suria

Najib mampu memantapkan ekonomi negara, kata Dr Mahani

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak, yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara tidak lama lagi, mampu membawa Malaysia menangani krisis ekonomi global yang sedang melanda dan seterusnya mencapai pertumbuhan yang mantap.

"Berdasarkan kepada apa yang saya dilihat dalam beberapa minggu ini, termasuklah Mini Bajet, saya mempunyai harapan besar bahawa beliau boleh menangani dan membawa Malaysia kepada satu pertumbuhan ekonomi yang lebih mantap," kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Dr Mahani Zainal Abidin.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat media tentang kesimpulan yang dicapai melalui "Kaji Selidik Ekonomi dan Sosial Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Pasifik Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UNESCAP) 2009 di sini hari ini.

Najib, selaku Menteri Kewangan, telah membentangkan pakej rangsangan ekonomi kedua atau pun Bajet Mini bernilai RM60 bilion yang akan dilaksana dalam tahun 2009 dan 2010.

Ia belum pernah dilaksanakan dalam sejarah ekonomi negara, dengan RM15 bilion untuk suntikan fiskal, RM25 bilion dana jaminan, RM10 bilion pelaburan ekuiti dan RM7 bilion inisiatif kewangan swasta dan cadangan luar bajet.

Baru-baru ini beliau juga menjelaskan bahawa Malaysia akan menggunakan kelembapan ekonomi dunia semasa sebagai batu loncatan untuk membentuk model ekonomi baru dengan menggunakan pengetahuan sebagai penerajunya.

Negara akan melabur dalam pendidikan dan teknologi serta terus mengukuhkan kemampuan negara untuk meneraju dalam sektor teknologi maklumat, tenaga diperbaharui dan ekonomi baru yang baru muncul.

Dr Mahani berkata Najib menampakkan kesungguhan untuk melancarkan program baru dan memperkenalkan sistem pelaksanaan yang lebih kukuh serta mengetengahkan idea yang diperlukan untuk mewujudkan ekonomi yang lebih kompetitif dan berdaya saing.

"Ini menjadi petanda dan menunjukkan kesungguhan beliau untuk menangani permasalahan ekonomi kita," katanya.

Beliau berkata later belakang dalam bidang ekonomi juga akan membolehkan Najib begitu akur dan faham tentang cabaran ekonomi negara.

Dr Mahani juga berpendapat bahawa Najib akan terus mengadakan ekonomi yang lebih berdaya saing melalui liberalisasi.

Najib barubaru ini telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menghalusi cadangan liberalisasi sektor perkhidmatan yang dikira penting dalam usaha menjana pertumbuhan ekonomi lebih tinggi menerusi penubuhan jawatankuasa kabinet mengenai liberalisasi sektor ini.

Beliau berkata kerajaan berharap dapat mengembangkan sektor perkhidmatan negara supaya dapat menyumbang sehingga 70 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti yang dicatatkan oleh negaranegara maju.

"Saya rasa ini langkah yang berpandanan dengan apa yang akan berlaku di peringkat global di mana kita perlu memantapkan lagi pertalian antara Malaysia dengan ekonomi global dan salah satu cara adalah memastikan kita boleh beroperasi dengan cara yang lebih efektif," katanya.

Dr Mahani juga mencadangkan supaya diadakan sistem yang lebih liberal dan responsif kepada perubahan harga semasa dan mahu melihat Najib mengadakan ekonomi lebih terbuka bukan sahaja di luar negara tetapi juga dalam negara.

"Contohnya, memberi perhatian tentang sistem kawalan harga dalam negara," katanya lagi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain