Cocok Dan Cucuk

Diterbitkan: Isnin, 24 Februari 2014 7:05 PM

(Ubah saiz teks)

KATA cocok merupakan kata yang sudah sekian lama digunakan oleh masyarakat Melayu di negara ini untuk maksud “tusuk”.  Jadi, mencucuk  bererti “menusukkan sesuatu benda yang tajam hujungnya (seperti jarum, duri, dan sebagainya)”.  Ada juga benda yang bernama cucuk seperti cucuk sanggul, cucuk hidung (pada lembu dan sebagainya).  

Selain itu, kata cucuk digunakan juga sebagai penjodoh bilangan bagi benda (makanan) yang bercucuk seperti secucuk sate, lima cucuk bebola ikan, dan sebagainya. Dalam makna yang lebih luas lagi, daripada kata cucuk timbul pula kata bercucuk tanam yang bererti “mengusahakan tanah, ladang, atau sawah dengan menanam tumbuhan yang dapat dimakan atau dijual”.

Namun demikian, apabila masuk kata cocok sebagai pengaruh bahasa Indonesia, banyak anggota masyarakat di sini yang gemar menggunakannya tetapi sebilangan mereka menggunakannya secara serampangan saja.  Misalnya, sering kita dengar orang mengucapkan atau menulis kedua-dua kata itu seperti dalam ayat di bawah ini:

1 Pendapatnya sangat cucuk dengan fikiran saya.

2 Sikap yang anda ambil kurang secucuk dengan kehendak umum.

3 Pasangan itu secocok benar.

Fahamkah anda akan makna kata cocok? Kata cocok bererti “sama benar”, “tepat”, “sesuai”, “seimbang”.  Oleh sebab kata cocok di sini lebih dihubungkan orang dengan kata sesuai, maka ada orang yang menambahkan se pada kata cocok lalu menjadi secocok supaya kelihatan ada persamaan bunyi awal dengan kata sesuai.

Hal ini sesungguhnya tidaklah benar kerana se pada kata sesuai bukanlah awalan, melainkan sebahagian kata dasar.  Jadi jika awalan se ditambahkan pada kata cocok (yang sudah sedia bermakna “sesuai”), maka haruskah pula diberi awalan se pada kata sesuai lalu menjadi sesesuai?

Dengan demikian, penggunaan kata cucuk (ayat 1), secucuk (ayat 2), dan secocok (ayat 3) hendaklah digantikan dengan kata cocok.

Sekarang, perhatikanlah penggunaan kata cocok dan cucuk yang tepat dalam ayat-ayat yang berikut ini:

1 Keterangan saksi itu cocok benar dengan keadaan yang sebenarnya.

2 Buku itu tidak cocok dibaca oleh anak kecil.

3 Pekerjaannya cocok dengan kelulusannya.

4 Anda terpaksa dicucuk supaya dapat menahan serangan virus.

5 Calar-calar badan saya tercucuk duri sewaktu lalu di belukar itu.

6 Hadiah yang diterimanya itu cocok dengan jasanya selama ini.

7 Ubat itu nampaknya kurang cocok.

8 Janganlah terlalu lurus bagai lembu dicucuk hidungnya.

9 Jamuan bermula dengan beberapa cucuk sate.

10 Kata-katamu tidak cocok dengan perbuatanmu.

> Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur



Tags / Kata Kunci: cocok , cucuk , penjodoh bilangan , awalan

iklan

Video

Selasa, 24 Oktober 2017 4:12 PM

Mujur Tak Kena Langgar

Selasa, 24 Oktober 2017 2:47 PM

Nampak Mayat Bergelimpangan...

Selasa, 24 Oktober 2017 9:00 AM

Jom Santai Tajul & Ruhainies Gamat!

Selasa, 24 Oktober 2017 8:30 AM

Penangan Ketam Raja

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Kolumnis

iklan

Iklan