suria

263 Kes ILI Dikesan Dari 21-27 Februari

KUALA LUMPUR: Seramai 263 pesakit baru dengan simptom Penyakit Serupa Influenza (ILI) dimasukkan ke hospital sepanjang tempoh dari 21 hingga 27 Februari lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata dalam tempoh yang sama juga 272 pesakit telah discaj keluar.

"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga 27 Februari lepas adalah sebanyak 355 kes di 40 buah hospital kerajaan dan empat buah hospital swasta.

"Daripada jumlah tersebut hanya 17 pesakit atau 5.1 peratus merupakan kes Influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata sehingga 27 Februari lepas jumlah terkumpul kes positif H1N1 adalah 12,456 dan lapan kes H1N1 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana lima daripadanya mempunyai faktor risiko.

Dr Mohd Ismail berkata lima kejadian kluster ILI dilaporkan sepanjang minggu lalu iaitu masing-masing satu kes di dua kem PLKN PLKN Benom Hill, Raub yang melibatkan 18 pelatih dan kem PLKN Etnobotani di Gua Musang yang melibatkan 39 pelatih.

Kejadian kluster ILI lain ialah masing-masing satu kes di Syarikat HLM Autopart KIP Kepong yang melibatkan 11 pekerja, Kolej CIAST Seksyen 19 di Shah Alam yang melibatkan 19 pelajar dan Kampung Sawah Batu di Pekan yang melibatkan lapan penduduk Orang Asli.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar terus berwaspada dan sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan H1N1 yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan, katanya.

Dr Mohd Ismail berkata suntikan vaksin kepada kumpulan berisiko tinggi mendapat jangkitan H1N1 telah bermula minggu lepas dan orang ramai yang dikategorikan sebagai kumpulan sasar berkeutamaan boleh mendapatkan suntikan di 104 fasiliti kerajaan yang dikenal pasti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain