suria

Tafsir & Taksir

SEKALI lalu kata tafsir dan taksir kedengaran hampir-hampir sama bunyinya. Sehingga demikian keraplah orang salah menggunakan kedua-dua patah kata tersebut.

Kata tafsir digunakan dengan maksud taksir dan sebaliknya. Hal ini tidak berlaku jika kita memahami erti kedua­-dua kata tersebut.

Maksud kata tafsir atau tafsiran yang pertama bererti "keterangan yang  menjelaskan ayat-ayat Quran". Namun, tafsir lain daripada terjemahan.

Selain itu, kata tafsiran dapat juga bererti "pengertian, pemahaman, pendapat dan juga ulasan".

Dalam bentuk kata kerjanya, kata tafsir dapat  menjadi menafsirkan dan ditafsirkan.

Contoh penggunaan kata tafsir, tafsiran, menafsirkan dan ditafsirkan adalah seperti yang berikut ini:

1. Penceramah itu membacakan ayat-ayat Quran berserta dengan tafsirnya sekali.

2. Dengan membaca kitab tafsir itu, saya dapat memahami maksud ayat-ayat Quran.

3. Tafsiran saudara tentang perubahan sikapnya itu belum tentu benar.

4. Tidak semua orang dapat menafsirkan undang-undang.

5. Madahnya sukar sekali untuk ditafsirkan.

Kata  taksir  pula  bererti  "kira atau nilai". Perbuatan menaksirkan sesuatu biasanya berlaku untuk menentukan harga atau nilai barang  itu.

Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut ini:

1. Saya tersalah taksir sehingga buku itu saya jual dengan harga yang murah sekali.

2. Sebelum kereta lama itu saudara beli, mintalah pihak yang berkuasa menaksirnya lebih dahulu.

3. Barang kemas yang hilang itu ditaksirnya berharga seribu ringgit.

4. Taksiran pihak bomba tentang harta yang musnah dalam kebakaran itu belum diketahui.

5. Penduduk kampung ini ditaksir berjumlah dua ribu orang.

Sekarang, perhatikanlah penggunaan kedua-dua patah kata itu dalam ayat yang berikut ini:

1. Di surau itu diadakan kelas tafsir Quran pada setiap malam Jumaat.

2. Tafsiran yang kamu berikan tentang peribahasa itu kurang tepat.

3. Ahli-ahli sejarah Barat menafsirkan penentangan orang-orang Melayu terhadap penjajah Inggeris sebagai penderhakaan.

4. Cubalah saudara taksir cincin ini.

5. Rumah itu perlu ditaksir oleh firma penilai yang sah.

6. Menurut taksiran saya, rumah yang terbakar itu berharga lima puluh ribu ringgit.

7. Jangan salah taksir; kelak kamu kerugian.

8. Puas saya mencuba menafsirkan sajak itu tetap gagal.

9. Jika tersalah tafsir, saudara mungkin sesat daripada ajaran yang sebenarnya.

10. Niat saya yang baik ditafsirkannya sebagai niat buruk.

Sumber: Awang Sariyan, 2008, Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar, Edisi Kedua, Petaling Jaya; Pearson Longman.

Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama DBP.

Artikel Berikut

Artikel Lain