suria

Polis ambil dokumen bedah siasat Kugan dari PPUM

KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil beberapa dokumen berkaitan keputusan laporan bedah siasat kedua kes kematian suspek curi kereta mewah A. Kugan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata dokumen itu diambil dari PPUM untuk dijadikan bahan bukti dalam siasatan polis.

"Memang pagi tadi ada beberapa pegawai penyiasat dari Bukit Aman dan Selangor telah datang ke PPUM untuk mengambil beberapa dokumen berkaitan bedah siasatan kedua yang dilakukan oleh PPUM.

"Kita buat tindakan itu berdasarkan susulan laporan (Jawatankuasa Bebas) yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican hari ini terhadap punca sebenar kematian Kugan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Jawatankuasa Bebas mengenai kes kematian Kugan mendapati kematian Kugan adalah disebabkan oleh masalah paruparu berair akibat radang jantung dan ia diburukkan lagi dengan pukulan bertalutalu dengan objek tumpul di bahagian belakang badannya. Katanya polis bertindak mengambil beberapa dokumen yang berkaitan dari PPUM selepas mendapati wujudnya percanggahan keputusan bedah siasat kedua dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Bebas berkenaan.

"Daripada hasil keputusan Jawatankuasa Bebas terbabit ternyata kita dapat lihat wujudnya keraguan dalam laporan bedah siasat kedua terbabit," katanya.

Laporan bedah siasat kedua yang dikeluarkan pada 2 Mac lepas oleh PPUM menunjukkan Kugan mengalami 45 kesan kecederaan akibat hentakan benda tumpul secara berterusan pada beberapa bahagian badan.

Bedah siasat kedua yang dijalankan oleh pakar patologi PPUM turut menunjukkan kematian Kugan adalah akibat daripada kecederaan pada tisu otot di samping kecederaan lain termasuk di bahagian hati, buah pinggang, perut, leher, tulang belakang dan bahagian kaki.

Kugan, 22, suspek kumpulan samun dan curi kereta mewah, yang direman pada 15 Jan lepas, meninggal dunia semasa dalam tahanan polis di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya pada 20 Jan lepas.

Bedah siasat pertama di Hospital Serdang mendapati punca kematiannya ialah akibat paruparu berair.

Namun, ekoran permintaan keluarganya yang tidak berpuas hati dengan hasil bedah siasat itu kerana terdapat kesan kecederaan pada mayat, bedah siasat kali kedua dijalankan oleh pakar patologi forensik PPUM, Dr Prashant Samberkar pada 25 Jan lepas. BERNAMA

Artikel Lain