Pelaksanaan EIS Untuk Kebaikan Semua

Diterbitkan: Rabu, 16 Ogos 2017 2:46 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) mungkin masih baharu di Malaysia, tetapi ia sudah dilaksanakan di kebanyakan negara.

Thailand dan Vietnam merupakan antara negara Asean pertama yang melaksanakan EIS. 

Kanada, Chile, China, Jepun dan Korea Selatan di rantau Asia Pasifik turut melaksanakan EIS.

EIS mula mendapat perhatian apabila beberapa majikan membangkitkan kebimbangan mereka menerusi media berhubung kekurangan peluang untuk berbincang dan bertemu dengan pihak berkepentingan.

Bagaimanapun, Kementerian Sumber Manusia melaporkan bahawa tidak kurang dari 78 sesi pertemuan telah diadakan, tidak termasuk lawatan sambil belajar ke Jepun, Korea Selatan, dan Thailand untuk mengetahui dan memahami sistem operasi dan pelaksanaan EIS.

Demi memastikan semua pihak menerima idea EIS, kerajaan menangguhkan bacaan Rang Undang-undang (RUU) kali kedua ke sesi Parlimen pada Oktober.

Kini, lebih banyak masa diperuntukkan untuk bertemu pihak berkepentingan, dengan maklumat daripada orang dalam memberitahu media Cina bahawa cadangan peruntukan bulanan (1% daripada majikan dan pekerja) mungkin akan diturunkan kepada 0.4%.

Pada 1 Ogos lalu, RUU telah dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dan dijadualkan dilaksanakan pada tahun depan.

Ia akan diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pembayaran akan diberikan mulai 2019.

Beberapa hari lepas, Richard dan tiga ahli kabinet iaitu Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Paul Low mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan untuk melakukan rundingan sekali lagi.

"Rundingan tersebut berhasil. Kami mencapai persetujuan dan akan memberi maklumat lebih terperinci tidak lama lagi.

“Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kami ingin semua pihak untuk memahami dan memberi sokongan bagi memastikan pelaksanaan EIS berjalan lancar demi kebaikan semua,” kata Richard kepada The Star.


Pelaksanaan tersebut bakal memberikan kebaikan kepada majikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan pekerja.

Apakah matlamat sebenar EIS memandangkan kira-kira 6.5 juta pekerja swasta akan menerima kesannya?

Secara ringkas , EIS mencadangkan bantuan kewangan tambahan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan sehingga maksimum enam bulan dan kemudian mencari kerja baharu.

Mereka mempunyai tempoh selama 60 hari untuk menghantar surat permohonan kepada Perkeso bagi mendapatkan faedah tersebut.

Antara objektif EIS adalah menyediakan perlindungan pendapatan dan meningkatkan kadar pengambilan pekerja yang terpaksa diberhentikan (retrenchment).

Pekerja yang berhenti kerja secara sukarela dikecualikan.

Ia juga menyediakan program penempatan semula pekerjaan seperti pencarian kerja, suai padan kerja, penempatan kerja dan bantuan pergerakan pekerja.

Menurut Kementerian Sumber Manusia, dengan pelaksanaan EIS, ia akan memberi manfaat sosio-ekonomi yang penting kepada perniagaan, masyarakat dan negara.

Kerajaan juga mampu memastikan kestabilan ekonomi sekiranya berlaku kemerosotan dan pengurangan kos skim bantuan rakyat.

Selain itu, ia turut menyaksikan kestabilan sosial dalam masyarakat menerusi pengurangan kadar protes, keganasan dan jenayah.

Menurut Perkeso, khidmat penggajian dan program latihan EIS akan memastikan pelaksanaan yang lebih berkesan demi memenuhi kehendak dan keperluan, yang menjadikan pengeluaran tinggi dan pengurusan lebih baik dalam pasaran buruh.

Sistem tersebut bertindak sebagai rangsangan dan penstabilan ekonomi, terutama semasa kemerosotan ekonomi.

Bagi menyokong dasar ekonomi terbuka, pelaksanaan EIS ini merupakan persediaan penting dalam pasaran buruh Malaysia untuk menghadapi cabaran sosio-ekonomi, terutama kesan negatif Revolusi Industri Keempat.

EIS juga merupakan penampan keselamatan bagi komuniti perniagaan terhadap ketidaktentuan ekonomi.

Sementara itu, Richard berkata, kementerian menyedari tentang kenaikan kos bagi menjalankan perniagaan.

“Tetapi terdapat juga keperluan untuk menyediakan jaring keselamatan sosial kepada pekerja yang diberhentikan dengan menyediakan gantian sumber pendapatan sementara dan carian pekerjaan,” katanya.

EIS terdiri daripada dua komponen iaitu Insurans Pekerjaan dan Dasar Pasaran Buruh Aktif (ALMP).

Insurans pekerjaan menyediakan pendapatan sementara untuk membantu memenuhi keperluan asas pekerja yang diberhentikan.

ALMP menyediakan khidmat carian pekerjaan, kaunseling dan penempatan kerja serta latihan kemahiran pekerja untuk meningkatkan tahap kemahiran bagi memudahkan untuk mencari kerja lain.

Pekerja yang kehilangan kerja kerana diberhentikan dan tiada pilihan untuk berhenti, serta majikan yang menghadapi masalah seperti muflis dan penutupan perniagaan akan dilindungi di bawah sistem EIS.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan