suria

Ganjaran RM5,000 Untuk Sesiapa Beri Maklumat Kegiatan Curi Pasir Di Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menawarkan ganjaran RM5,000 kepada Ketua Kampung, Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan penjawat awam negeri yang berjaya melumpuhkan kegiatan mencuri pasir di negeri itu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ganjaran itu adalah sebagai insentif kepada mereka yang membantu kerajaan negeri membanteras kegiatan yang merugikan rakyat itu.

"Bagaimanapun, mereka hanya boleh menuntut ganjaran itu jika menahan suspek dan jentera berat yang dipercayai digunakan oleh sindiket mencuri pasir.

"Syarat-syarat dan peraturan pemberian ganjaran tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Khalid berkata, penjualan pasir secara sah setakat ini hanya menguasai 25 peratus daripada pasaran yang bernilai kira-kira RM25 juta di negeri Selangor.

Beliau yakin jika kegiatan mencuri pasir berjaya dibanteras, Kerajaan Negeri dapat mengutip hasil sehingga RM75 juta setahun.

Beliau juga menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai salahguna kuasa dan rasuah di Selangor supaya tampil membuat laporan.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata. kerajaan negeri mengarahkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), anak syarikat kerajaan Selangor dan pemegang konsesi perlombongan pasir, mengemukakan senarai gaji dan bayaran bonus petugasnya untuk dikaji.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) diberitahu petugas KSSB mendapat dua bulan bonus pada Disember 2008, walaupun syarikat itu baru sahaja beroperasi selama empat bulan mulai Sept 2008.

Pengerusi bukan eksekutif syarikat itu Abdul Shukor Nahor yang memberi keterangan kepada jawatankuasa itu dilaporkan berkata, petugas itu termasuk anggota lembaga pengarah KSSB juga menerima tambahan empat bulan bonus antara Januari hingga Jun 2009.

Shukor berkata, bonus itu diberikan berdasarkan sasaran pendapatan syarikat dan bagi memberi motivasi kepada petugas untuk bekerja keras. - BERNAMA

Artikel Lain