Langkah Bantu Ahli KWSP

Diterbitkan: Sabtu, 19 Disember 2015 1:30 PM

(Ubah saiz teks)

CIRI-CIRI baru dalam talian dijangka dilancarkan pada 2017 bagi membantu ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memahami dan menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.

Ketua Jabatan Pengurusan Strategi KWSP, Balqais Yusoff, berkata ciri laman mikro itu akan membolehkan kontraktor mengira bajet mereka berasaskan pendapatan yang diperoleh selain mengetahui nilai bersih mereka.

“Laman mikro ini akan dimuatkan dalam laman web korporat KWSP dan turut disertakan dengan nasihat serta tips mengenai perancangan persaraan.

“Menerusi ciri baru ini, kami ingin menggalakkan orang ramai memberi tumpuan terhadap perancangan persaraan mereka dan mengamalkan tabiat baik seperti membuat simpanan awal dan mempunyai sumber dana berlainan untuk keperluan kecemasan,” katanya.

Balqais berkata, ahli KWSP boleh mengisi templat, berdasarkan kedudukan kewangan mereka.

“Kami sedang membincangkan usaha ini secara terperinci, tetapi ia masih dalam rangka kerja dan harap-harap ia bersedia dilancarkan pada 2017,” tambahnya lagi.

Sambil menjelaskan bahawa inisiatif itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial KWSP, Balqais berkata, badan itu mahu menghulurkan bantuan tambahan bagi membantu pencarumnya.

“Khidmat Nasihat Persaraan KWSP turut disediakan secara percuma kepada orang ramai bagi menggalakkan mereka mengawal kewangan persaraan mereka.

“Mereka juga boleh mendaftar untuk membuka i-Akaun supaya mereka boleh memeriksa akaun mereka secara dalam talian, setiap masa, di mana-mana saja, seterusnya menjimatkan tenaga dan masa berbanding datang ke kaunter untuk transaksi,” katanya.

Balqais menambah lagi bahawa pengguna juga boleh memeriksa sejarah transaksi menerusi i-Akaun mereka.

“Dengan lebih banyak e-perkhidmatan disediakan, ahli i-Akaun boleh melakukan macam-macam dan berpeluang memberikan maklum balas kepada KWSP, katanya.

“Menjelang 2017, sebahagian elemen transformatif dijangka dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan kepada ahli-ahli kami,” katanya.

Buat masa ini, dianggarkan kira-kira 1.4 juta ahli KWSP mempunyai i-Akaun.

Sehingga Oktober tahun ini, KWSP mempunyai seramai 14.4 juta ahli, dengan 6.7 juta ahli aktif atau membuat caruman sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan terakhir.

Selain itu, Balqais juga mengesyorkan supaya mereka yang berada dalam sektor tidak formal atau mereka yang bekerja sendiri berdaftar dengan Skim Persaraan 1Malaysia, yang melihat kerajaan menawarkan caruman bersesuaian kepada ahli.

Caruman seperti itu mencapai sehingga maksimum RM120 setahun atau 10% daripada caruman tahunan, yang mana lebih rendah.

Pada masa sama, Balqais yang turut memberikan sedikit nasihat kepada ahli KWSP muda, berkata KWSP menggalakkan mereka supaya merancang persaraan mereka lebih awal sebaik melangkah ke alam pekerjaan, dan mempunyai sumber pendapatan pelbagai, seperti skim persaraan swasta atau lain-lain, yang boleh membantu meningkatkan aset serta pendapatan pasif mereka.

“Pelbagaikan portfolio dan pastikan kamu mempunyai perlindungan yang cukup untuk menampung kos kesihatan atau waktu sukar,” katanya.

“Secara ideal, orang ramai sepatutnya mempunyai pendapatan persaraan sebanyak 60% hingga 70% daripada purata gaji atau gaji terakhir yang diperolehi bagi mengekalkan gaya hidup selepas persaraan.”

Balqais, bagaimanapun menekankan kepada semua pencarum bahawa “KWSP bukan satu-satunya penyelamat” pada peringkat usia emas mereka kerana caruman yang dibuat tidak sepatutnya menjadi simpanan tunggal mereka.

“Ahli sepatutnya mempunyai pilihan lain bagi membantu mereka kekal bertahan. Rekod kami menunjukkan bahawa hanya 33 peratus daripada ahli mencapai asas simpanan minimum mengikut kumpulan umur dalam akaun mereka, berdasarkan kepada garis kemiskinan iaitu RM820 sebulan.

“Selain itu, jangka hayat kita turut mencatatkan peningkatan. Dengan hanya menggunakan simpanan KWSP saja, tidak mencukupi sebagai sumber pendapatan dalam pada jangka hayat kita meningkat. Menjelang 2030, satu daripada tiga orang dijangka menjangkaui usia 100 tahun,” katanya.

Kerana itu, beliau menggalakkan warga emas bekerja semula jika mereka berasa berupaya untuk bekerja dan inginkan simpanan persaraan tambahan.

Mereka yang berminat dengan Khidmat Nasihat Persaraan KWSP, boleh menghubung pusat talian KWSP di 03-8922 6000. Selain melayari laman web rasmi KWSP untuk maklumat lanjut atau pendaftaran i-Akaun di alamat: www.kwsp.gov.my.


Tags / Kata Kunci: KWSP , i-Akaun

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan