Cabutan Setiap Jam SSP BSN Beri Peluang Tambahan Menangi Ganjaran

Diterbitkan: Jumaat, 4 Disember 2015 12:00 PM

Naib Presiden Kanan/ Ketua Peruncitan dan Perniagaan Komuniti BSN, Datuk Mearia Hamzah. Foto LOW BOON TAT / The Star

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) memperkenalkan kempen khas cabutan setiap jam Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi memberi peluang tambahan kepada penyimpan untuk memperoleh pelbagai ganjaran menarik sepanjang kempen berlangsung.

Naib Presiden Kanan/ Ketua Peruncitan dan Perniagaan Komuniti BSN, Datuk Mearia Hamzah berkata, ia merupakan inisiatif baharu SSP sempena penjenamaan semula BSN pada Oktober lalu dan kesinambungan kepada kejayaan SSP yang sentiasa mendapat sambutan menggalakkan.

Tambah Mearia, kejayaan itu terbukti apabila sehingga kini terdapat lebih 2.3 juta pemegang SSP dengan jumlah simpanan sebanyak RM2.8 bilion.

“Kempen ini bermula sejak 16 November sehingga 31 Disember 2015. Semua simpanan SSP yang dibuat sehari sebelum cabutan diadakan layak menyertainya.

“Seramai lapan pemenang akan diumumkan setiap hari di mana seorang penyimpan yang bertuah akan diumumkan pada setiap jam mulai pukul 10 pagi sehingga 5 petang dari Isnin sehingga Jumaat,” katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Beliau berkata, buat julung kalinya cabutan setiap jam ini dianjurkan oleh BSN kerana cabutan SSP setakat ini melibatkan secara mingguan, bulanan, tempatan dan istimewa.

“Kami mahu melangkah ke hadapan dengan menunjukkan SSP sebagai satu produk unik dan menarik. Oleh itu, kami memperluaskannya kepada cabutan setiap jam. 

“Pembaharuan ini amat bertepatan kerana selari dengan janji jenama BSN yang baharu iaitu ‘Menggapai kehidupan yang lebih baik’ buat masyarakat di luar sana khususnya pelanggan setia BSN,” kata Mearia.

Pemenang Cabutan Bulanan SSP BSN bulan Oktober 2015, Kamariah Abu Bakar (tengah) bersama Naib Presiden Kanan/Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Omar (kanan) dan Pengurus Perniagaan SSP BSN, Jalaluddin Mohd Arif (kiri).

Antara ganjaran yang ditawarkan adalah telefon pintar, tab, televisyen, jam tangan, barangan elektronik, peralatan dapur dan peralatan rumah.

Pengumuman rasmi bagi pemenang Cabutan SSP Setiap Jam akan dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), panggilan telefon serta laman web myBSN. Hadiah hendaklah ditebus dalam masa sebulan daripada tarikh menang.

Dalam pada itu, Mearia berkata, Cabutan Setiap Jam SSP sememangnya menarik kerana selagi SSP tidak ditebus, penyimpan turut mempunyai peluang dalam cabutan bulanan, cabutan tempatan dan cabutan istimewa. 

Tambahnya, ganjaran yang ditawarkan menerusi cabutan SSP adalah bonus kepada penyimpan kerana ia sebenarnya satu usaha untuk menggalakkan masyarakat menyimpan dan menguruskan kewangan dengan bijak.

“Kita menyimpan untuk kesejahteraan pada masa depan. Cabutan SSP Setiap Jam diharapkan dapat memupuk masyarakat menyimpan secara berterusan. Tambahan pula simpanan minimum SSP adalah serendah RM10, manakala kadar keuntungan pula sehingga 2.42 peratus,” kata Mearia.

SSP yang diperkenalkan sejak 1978 merupakan produk unik BSN dan patuh Syariah. 

Penyimpan boleh ke kaunter cawangan BSN atau tambahan saluran perkhidmatan lain melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM), mesin deposit tunai (CDM), ejen bank (EB BSN) dan di laman web myBSN.

Tags / Kata Kunci: BSN , SSP , Mearia Hamzah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan