'Lengkung' dan 'Lingkung' Bunyi Hampir Sama Tetapi Tetap Berlainan

Diterbitkan: Jumaat, 16 Mei 2014 1:11 PM

(Ubah saiz teks)

KATA lengkung dan lingkung hampir sama saja bunyinya dan kerap diertikan sama  oleh  sebilangan  orang.  Namun, kedua-dua  patah kata itu sebenarnya mempunyai  erti  yang berlainan.

Kata lengkung bererti "keluk atau sesuatu yang berkeluk seperti busur panah", misalnya lengkung jambatan, lengkung langit  dan sebagainya. Daripada kata lengkung timbullah kata melengkung yang bererti "berkeluk seperti atau berbentuk  seperti  busur". 

Contohnya, terdapat pada ungkapan alisnya melengkung. Kemudian ada juga kata melengkungkan yang bererti "kerja  menjadikan  sesuatu  supaya  melengkung". Kata lengkungan pula bererti "bidang atau sisi yang melengkung".

Sementara itu, kata lingkung bererti "sekeliling, sekitar atau  seluruh suatu  lingkaran". Daripada  kata itu timbul  kata  melingkungi yang bererti "mengelilingi", "melingkari", "mengurungi", dan "meliputi". Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut ini:

1. Pagar buluh melingkungi rumahnya.

2. Kain bersulam melingkungi  lukisan itu.

3. Bintang melingkungi bulan.

4. Barisan Nasional melingkungi beberapa parti politik.

Kemudian, ada juga kata terlingkung yang bererti "termasuk dalam daerah kekuasaan dan sebagainya". Contohnya:

5. Malaysia  terlingkung  dalam Asia Tenggara.

Kata lingkungan  pula bererti "bulatan yang melingkari sesuatu", "kalangan", "sekalian yang termasuk dalam sesuatu daerah atau kekuasaan". Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut  ini:

6. Hal ini di luar lingkungan kuasa saya.

7. Perebutan kuasa berlaku dalam lingkungan parti itu sendiri.

8. Ia termasuk dalam lingkungan orang  yang taat.

Sekarang, perhatikanlah contoh lain penggunaan kata yang tepat berkaitan dengan kata yang sedang kita bincangkan:

1. Bentuk lengkung menjadi pilihan pemilik rumah sekarang ini.

2. Apabila  terkena   panas,  logam  itu pun mengembang lalu melengkung.

3. Bangunan besar itu dilingkungi  pagar berduri.

4. Pulau Jawa terlingkung dalam Kepulauan Indonesia.

5. Lengkungan pelangi yang beraneka warna amat menakjubkan.

6. Rotan harus dipanaskan supaya mudah dilengkungkan.

7. Para penonton melingkungi pertunjukan silap mata itu.

8. Tasik yang indah itu kelihatan seakan-akan suatu lengkunga apabila dilihat dari udara.

Sumber: Awang Sariyan, 2008, Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar, Edisi Kedua, Petaling Jaya; Pearson Longman.

Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama DBP.

Tags / Kata Kunci: Lengkung , Lingkung , keluk , lingkaran

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan