suria

Tahanan ISA tidak dinafikan hak mengundi

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah menafikan hak tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mengundi pada pilihan raya umum.

Hakim Zulkefli Ahmad Makinuddin berkata bukan menjadi tanggungjawab SPR untuk memastikan tahanan di pusat tahanan boleh mengundi pada hari mengundi kerana Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa setiap warga negara berusia 21 tahun, bermastautin dalam satu bahagian atau kawasan pilihan raya serta berada dalam senarai daftar pemilih adalah layak untuk mengundi.

Katanya perayu ditahan di bawah ISA di Pusat Tahanan Kamunting dan tidak dibenarkan keluar dari pusat itu dan oleh demikian adalah menjadi luar bidang kuasa SPR untuk menghalang perayu untuk mengundi di kawasan pilihan raya masing-masing.

Katanya walaupun SPR mempunyai budi bicara yang luas dan tanpa had untuk membuat peraturan bagi membolehkan perayu mengundi tetapi apa jua undang-undang yang SPR gubal tidak boleh melanggar peruntukan Akta ISA 1960.

"Selain itu, peraturan yang dibuat mesti selaras dengan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan khususnya warga negara melaksanakan hak dan tanggungjawabnya sebagai pengundi di mana beliau didaftar sebagai pemilih. Zulkefli (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Low Hop Bing dan Datuk Zainun Ali, membuat keputusan itu ketika mendengar rayuan oleh 22 tahanan ISA terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman penolakan hak mereka oleh SPR untuk mengundi pada pilihan raya umum ke11 pada 2004.

Zulkefli dan Low menolak rayuan itu dengan kos manakala Zainun membantah. Kesemua 22 tahanan tersebut ialah Yazid Sufaat, Nik Adli Nik Abdul Aziz, Ahmad Yani Ismail, Zainon Ismail, Abd Samad Shukri Mohamad, Abu Bakar Che Doi, Mat Sah Mohd Satray, Md Lotfi Ariffin, Idris Salim, Muhamad Zulkepli Md Isa, Mohd Sha Sarijan, Solehan Abdul Ghafar, Abdul Murad Sudin, Mohd Rafi Udin, Nordin Ahmad, Asfawani Abdullah @ Ab Wahab, Roshelmy Md Sharif, Alias Ngah, Suhaimi Mokhtar, Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria, Mat Salleh Said dan Khairuddin Saad.

Mereka mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa hak asasi di bawah Artikel 119 untuk mengundi pada pilihan raya umum telah dinafikan dan telah diingkari oleh SPR.

Kesemua mereka ditahan kerana didakwa terbabit dalam kumpulan Jemaah Islamiah dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

Peguam tahanan tersebut, Edmund Bond, berkata beliau akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan. Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi bertindak bagi pihak SPR.

Mengenai pertikaian perayu bahawa SPR boleh memasukkan mereka sebagai pengundi pos, Zulkefli berkata oleh kerena mereka bukan pengundi pos, maka tidak ada pelanggaran hak mereka apabila SPR tidak memberikan mereka kertas undi pos.

Low, dalam penghakimannya, berkata semua tahanan ISA, diberi layanan saksama berhubung pelaksanaan hak mereka di bawah Artikel 119.

"Diskriminasi boleh wujud jika tahanan ISA lain diberi kemudahan mengundi dan perayu dinafikan atau enggan diberi kemudahan seperti itu. Bagaimanapun, ini tidak terjadi dalam hal ini," katanya.

Zainun, yang membenarkan rayuan itu, berkata SPR dengan kuasa yang diberikan di bawah Akta Pilihanraya 1958, boleh memastikan hak asasi pengundi untuk mengundi boleh dipelihara bagi meningkatkan proses demokrasi.

SPR, yang tidak membuat sebarang aturan atau mewujudkan sebarang situasi untuk perayu menunaikan hak itu, telah mengingkari tanggungjawab itu kerana tidak ada peruntukan dalam ISA yang mencegah atau menghalang perayu daripada mengundi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain