Malaysia Hos Program Transformasi Sosial Unesco

Diterbitkan: Isnin, 20 Mac 2017 10:50 AM

(Ubah saiz teks)

MINGGU yang sibuk buat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang giat dalam kempen anti pelaku seksual menerusi seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!!, baru-baru ini.

Namun beliau tetap bertenaga dan teruja menghadiri acara lain kerana yakin untuk menangani cabaran sosial yang kita hadapi.

Rohani memainkan peranan penting dalam membawa mesyuarat Pengurusan Program Transformasi Sosial (MOST) Unesco ke Kuala Lumpur dari 14 Mac sehingga 23 Mac, sekali gus meyakinan pertubuhan itu untuk mengadakan mesyuarat buat pertama kali di luar Paris, Perancis.

Program MOST merupakan program sains antara kerajaan kelolaan Unesco, dan Rohani merupakan Presiden Majlis Antara Kerajaan bagi Pengurusan Program Transformasi Sosial (MOST IGC) dari 2015 sehingga 2017.

Mesyuarat MOST bakal menghimpunkan penyelidik dan pembuat dasar, dan banyak kertas akademik akan dibentangkan. 

“Objektif utama program ini adalah untuk merangka dasar  keterangan-bermaklumat menerusi penyelidikan sains sosial.

“Kemudiannya, menerusi keputusan kajian, dasar negara perlu dibentuk. Ia perlu ada kaitan antara penyelidikan dan dasar,” kata Pengarah Sektor Sains Kemanusiaan Divisyen Transformasi Sosial dan Dialog Antara Budaya Sosial Unesco, Bardach Dendev.

Tambah Dendev, salah satu objektif utama program MOST adalah menekankan kepada kerajaan mengenai pentingnya penyelidikan sains sosial dalam pembentukan dasar.

Matlamat ini mendorong Rohani untuk membawa mesyuarat MOST ke Malaysia.

Terdapat empat peringkat mesyuarat MOST akan diadakan di Kuala Lumpur – Biro Majlis Antara Kerajaan, Majlis Antara Kerajaan, Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan untuk Forum Pengurusan Rantau Asia Pasifik dan Forum Menteri-Menteri Asia Pasifik, melibatkan 75 negara.

“Mesyuarat MOST akan menghimpunkan penyelidik dan pembuat dasar kerana banyak perkara yang yang perlu dilaksanakan. Ini bukan semata-mata soal penyelidikan tetapi juga memerlukan bukti berasas supaya dasar boleh dibentuk,” kata Rohani sambil menambah bahawa ia merupakan platform yang penting untuk bertukar pengalaman dan amalan kejayaan dalam dasar-dasar negara.

Beliau turut menekankan bahawa ia bakal menjadi peluang yang tidak ternilai buat penyelidik tempatan dan kementerian lain untuk belajar daripada delegasi dan penyelidik antarabangsa yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

Dari kiri,  Rohani, Dendev dan Crowley yang percaya peranan penting MOST adalah untuk menghubungkan hasil penyelidikan berasaskan pengetahuan dengan dasar nasional bagi menangani cabaran sosial. 

Selain itu, penganjuran mesyuarat MOST adalah mengenal pasti jurang penyelidikan yang diperlukan untuk dasar sosial dan menyediakan peluang bagi mempengaruhi debat antarabangsa dan pembentukan dasar.

MENGAITKAN SAINS DAN DASAR

Bagaimanapun, tugas paling penting bagi program MOST adalah menghubungkan pengetahuan dan tindakan, sains kepada dasar-dasar.

“Kunci kepada MOST adalah membolehkan pengetahuan yang dihasilkan oleh sains sosial manusia untuk digunakan bagi menyokong dasar, ia juga bermatlamat mengubah dunia kepada yang lebih baik. Maka perlunya sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Perhimpunan Agung PBB pada 2015 menerima pakai agenda untuk 2030 dan agenda bagi tempoh 15 tahun akan datang, mengenai menjadikan dunia lebih baik,” jelas Ketua Seksyen Penyelidikan, Dasar dan Visi, Divisyen Transformasi Sosial dan Dialog Antara Budaya Unesco, John Crowley.

“Bagi kebanyakan cabaran yang dihadapi dunia, menggunakan sains sosial dan kemanusiaan adalah penting. Maka, apabila kerajaan, bandar-bandar, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat ingin bertindak melaksanakan agenda  untuk menjadikan dunia lebih baik menjelang 2030, mereka sebenarnya boleh berbuat demikian dengan bergantung kepada bukti, pengetahuan, perkara-perkara yang teliti dan bukan pada prasangka, akal atau apa sahaja berita yang ditonton pada malam sebelumnya, atau apa yang diberitahu jiran-jiran di dalam bas.”

Majlis Antara Kerajaan MOST mengenal pasti lima keutamaan yang perlu ditangani dalam tempoh lima tahun akan datang. Ia merupakan lima bidang transformasi sosial di mana negara-negara anggota merasakan MOST benar-benar boleh melakukan perubahan.

Lima bidang tersebut adalah penyertaan sosial, perubahan alam sekitar, penghijrahan, keamanan dan tadbir urus, dan transformasi digital. Dalam menangani isu-isu ini, prinsip bimbingan MOST adalah memahami perubahan sosial dengan pengetahuan berasaskan saintifik.

“Kita perlu memahami apakah yang berlaku untuk bertindak terhadapnya.

“Semua orang mengetahui bahawa transformasi digital adalah mengubah dunia, tetapi bagaimana sebenarnya dan apa akibatnya, dan apakah yang boleh dilakukan mengenainya menerusi dasar-dasar negara? Untuk itu, kita perlu menggerakkan banyak pengetahuan dan mewujudkan ruang untuk perbincangan antara kerajaan,” ujar Crowley.

MASYARAKAT INKLUSIF

Mesyuarat MOST di Kuala Lumpur bertemakan ‘Membina Masyarakat Inklusif’, sejajar dengan Agenda Matlamat Pembangunan Lestari 2030. 

Berdasarkan tema itu, terdapat tiga sub tema dikenal pasti iaitu inovasi sosial, memperkasakan wanita dan penuaan.

"Dalam banyak bidang yang kita bincangkan - penyertaan sosial, penghijrahan, perubahan alam sekitar, keamanan, teknologi digital - cabaran masyarakat cuma dapat dicapai dengan gabungan idea-idea baru dan cara-cara baru untuk melaksanakan sesuatu. Ia sebenarnya apa yang mahu dibincangkan dalam forum peringkat menteri bagi melihat bagaimana kita mengamalkannya pada masa akan datang," kata Crowley.

Beliau berkata, inovasi sosial merupakan masyarakat mencari cara-cara baru dalam melakukan sesuatu dan mungkin melibatkan gajet serta teknologi baharu, yang melibatkan pemikiran.

Satu contoh yang baik inovasi sosial ialah pembangunan pembiayaan mikro, iaitu pinjaman sejumlah kecil wang tidak bercagar kepada orang memerlukan bantuan. 

Ia merupakan idea yang tidak memerlukan teknologi baharu tetapi ia mengubah kehidupan.

Rohani berkata, penuaan merupakan sub tema untuk Malaysia.

“Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang 2035, maka kita perlu bersiap sedia sekarang. 

“Kami tidak mempunyai banyak maklumat atau pangkalan data mengenai dunia penuaan. Ia merupakan mesyuarat yang baik untuk perkongsian maklumat antara penyelidik tempatan dan antarabangsa," kata Rohani yang berhasrat untuk mengubah minda rakyat Malaysia mengenai penuaan.



Beliau mahu rakyat memikirkan tentang penuaan yang aktif, di mana rakyat masih sihat dan aktif selama bertahun-tahun walaupun selepas umur persaraan.

Kita mempunyai dasar negara dan pelan tindakan untuk membantu warga emas menjadi aktif dan menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Rohani bagaimanapun berkata masih terdapat banyak perkara yang perlu dikaji semula.

Menghadapi penuaan adalah satu isu yang dihadapi semua di seluruh dunia. 

Menurut Crowley, kita perlu memikirkan semula cara kita melihat penuaan.

"Idea di mana anda boleh menggunakan penuaan sebagai proksi untuk ketidakupayaan adalah tidak benar atau ia tidak pernah benar.
 
"Daripada melihat umur, kita perlu melihat kapasiti rakyat secara langsung dan apa yang mereka boleh lakukan untuk masyarakat dan ini bermakna tidak memikirkan penuaan dari segi orang lama tetapi memikirkan penuaan sebagai proses kehilangan kapasiti sosial pada kadar yang berbeza untuk kumpulan masyarakat yang berbeza.

"Oleh itu, penuaan bukanlah mengenai orang-orang tua, sebaliknya ia mengenai penyertaan sosial, bagaimana anda mengambil bahagian dalam masyarakat. 

“Dan apabila anda memasukkannya ke dalam istilah-istilah itu, anda mula menyedari bahawa ia merupakan satu cabaran dasar yang rumit, tetapi juga terdapat peluang yang besar buat orang-orang yang lebih tua untuk menyumbang lebih banyak kepada masyarakat," katanya.



Rohani yang bersetuju mengenai hal itu, mengenal pasti keperluan untuk melihat semula terhadap program kementeriannya bagi menampung data dan pola baharu, seperti jangka hayat wanita yang lebih lama.

"Itulah sebabnya penting untuk menghimpunkan semua pihak. Anda belajar, anda tidak perlu mencipta semula roda tetapi menerima pakai roda dan meneruskannya,” kata Rohani.

"Mencipta semula roda mengambil masa terlalu lama, jadi apa sahaja kerja-kerja penyelidikan yang telah dilakukan boleh disesuaikan dan diterima pakai, maka anda lebih pantas."

Tags / Kata Kunci: MOST , Rohani Karim , Unesco

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan