suria

Pendekatan 1Malaysia Ikut Sunnah Rasulullah, Kata Saifuddin

KUALA LUMPUR: Pendekatan Gagasan 1Malaysia, yang diilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah mengikut sunnah Rasulullah s.a.w yang bertindak menyatupadukan umat Islam dengan kaum-kaum lain yang terdapat di Madinah ketika berhijrah dari Mekah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata perkara itu dizahirkan dalam gagasan Piagam Madinah atau Sahifah Madihah.

"Datuk Seri Najib punya banyak pilihan untuk dijadikan kandungan utama ucapan sulungnya itu. Tetapi, beliau menggunakan pendekatan perpaduan, iaitu selaras dengan sunnah Rasulullah tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak pembangkang yang mempertikaikan konsep 1Malaysia pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

"Paling mengecewakan adalah kenyataan Ketua Pembangkang sewaktu membahaskan Titah Di Raja di Dewan Rakyat semalam. Beliau mengaitkan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri dengan konsep 1Israel yang menurutnya dipopularkan oleh Ehud Barak sewaktu kempen Pilihan raya Israel pada tahun 1999," katanya.

Saifuddin berkata hujah yang bersifat "teori konspirasi" yang sering digunakan pembangkang juga menggambarkan kedangkalan pemikiran mereka untuk menolak gagasan 1Malaysia.

"Kita dahagakan pertikaian yang konstruktif daripada mereka bukannya dakwaan-dakwaan yang tidak berasas sama sekali," katanya.

Beliau mempersoalkan justifikasi pembangkang untuk mendakwa 1Malaysia ditiru daripada konsep 1Israel sedangkan pendekatan sedemikian telah banyak digunakan oleh negara-negara lain untuk menyatupadukan rakyat masing-masing.

"Kalau dilihat sejarah, pendekatan ini telah lama dimulakan oleh Maharaja Shih Huang Ti sekitar 210 BC untuk menyatupadukan empayar China sebagai 'unified states' melalui konsep 'All Nation Under Heaven'," katanya.

Saifuddin berkata contoh lain ialah, sewaktu menjadi tuan rumah Piala Dunia Ragbi pada tahun 1995, Nelson Mandela ketika menjadi Presiden Afrika Selatan, telah menggunakan sukan tersebut di bawah konsep "1 Sport 1 Nation" untuk menyatupadukan kaum kulit putih dan kulit hitam.

Malah, katanya, Kesatuan Eropah (EU) juga menggunakan konsep "1 Europe 1 Currency" untuk menyatupadukan anggotanya bagi menerima matawang Euro pada tahun 1999.

Beliau berkata pendekatan menyatupadukan bangsa dan negara ini tidaklah eksklusif hanya kepada Israel.

"Kalau diamati, 1Malaysia juga tidak hanya berkisar tentang soal menyatu padukan rakyat kerana rakyat telah bersatu padu sejak kita merdeka lagi.

"Sebenarnya, 1Malaysia diilhamkan untuk mengangkat tahap perpaduan negara ke tahap seterusnya iaitu memperkukuhkannya lagi," kata Saifuddin. - BERNAMA

Artikel Lain