Israel Terhadap Kapal Bantuan Ke Gaza - Jamaludin

ROMPIN: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berkongsi pendirian yang sama berhubung isu kekejaman tentera Israel terhadap misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang membabitkan sukarelawan dari negara ini baru-baru ini.

Duta Malaysia ke AS Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis berkata, sehubungan itu, hubungan Malaysia-AS tidak terjejas di mana kedua-dua negara mengutuk keras tindakan kejam rejim Zionis itu.

"Dasar luar AS kini telah banyak berubah sejak pentadbiran Presiden Barack Obama termasuk berhubung isu terbaru di Gaza itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rompin Fest 2010 di Pantai Hiburan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan tentera Israel yang menyerang kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza iaitu Mavi Marmara menyebabkan beberapa aktivis dari Turki dibunuh pada 31 Mei lepas.

Anggota Parlimen Rompin itu berkata, dasar luar AS kini semakin terbuka sejak Obama mengambil alih pentadbiran.

"Walaupun keterbukaan itu tidak berlaku secara drastik namun ia semakin menerima pandangan dunia terutama negara-negara Islam berhubung isu-isu antarabangsa," katanya.

Jamaludin berkata, ketika pertemuan Obama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Washington baru-baru ini, Obama melahirkan hasrat untuk mewujudkan semula rundingan damai di antara Israel dan Palestin.

Menurutnya, perkara itu jelas membuktikan Presiden AS itu mahu melihat perdamaian di antara kedua-dua negara berkenaan walaupun akur Israel juga mempunyai dasar luarnya sendiri yang tidak mudah untuk dicampuri oleh pentadbiran AS. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain