Tiba Masanya Kita Membantu Seseorang!

Diterbitkan: Jumaat, 27 Oktober 2017 9:30 AM

Dr Esther Michael

(Ubah saiz teks)

SETIAP kali membaca berita, hati ini pasti sedih dan gusar. Setiap hari pasti ada berita melibatkan golongan muda ditahan atas kesalahan jenayah atau nyawa yang melayang kerana perkara yang remeh-temeh.

Tajuk-tajuk berita yang banyak berkisar tentang masalah anak muda jelas mengecewakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sehinga beliau memohon peruntukan agenda sosial dalam Bajet 2018 bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan dan mencegah gejala sosial anak muda di negara ini.

Tambah Khairy, pengukuhan sistem pendidikan dan pengetahuan agama sahaja tidak mencukupi untuk membanteras isu seperti penagihan dadah dan keruntuhan institusi kekeluargaan.

Kurang 24 jam selepas itu, Tan Sri Lee Lam Thye turut mengulas isu yang sama.

Beliau menegaskan, kadar jenayah yang tinggi, dadah, rasuah dalam sektor awam dan swasta, masalah disiplin di sekolah, ponteng, buli dan budaya ganas perlu ditangani segera.

Mesejnya sangat jelas: Masanya sudah tiba untuk meningkatkan kualiti hidup dan menangani beberapa trend negatif sebelum situasi menjadi semakin buruk.

Saya memang setuju kini tiba masanya untuk kita mengubah cara berfikir dan mengambil pendekatan yang lebih proaktif.

Selain bajet dan agenda baharu untuk memperbaiki masalah belia di Malaysia, saya juga menggesa agar kita tidak lupa tentang hati dan perasaan.

Kita perlu meletakkan diri dalam posisi orang muda dan memahami apa sebenarnya yang telah hilang dalam diri mereka.

Kehidupan telah mengajar saya bahawa tiada cara penyelesaian mudah atau satu cara sahaja tidak mampu menangani semua masalah yang timbul pada hari ini.

Datang daripada keluarga biasa, ia mengajar saya bahawa pendidikan adalah saluran utama untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan mengubah kehidupan.

Saya juga memilih laluan itu untuk membina harapan dan membentuk kehidupan baharu.

Saya bersyukur apabila kini saya mampu mengecapi kemewahan dan boleh menggunakannya untuk memberi kegembiraan kepada orang lain.

Itu semua adalah berakar umbi daripada kerja-kerja kemanusiaan yang menjadi minat dan keutamaan saya.

Saya berasa cukup bersyukur mempunyai sumber yang cukup untuk menubuhkah Help Somebody.

Help Sombedy memberi tumpuan untuk membantu seseorang yang memerlukan dengan kehadiran sukarelawan daripada pelbagai bidang untuk membantu komuniti ini.

Kami juga memberi fokus kepada aspek kesihatan, pendidikan, kemahiran hidup dan membasmi kemiskinan.

Apabila mendapat peluang melakukan sesuatu perubahan positif terhadap orang tertentu, walaupun tidak banyak, ia mampu 'membuka mata' kami.

Kanak-kanak yang tidak memiliki apa-apa, termasuklah peluang bersuara biasanya memang berkeinginan untuk berubah jika diberi peluang.

Mereka ada alasan tersendiri untuk keluar dari kesusahan hidup dan mengubah nasib.

Selain agenda untuk membantu mereka, saya juga mahu lebih ramai individu tampil sebagai sukarelawan dalam komuniti ini. Jadi, kita boleh bekerjasama untuk membantu anak muda.

Walaupun terdapat banyak organisasi yang ditubuhkan untuk membantu golongan muda, mereka sukar untuk melakukan kerja kerana kurangnya sukarelawan, khususnya sukarelawan yang sebaya dengan golongan yang mahu dibantu.

Terdapat banyak penyelidikan antarabangsa mendedahkan bahawa kesukarelawanan muda mampu memberikan manfaat kepada pemberi dan juga penerima ((https://www.unce.unr.edu/publications/files/cd/2003/fs0323.pdf).

Untuk menangani masalah orang muda, sukarelawan yang sebaya sememangnya sangat diperlukan. Ini kerana mereka lebih memahami apa yang berlaku.

Kita sememangnya berupaya untuk membantu golongan muda. Kita tidak boleh sekadar duduk dan menunggu pihak kerajaan sahaja menyelesaikannya.

Malah, kita sebenarnya mampu untuk menggerakkan satu perubahan. Jika anda adalah ibu-bapa, saya menyeru anda memberikan peluang kepada anak-anak untuk membantu membina Malaysia yang lebih baik.

Jika anda adalah anak muda, yakinlah bahawa anda boleh membantu dengan apa jua cara sekalipun.

Bukalah hati dan luangkan masa untuk memberi senyuman kepada orang lain. Anda amatlah penting, begitu juga mereka.

Masa depan belum pasti lagi, tetapi yang pasti masa depan adalah apa yang kita bina hari ini.

Dr Esther Michael adalah duta Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan pengasas bersama Help Somebody, sebuah komuniti  yang ditubuhkan untuk berhubung dengan masyarakat dan menggerakkan perubahan ke arah yang lebih baik dalam sesebuah komuniti.

Help Somebdoy kini disertai hampir 300 sukarelawan dari Kuching, Miri, Kuala Lumpur dan Moscow.

Tags / Kata Kunci: Dr Esther Michael , Help Somebody , TN50

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan