suria

Kekeliruan Menggunakan Kata 'Rasmi' dan 'Resmi'

BERBANDING dengan  kata rasmi, kata resmi dapat dikatakan lebih dekat dengan penutur yang bahasa ibundanya ialah bahasa Melayu.

Hal ini demikian kerana kata resmi ada digunakan dalam beberapa banyak peribahasa yang merupakan cerminan masyarakat Melayu zaman silam. Perhatikanlah penggunaan kata resmi dalam contoh-contoh peribahasa yang berikut ini:

1. Baik membawa resmi padi, jangan membawa resmi lalang.

2. Jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin tegak.

3. Baik membawa resmi ayam betina, supaya tidak ada bencana.

4. Bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk.

Begitulah kata resmi digunakan orang dahulu kala dalam peribahasa. Sebaliknya, saya tidak menemukan kata rasmi digunakan dalam peribahasa. Tetapi, hal ini tidak sepatutnya dijadikan ukuran tentang kata mana yang lebih "Melayu", kata rasmi atau kata resmi. Hal ini demikian kerana kedua-dua patah kata ini telah menjadi sebahagian daripada kosa kata bahasa Melayu.

Saya tidak bercadang untuk membincangkan hal itu. Sebaliknya, yang hendak saya ketengahkan dalam bab ini ialah kecenderungan  pengguna bahasa Melayu menggunakan kata rasmi dengan maksud resmi dan sebaliknya. Kekeliruan  daripada  segi penggunaan kata ini dalam ayat berlaku kerana bunyi dan ejaannya yang hampir sama. Namun, kekeliruan ini tidak akan berlaku sekiranya pengguna bahasa  Melayu tahu akan makna kedua-dua patah kata itu.

Kata rasmi mendukung makna "sesuatu yang telah disahkan oleh pihak yang bertanggungjawab".

Kata ini dapat dibentuk menjadi kata kerja merasmikan dan kata nama perasmian yang membawa makna yang berbeda. Kata merasmikan bererti "mengumumkan dengan rasmi, mengesahkan" manakala  kata perasmian bererti "perbuatan merasmikan;pengumuman;yang rasmi; pengesahan".

Contoh penggunaan kata rasmi,merasmikan dan perasmian adalah seperti yang berikut ini:

1. Kenyataan rasmi Perdana Menteri tentang isu tersebut telah pun diedarkan kepada wartawan.

2. Yang akan merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ialah Menteri Pelajaran bukan Menteri Pengajian Tinggi.

3. Dewan badminton yang baru dirasmikan oleh Menteri Besar itu akan mula digunakan pada bulan depan.

4. Perasmian Kembara Merdeka dilakukan secara serentak di seluruh negara.

Kata resmi pula bererti "sifat asal atau sifat semula jadi bagi sesuatu atau seseorang". Kata ini tidak membentuk kata terbitan yang lain. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut ini:

1. lkutlah resmi bijak pandai yang lebih banyak berfikir daripada berkhayal.

2. Jangan ditiru resmi padi hampa, semakin lama semakin mendongak.

Jelas bahawa makna kata rasmi dan resmi amat berbeda. Oleh itu, kata-kata itu tidak harus salah digunakan. Janganlah hendaknya ada kalangan anda yang menuliskan atau mengungkap ayat seperti yang berikut ini:

1. Kenyataan resmi Perdana Menteri tentang isu tersebut  telah pun diedarkan  kepada wartawan.

2. Yang akan meresmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ialah Menteri Pelajaran, bukan Menteri Pengajian Tinggi.

3. Dewan badminton yang baru diresmikan oleh Menteri Besar itu akan mula digunakan pada bulan depan.

4. Peresmian Kembara Merdeka dilakukan secara serentak di seluruh negara.

5. lkutlah rasmi bijak pandai yang lebih banyak berfikir daripada berkhayal.

6. Jangan ditiru rasmi padi hampa, semakin lama semakin mendongak.

Kalau hal itu berlaku, anda bukanlah pengguna bahasa rasmi negara ini yang baik tetapi  tidak  lebih daripada  burung kakaktua yang resminya mengajuk kata yang dituturkan orang walaupun kata itu salah dan mengelirukan pendengar.

Sumber: Awang Sariyan, 2008, Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar, Edisi Kedua, Petaling Jaya; Pearson Longman.

Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama DBP.






Artikel Lain