suria

Penyokong dan perayu undi diingat kawal emosi - SPR

SUNGAI PETANI: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berharap supaya penyokong dan perayu undi parti politik di luar pusat pengundi mengawal emosi mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Keadaan di dalam pusat mengundi berjalan dengan lancar tetapi di luar pusat mengundi, nampak tidak terkawal daripada segi emosi mereka," katanya kepada pemberita ketika melawat pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ria Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata kegagalan mengawal emosi itu boleh mengganggu dan menghilangkan minat pengundi untuk keluar mengundi sekaligus menyebabkan peratusan keluar mengundi menurun.

"Ini merupakan satu gangguan terhadap kelancaran proses pengundian daripada segi pengundi keluar mengundi.

"Tak ada siapa yang untung. Parti politik juga rugi sebab orang tak mahu keluar mengundi," kata Wan Ahmad.

Tinjauan Bernama mendapati polis mengenakan kawalan ketat di semua kawasan pusat pengundian bagi memastikan para penyokong Barisan Nasional (BN) dan parti-parti pembangkang tidak bertembung.

Jentera pilihan raya BN dan PKR ternyata mendominasi suasana di pusat-pusat pengundian dengan puluhan perayu undi kedua-dua parti memenuhi khemah masing-masing berhampiran pusat pengundian.

Keriuhan penyokong kedua-dua parti itu menyebabkan perayu-perayu undi bagi calon Bebas "tenggelam" dan tidak mampu menarik minat para pengundi untuk singgah di pondok-pondok panas mereka.

Tinjauan juga mendapati beberapa buah pusat pengundian mendapati perayu undi calon Bebas begitu sedikit malah terdapat pondok panas kosong.

Pegawai perhubungan polis, Supt Hamzan Darus berkata setakat ini tiada insiden buruk dilaporkan berlaku kerana polis memberikan kawalan keselamatan mencukupi di semua pusat pengundian.

Sementara itu, Penolong pengurus I Ladang Bukit Hijau bahagian Petani Para, Ezzaruddin Rapar berkata pengurusan ladang memberi kelonggaran kepada lebih 100 pengundi di tiga bahagian ladang milik syarikat Sime Darby untuk keluar mengundi.

"Selain memberi cuti kepada pekerja yang memohon, mereka juga diberi pelepasan untuk bekerja sehingga pukul 11.30 pagi. Selepas waktu itu mereka dibenarkan keluar mengundi," katanya. BERNAMA

Artikel Lain