suria

Tabung Bantu Koperal Jenain Subi Dilancar

PETALING JAYA: Bagi membantu nasib Koperal Jenain Subi - anggota polis yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, selepas tertembak mangsa pada 26 April lalu - penulis blog Kickdefella melancarkan kutipan derma bagi membiayai kos perbicaraan defendan demi mendapatkan keadilan di mahkamah.

Kickdefella atau Syed Azidi Syed Abdul Aziz dalam entrinya baru-baru ini memberitahu, walaupun sebelum ini keluarga Jenain, 48, menolak untuk menerima sebarang sumbangan namun dia diberi kebenaran untuk melancarkan kutipan bagi membantu Jenain dan keluarganya.

"Saudara Jenain beberapa kali menolak dengan penuh hormat dan terharu usaha pembaca blog ini untuk turut menghulurkan sumbangan kepada mereka namun saya telah diberi kebenaran untuk menggerakkan satu bentuk kutipan bagi membantu keluarga koperal kita bagi mendapatkan keadilan," katanya di sini.

Dia memberitahu, keluarga Jenain terpaksa menggunakan kesemua wang simpanan mereka bagi membayar wang ikat jamin berjumlah RM10,000 sebelum ini.

Dalam pada itu, Syed Azidi berpendapat, melakukan kesilapan sewaktu menjalankan tugas adalah lebih produktif berbanding malas melakukannya kerana takut melakukan kesilapan.

Katanya lagi, seorang yang rajin bekerja akan lebih mudah terdedah melakukan kesilapan berbanding mereka yang tidak melakukan sebarang kerja.

"Insiden ini hendaklah menjadi penanda aras buat pihak berkuasa untuk memastikan kesilapan dalam melakukan tugas dapat dikurangkan tetapi bukan dengan kaedah yang merendahkan moral anggota yang menjalankan tugas," jelasnya.

Minggu lalu, Jenain didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menembak pelajar tingkatan tiga, Aminulrasyid sehingga membawa kepada kematiannya.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Anggota polis itu didakwa di bawah Seksyen 304 Kanun Kesiksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Jika disabitkan kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum sehingga 30 tahun.

Hakim M. Gunalan mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dan menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh sebutan kes.

Aminulrasyid mati ditembak dalam insiden polis peronda mengejarnya sejauh enam kilometer pada 26 April lalu di Seksyen 11 di sini selepas mangsa enggan memberhentikan kenderaannya.

Sementara itu, akaun Kelab Penyokong Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sosial Facebook yang antara lain dibuka sebagai tanda sokongan kepada Jenain sehingga pukul 8 malam ini menerima 20,002 hit.

Jenain memperoleh banyak komen-komen positif daripada pengunjung sebagai tanda sokongan kepadanya yang rata-ratanya berpendapat bahawa koperal terbabit hanya melaksanakan tugasnya sebagai anggota PDRM.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian kepada akaun Maybank Jenain Subi 162106273888.

Artikel Lain