Kejadian Jenayah - Adakah Anda Peduli?

Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2015 2:19 PM

(Ubah saiz teks)

SAYA telah menulis artikel tentang pandangan berbeza terhadap jenayah, rasa takut  terhadap jenayah dan bagaimana statistik laporan jenayah direkodkan. Artikel terakhir merupakan tentang mengekang kegiatan curi kereta. Artikel kali ini, saya akan menjelaskan dua perkara iaitu unsur-unsur jenayah dan cara kita bertindak balas apabila kejadian jenayah berlaku di hadapan kita. Dalam kedua-dua kes, ia menunjukkan struktur masyarakat kita.

Beberapa kejadian jenayah seperti ragut dan pecah rumah, serta kekacauan yang berlaku dalam masyarakat kita mempengaruhi fikiran, perasaan dan hubungan kita terhadap soal keselamatan sendiri. Tanda-tanda ini bertindak seperti pengukur terhadap risiko dan ancaman dalam kalangan masyarakat awam.

Tujuan saya dalam artikel kali ini adalah untuk merangka semula kefahaman kita terhadap cara kita berfikir tentang jenayah dan gangguan yang berlaku pada ruang masyarakat awam (my space). Apabila kejadian jenayah berlaku di tempat awam, adakah anda peduli? Justeru, terdapat dua bahagian untuk artikel ini. Bahagian pertama tertumpu kepada “kawalan sosial” dan bahagian kedua adalah berkenaan tentang semangat bersatu hati and kemasyarakatan seperti keadaan di kawasan kampung pada masa dahulu seketika (juga dikenali sebagai “perpaduan sosial”).

Kita semua tahu bahawa tumpuan rakyat pada persepsi dan rasa takut terhadap jenayah tidak sama seperti pihak polis. Pasukan polis telah memfokuskan usaha-usaha mereka terhadap mengurangkan jenayah dan secara faktanya, mereka berjaya mengurangkan indeks jenayah lebih 40 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.

Sebaliknya, kebimbangan orang awam terpaut dengan mesej jenayah yang disampaikan kepada kita menerusi saluran media dan isyarat atau petunjuk yang kita terima daripada ruang atau persekitaran awam. Kebimbangan ini menjurus kepada rasa takut kita terhadap jenayah.

Terdapat dua unsur-unsur yang boleh kita ketahui dari ruang atau persekitaran awam iaitu tanda-tanda gangguan fizikal dan gangguan social (physical and social disorder). Kedua-dua jenis gangguan ini merupakan isyarat yang kita boleh lihat dengan jelas. Unsur-unsur ini yang kita anggap sebagai ancaman, menjejaskan cara pemikiran, perasaan dan kelakuan kita. Sebagai contoh yang ditunjukkan pada Rajah 1, kita boleh melihat golongan “kutu”, “mat rempit”, penagih dadah dan sampah yang bertaburan di atas lantai. Situasi itu menunjukkan ketenteraman sosial dan fizikal dalam masyarakat kita yang telah terjejas.

Kajian menunjukkan hubungan yang wujud antara gangguan dan kedua-dua perkara melibatkan ketakutan terhadap jenayah dan kadar jenayah. Bukti jelas tentang gangguan di Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai “perbuatan tidak bermoral” manakala di Britain, gejala itu digelar sebagai “kelakuan anti-sosial”. Dalam kedua-dua kes itu, petunjuk yang berlaku di dua negara tersebut menunjukkan jangkaan kawalan sosial dalam masyarakat kita akan terjejas. Secara ringkasnya, kes berkenaan merangkumi sebarang pelanggaran norma-norma asas sosial dan konvensyen yang mengganggu atau mendatangkan masalah kepada saya atau anda.

Persekitaran fizikal dan kelakuan sosial (kelakuan tidak senonoh) menyebabkan orang ramai berfikir bahawa satu kawasan tertentu mungkin merosot dan memberi kesan kepada kualiti hidup. Pemikiran sedemikian menyebabkan orang ramai lebih berprihatin untuk memikirkan tentang keselamatan diri masing-masing apabila pergi bersiar-siar di waktu petang, membenarkan anak bermain sendirian atau menikmati hidangan di gerai makan tepi jalan.

Unsur-unsur jenayah merupakan satu daripada empat komponen yang bertanggungjawab terhadap jurang antara jenayah dan rasa takut terhadap jenayah yang dikenali sebagai jurang realiti-persepsi (lihat Rajah 2). Indeks jenayah mengalami penurunan sejak lima tahun lalu tetapi orang awam berasa kadar jenayah meningkat dan kekal sama, menyebabkan kewujudan ruang antara jenayah dan ketakutan jenayah. Anda boleh melihat video berhubung perkara ini dalam laman web UAC menerusi pautan http://www.unitedagainstcrime.com.my.

Pada tahun 1982, dua saintis bidang sosial menyokong teori Tingkap Pecah (Broken Windows) iaitu teori yang menyatakan bahawa tindakan kerap untuk penyelenggaraan dan pemantauan persekitaran bandar bagi menghalang jenayah kecil seperti vandalisme boleh membantu mewujudkan persekitaran yang aman dan berdisiplin, sekali gus mengekang kejadian jenayah yang lebih serius.

Teori tersebut menjelaskan bahawa jika tingkap yang pecah dibiarkan sahaja tanpa dibaiki, orang ramai akan berfikir bahawa tiada siapa peduli dan tiada pihak yang bertanggungjawab membaikinya. Teori berkenaan memberi petunjuk bahawa masyarakat tidak mengendahkan kecuaian dan gangguan berlaku dan seterusnya menunjukkan pertahanan yang lemah dan terdedah kepada ancaman. Teori itu juga memberi petunjuk bahawa seseorang boleh melakukan kelakuan jenayah dengan risiko yang rendah untuk dikesan.

Kemerosotan masyarakat yang disebabkan teori Broken Windows juga memberi kesan terhadap kelakuan orang ramai kerana mereka lebih selesa berada di dalam rumah dan mengabaikan perkara yang berlaku di luar kawasan rumah. Sebaliknya, persekitaran yang bersih dan tenteram menunjukkan isyarat bahawa kawasan tersebut dipantau dan kelakuan jenayah tidak akan diterima, sekali gus menjurus kawalan sosial yang baik.

Terdapat dua bentuk kawalan sosial iaitu formal dan tidak formal. Kawalan sosial formal merupakan langkah sekatan oleh kerajaan bagi mengekang kelakuan anti-sosial dan huru-hara. Kebanyakan negara melaksanakan kawalan sosial formal bagi menunjukkan gangguan yang boleh berlaku seperti contoh di bawah:

– Polis New York menggunakan teori Broken Windows seawal 20 tahun lalu. Mereka mensasarkan kes grafiti dan kes lain yang berbentuk kelakuan anti-sosial. Mereka juga percaya jenayah kecil boleh membuka ruang kepada jenayah yang lebih besar. Jika terlepas pandang kes jenayah kecil, situasi itu membolehkan pesalah melakukan jenayah yang lebih besar.

Menurut kajian pada 2001, jenayah keganasan turun sebanyak 56 peratus dan jenayah harta benda menyusut sebanyak 65 peratus. Kadar peratus jenayah terus mencatatkan penurunan dalam tempoh 10 tahun berikutnya selepas mengamalkan teori Broken Windows. Bekas Datuk Bandar New York dalam sidang media pada 1998 pernah berkata, “Secara jelasnya, kes pembunuhan dan grafiti merupakan jenayah yang sangat berbeza. Tetapi kedua-dua kes itu merupakan kesinambungan yang sama dan persekitaran tersebut membenarkan kes berkenaan saling berkaitan.

– England dan Wales mempunyai undang-undang yang mengkelaskan kelakuan anti-sosial seperti kelakuan mabuk atau mengancam nyawa orang lain, vandalisme, grafiti dan memainkan muzik yang kuat pada waktu malam, sebagai kesalahan.

– Hong Kong menguatkuasakan denda sebanyak HK$1,500 terhadap perbuatan meludah atau membuang sampah merata-rata.

– Singapura melancarkan kempen memerangi gejala vandalisme dan mengharamkan memakan gula-gula getah import selepas mendapati jumlah makanan ringan itu yang dibuang di stesen kereta api bawah tanah dan kereta. Jika kesalahan itu dikesan sebanyak tiga kali, pesalah bukan sahaja dikenakan denda dan melakukan kerja masyarakat, tetapi mungkin dipaksa memakai papan tanda bertulis “Saya membuang sampah merata-rata”.

Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, selain kawalan sosial formal, terdapat juga kawalan sosial tidak formal yang merujuk kepada tindakan yang diambil oleh individu atau kumpulan untuk memastikan undang-undang dipatuhi. Tindakan ini melibatkan sokongan dan tekanan masyarakat, campur tangan orang awam dalam mencegah jenayah dan gerakan seperti Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela (SRS). Kawalan sosial informal kebiasaannya memberi kesan terhadap individu kerana nilai-nilai sosial diterapkan secara mendalam dan dihayati.

Tahap kawalan sosial tidak formal bergantung kepada perpaduan sosial yang wujud dalam masyarakat kita. Perpaduan sosial di kampung lebih kuat berbanding kawasan bandar, Perpaduan sosial juga merupakan nilai terbaik untuk mengukuhkan ikatan sosial dalam masyarakat.

Di kawasan bandar, terdapat penyusutan nilai perpaduan sosial berdasarkan penilaian secara peribadi dan hubungan jangka masa panjang antara jiran dan rakan-rakan. Kita lebih mengambil sikap pentingkan diri dan tidak peduli jika kejadian jenayah berlaku di depan mata. Kita lebih selesa mengambil sikap “tidak apa” apabila melibatkan perkara membantu satu sama lain.

Izin saya kongsikan tentang satu kejadian pada pagi Sabtu 21 Mac tahun ini di Oasis, Ara Damansara, di mana empat perompak menyamun Fiqa Liyana Chong dan dua rakannya selepas kereta yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan. Seorang daripada mangsa dipukul dengan teruk dan menerima 17 jahitan.

Kesemua perompak terbabit bersenjatakan pistol elektrik dan kunci motosikal. Walaupun Fiqa dan rakannya menjerit meminta tolong, pengguna jalan raya yang lain hanya memperlahankan kenderaan untuk melihat kejadian sebelum beredar. Anda boleh mengikuti kisah lanjut tentang Fiqa dan lakonan semula oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MARAH (Malaysia Against Rape, Assault, and Snatch) menerusi laman web https://www.facebook.com/MARAH4safety dan laman web UAC (United Against Crime), https://www.unitedagainstcrime.com.my.

Berdasarkan kejadian jenayah tersebut, orang ramai yang lalu-lalang dilihat tidak ambil kisah sama ada untuk berhenti atau membunyikan hon kereta mereka. Situasi berkenaan menunjukkan kita telah hilang tanggungjawab sivik dan kawalan sosial tidak formal di kawasan awam.

Sebuah komuniti yang mempunyai perpaduan sosial yang kuat akan bersama-sama bertindak campur tangan sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah di kawasan awam. Perpaduan sosial sangat penting dalam memastikan kadar jenayah dikurangkan, begitu juga unsur-unsur jenayah. Kajian menunjukkan kawasan penempatan yang mempunyai ikatan perpaduan sosial yang kuat membuatkan kadar gangguan yang rendah. Kadar keganasan juga rendah bergantung kepada pecahan demografi. Kesimpulannya, peningkatan ikatan masyarakat mengurangkan kadar jenayah sebanyak 3 peratus. Kawalan sosial tidak formal dikukuhkan melalui perpaduan sosial sebagai cara menghalang jenayah dan gangguan.

Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah mengambil pelbagai inisiatif untuk bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat setempat, masyarakat perniagaan dan NGO. Mereka juga menubuhkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Masyarakat (JPJKK) untuk bekerjasama dengan lebih rapat dan berkesan bersama masyarakat. Tujuan tersebut untuk menarik minat orang awam untuk bekerjasama menghalang kejadian jenayah. Pada masa yang sama, inisiatif itu membina hubungan yang kukuh antara orang awam dan PDRM.

Kita perlu menilai semula dan menerapkan perpaduan sosial dalam kalangan masyarakat terutamanya di kawasan bandar bagi membanteras kegiatan jenayah dan unsur-unsur jenayah. Mungkin lebih baik jika anda sendiri menilainya. Adakah anda sedia bertindak jika jenayah berlaku di depan mata? Adakah anda bersedia membantu menghapuskan unsur-unsur jenayah? Adakah anda sanggup melaporkan kepada pihak polis jika terlihat kejadian mencurigakan di kawasan tempat tinggal anda?

Anda boleh menonton video melalui laman web MARAH dan UAC tentang maklum balas empat selebriti berhubung insiden yang berlaku kepada Fiqa pada 21 Mac lalu. Empat selebriti berkenaan merupakan Harith Iskandar, Jojo Struys, Daphne King dan Gerard Singh. Kesimpulannya, sikap “tidak apa” yang kita amalkan sebagai punca kejadian jenayah berlaku. Anda boleh tonton video berkenaan melalui pautan https://www.facebook.com/MARAH4safety atau https://www.unitedagainstcrime.com.my.

Asas sistem keadilan jenayah yang berkesan sebenarnya berasal dari tanggungjawab peribadi kita sendiri. Marilah kita sama-sama Bersatu Membanteras Jenayah. Tolong lakukan sesuatu jika jenayah berlaku di depan anda sama ada bunyikan hon, hubungi pihak polis atau menjerit untuk perhatian orang lain.


Datuk Dr Amin Khan adalah Pengarah Pengurangan Jenayah Pemandu NKRA. Beliau boleh dihubungi di aminkhan@pemandu.gov.my. Apa dinyatakan di sini pandangannya semata-mata. Pembaca juga boleh berkongsi pandangan di http://unitedagainstcrime.com.my.    

Tags / Kata Kunci: Jenayah , Polis , Pemandu

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan