Pokai, Ramai Bergelut Mengimbangkan Perbelanjaan

Diterbitkan: Khamis, 17 Disember 2015 2:27 PM

(Ubah saiz teks)

DEMI memiliki kereta yang nampak hebat, Leong (bukan nama sebenar) membuat pinjaman RM10,000 daripada peminjam wang untuk mengubah suai keretanya. Sekalipun, ketika itu dia sebenarnya menganggur.

Keretanya itu disaluti cat berkilat, enjin berkuasa tinggi dan sistem bunyi yang hebat.

Malangnya, keluarga Leong pula yang terbeban kerana terpaksa membayar pinjaman berkenaan.

Semuanya gara-gara pemuda berusia 27 tahun itu tidak mampu untuk membayar balik pinjamannya dan kini, disebabkan tindakannya yang terburu-buru, boros dan terlalu mengikut kehendak hati, ahli keluarganya terpaksa membuat bayaran atau berdepan kemarahan peminjam wang terbabit.

Abang sulung Leong, yang mahu dikenali sebagai King, 30, berkata keadaan itu menyukarkannya untuk membuat simpanan masa depan kerana pendapatannya terpaksa digunakan bagi membantu membayar hutang adiknya.

"Ia alasan yang bodoh. Dia hidup di luar kemampuannya. Dia fikir dia boleh mendapatkan kembali duit dengan menyertai lumba haram, tetapi dia gagal," kata King yang juga pensyarah.

King berkata, walaupun setakat ini keluarganya dapat bertahan, ada kalanya mereka bergelut dengan masalah kewangan terhad.

"Saya menghabiskan RM1,500 untuk sewa, RM700 bagi bayaran balik pinjaman kereta, RM700 untuk minyak dan kira-kira RM400 bagi bil internet serta telefon bimbit.

"Selain itu, saya terpaksa membayar hutang along ini," katanya.

Kisah mengenai King dan Leong menyedihkan, tetapi itulah hakikatnya dan pada masa ini, kejadian seumpama itu banyak terjadi serta kerap didengar.

Walaupun sebabnya mungkin berbeza-beza, masih ramai rakyat Malaysia yang membiarkan diri mereka dibelenggu bebanan hutang yang tinggi. Dan kebanyakan mereka kemudian mendapati diri mereka `terjerat’ selepas mengambil jalan singkat untuk membuat pinjaman wang daripada along.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, kes membabitkan pinjaman along yang dikendalikannya kini semakin meningkat sejak dua tahun lalu.

Malah, katanya, angka pinjaman yang dibuat juga dilihat semakin besar.

Pada 2013, Bironya menerima 576 kes, membabitkan jumlah pinjaman sebanyak RM45.5 juta. Jumlah itu semakin meningkat kepada 609 kes membabitkan jumlah pinjaman RM92.175 juta, tahun lalu.

"Tahun ini, saya mengendalikan 516 kes, dengan jumlah pinjaman kepada RM67 juta, sehingga kini. Kebanyakan mereka terbabit dalam hutang kerana berjudi dalam talian dan kegagalan untuk membayar semula pinjaman perniagaan.

"Dan, sudah tentu, kebanyakan peminjam ini hidup di luar kemampuan mereka," katanya.

Chong berkata, berdasarkan pemerhatiannya, apabila berlaku kelembapan ekonomi, kebanyakan mereka tidak mampu membayar ansuran pinjaman, dengan sebahagian mereka beralih kepada perjudian untuk cuba mendapatkan wang tambahan.

"Apabila mereka menang, mereka enggan berhenti berjudi dan kerana itu mereka akan hilang semuanya, pada akhirnya.

"Apabila ini berlaku, mereka akhirnya membuat perjanjian dengan along," katanya.

Menurut Chong lagi,  ada juga kes membabitkan kontraktor yang meminjam wang daripada along kerana tidak mampu membayar upah pekerja mereka.

"Ramai juga yang datang meminta bantuan saya kerana mereka menghadapi masalah untuk membayar hutang kad kredit," katanya.

Dengan memberi perumpamaan `seperti merompak Peter untuk membayar Paul,’ Chong berkata, peminjam terbabit kemudian akan meminjam along untuk membuat bayaran kepada bank.

Chong, yang mengendalikan aduan mengenai pinjaman ah long sejak 1987, berkata, orang ramai tidak pernah insaf dan sehingga hari ini dia masih perlu berurusan dengan kes seumpama itu.

Selain itu, kata Chong, laporan media yang kerap menggambarkan peminjam sebagai `mangsa’ dalam kebanyakan kes, perlu diubah, kini.

"Peminjam yang sebenarnya ingkar dan bersalah dalam hal ini. Mereka meminjam daripada along dan menggunakannya untuk menipu serta berjudi.

"Mangsa yang sebenarnya adalah ahli keluarga mereka. Hanya kurang 10% kes membabitkan peminjam menjadi mangsa sebenar, yang terpaksa meminjam kerana desakan keadaan," katanya.

Sehubungan itu, Chong menggesa peminjam mendapatkan bantuan daripada pakar psikiatri jika mereka memerlukan bantuan terhadap ketagihan berjudi.

"Kamu tidak boleh mendapatkan bantuan daripada along," katanya.

Sesetengah pekerja mungkin tidak terbabit dalam pinjaman along, tetapi masih bergelut untuk mengasingkan wang bagi membuat simpanan jangka panjang disebabkan perbelanjaan lain yang lebih mendesak.

Seorang wanita berusia 32 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Emma, mengakui simpanan yang hanya mampu dibuatnya ketika ini hanyalah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi dia berhasrat untuk mula mengasingkan wangnya.

"Jumlah itu tidak akan banyak disebabkan komitmen bulanan saya seperti pinjaman rumah dan kereta. Bayaran itu saja membabitkan sehingga 50% daripada gaji saya," katanya yang tinggal di Kuala Lumpur.

Emma, yang juga perancang acara, berkata dia perlu membayar dua pinjaman peribadi yang berjumlah sehingga RM25,000, yang dibuat sebelum ini bagi pembayaran wang pendahuluan ketika membeli rumah dan perbelanjaan lain.

Beliau berkata, peningkatan kos sara hidup selain tambahan perbelanjaan menjaga orang tuanya, juga menjadi halangan untuknya membuat simpanan masa hadapan.

Emma, yang juga anak tunggal menambah lagi, sekalipun ibunya masih bekerja sebagai guru, keluarganya masih memerlukan lebihan wang.

"Gaji kami tidak naik, tetapi kos sara hidup meningkat. Jadi, bagaimana untuk saya menyimpan?

"Saya bosan. Bukannya saya mempunyai gaya hidup keterlaluan. Barangan seperti makanan dan ubat semakin mahal," rungutnya, sambil mengakui betapa dia juga bimbang tidak mempunyai wang mencukupi untuk persaraannya.

Sementara itu, V. Sarah, penulis iklan yang berusia 24 tahun, berkata dia cuba menyimpan sebanyak mungkin, tetapi selalunya hanya berkemampuan antara RM200 dan RM500.

"Pada jumlah itu, saya memang ketinggalan. Ia juga sukar kerana kadang kala kos yang tidak dijangka seperti pembaikan dan bayaran perubatan perlu dibuat dan saya tidak akan mempunyai wang tambahan untuk simpanan," katanya.

Akui Sarah, dia turut berusaha berjimat seperti memasak di rumah berbanding membeli makanan di luar, menaiki pengangkutan awam berbanding memandu dan berunding bagi mendapatkan harga sewa lebih murah.

Beliau berkata, keperluannya untuk menyimpan juga disebabkan rancangannya untuk menyambung Ijazah Sarjana Komunikasi pada masa depan.


Tags / Kata Kunci: KWSP , Pokai , Ah Long , MCA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan