Kebimbangan Terhadap Jenayah Adalah Realiti

Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2015 11:42 AM

(Ubah saiz teks)

Dikemaskini

INI merupakan artikel kedua saya berhubung isu jenayah. Subjek tentang jenayah bukan sahaja menarik, tetapi merupakan perkara yang paling dititikberatkan oleh kita.

Dalam satu tinjauan tentang kebimbangan orang awam terhadap jenayah, isu itu menjadi perkara pertama.

Melalui artikel yang disiarkan pada 27 Februari lalu, saya menjelaskan tentang perbezaan pandangan terhadap jenayah dan perbezaan ruang antara realiti dan persepsi orang ramai.

Artikel kali ini, saya akan menerangkan tentang ketakutan terhadap jenayah.

Perjuangan menentang jenayah perlu dilaksanakan secara berterusan kerana tiada keraguan lagi bahawa indeks jenayah perlu dikurangkan. Orang ramai bukan sahaja memerlukan persekitaran yang selamat, tetapi perasaan selamat itu perlu ada dalam diri mereka.

Sebagai contoh kebimbangan terhadap jenayah, saya pamerkan melalui Rajah 1.

Saya pernah ditanya bertalu-talu tentang isu jenayah termasuk: “kenapa di London, saya berasa lebih selamat, tetapi perasaan itu tidak ada apabila saya berada di pusat bandar Kuala Lumpur?

Jadi mengapa kita berasa selamat di sebuah bandar luar negara dan bukan di negara kita sendiri?

Pertama, saya ingin jelaskan tentang kekeliruan antara realiti dan persepsi.

Sebenarnya terdapat dua gambaran dan dua pandangan terhadap setiap keadaan tersebut.

Berkaitan dengan perbezaan pandangan, sasaran kami adalah untuk mengurangkan kadar jenayah secara berterusan dan menangani isu berhubung ketakutan terhadap jenayah.

Terdapat jurang antara realiti berkaitan jenayah dan persepsi orang awam. Kadar jenayah yang dicatatkan telah menurun tetapi sembilan daripada 10 orang yang ditemui percaya bahawa kadar jenayah semakin meningkat atau tiada perubahan.

Indeks jenayah sebenarnya merupakan satu ukuran. Pihak berkuasa menggunakan indeks jenayah untuk mengukur jumlah jenayah yang berlaku di dalam negara dan terdapat dua pandangan yang melihat indeks tersebut iaitu pihak berkuasa dan orang awam.

Melalui pandangan pihak berkuasa, jika indeks jenayah menurun, maka ketakutan terhadap jenayah juga sepatutnya menurun.

Orang awam sebaliknya, melihat perkara yang berbeza kerana mereka datang dari platform "takut jenayah "dan tidak boleh mendamaikan pengurangan jenayah, seperti yang ditunjukkan oleh indeks jenayah, dengan ketakutan mereka sendiri jenayah.

Bagi gambaran kedua, ketakutan terhadap jenayah juga terbahagi kepada pandangan awam dan pihak berkuasa.

Kajian menunjukkan bahawa ketakutan terhadap jenayah dan jenayah itu sendiri tidak mempunyai kaitan. Pengurangan kadar jenayah tidak akan mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah. Justeru, kita boleh katakan bahawa dua perkara itu sebagai “saudara jauh”.

Jenayah dalam gambaran pertama dengan dua pandangan (pihak berkuasa dan orang awam) dan ketakutan terhadap jenayah sebagai gambaran kedua, juga mempunyai dua pandangan (pihak berkuasa dan orang awam).

Situasi ini menjadikan komunikasi berkaitan kejayaan pengurangan kadar jenayah amat mencabarkan. (Rajah 2).


Kebimbangan terhadap jenayah mewujudkan kesan negatif sosial melalui dua mekanisme:

> Kita berasa tidak selesa dan selamat. Daripada menikmati keamanan dan situasi yang aman, kita merasa lemah dan terasing. Berbanding kita merasai rasa selamat ke kedai mamak atau kopitiam, kita sebaliknya berasa khuatir dan takut.

> Perasaan takut mendorong kita melabur masa dan wang bagi mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengurangkan ancaman jenayah. Kita lebih banyak duduk di rumah, tidak berkunjung ke tempat tertentu dan membeli kunci secara berlebihan bagi mengunci pintu gril rumah.

Tahun lalu, kami telah menjalankan bengkel mengenai ketakutan jenayah bersama Sekolah Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM).

Bengkel itu turut dihadiri oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan yang mempunyai kaitan dengan subjek kajian.

Kami menyedari bahawa sebagai tambahan kepada jenayah itu sendiri, ketakutan terhadap jenayah dipengaruhi melalui empat faktor lain: isyarat ("signals"), ruang sendiri ("my space") , penguat ("amplifier") dan perkhidmatan polis (di peringkat balai polis).

Isyarat atau signals merujuk kepada kemerosotan atau gangguan pada peringkat fizikal dan sosial.

Masalah fizikal  atau “physical disorder”  boleh diibaratkan seperti bangunan yang tidak diselenggara dengan baik, pembuangan sampah merata-rata, penyelenggaraan lampu jalan yang lemah dan sebagainya. Sekali pandang sahaja, kita boleh melihat kekurangan fizikal pada kemudahan tersebut.

Bagi masalah sosial pula mempunyai kaitan dengan gejala menconteng dinding (grafiti), mencarut, membuat bising dan seumpamanya.

Situasi terbabit membuatkan kita tidak berasa selesa untuk berdepan atau berjalan di kawasan yang bermasalah seperti itu.

Adakah sebab ini kita berasa selesa berjalan di pusat bandar London, tetapi bukan di pusat bandar Kuala Lumpur?

Perkara ini menarik untuk dikupas kerana kadar jenayah (jumlah jenayah yang direkodkan bagi populasi 100,000 orang) di London adalah lapan kali lebih tinggi berbanding di Kuala Lumpur.

Dalam pemikiran kita telah termaktub gambaran (buruk) Kuala Lumpur manakala di London, kita fikirkan situasi yang lebih baik.

Ruang sendiri atau my space merujuk kepada dua dimensi. Yang pertama adalah: Adakah saya berasa yakin untuk keluar? Adakah saya mempunyai pengetahuan untuk melindungi diri sendiri, sebagai contoh jika diserang ketika berjalan ke arah kereta di parkir?

Dimensi kedua adalah: Adakah saya mempunyai jaminan bahawa polis akan datang menyelamatkan saya jika berlaku sesuatu yang buruk?

Sebenarnya, pengawasan polis di jalanan dan tempat kediaman memberi kita jaminan tentang keselamatan.

Seperti yang dipaparkan dalam filem The Croods, tinggal di dalam gua digambarkan sebagai langkah yang selamat.

Manakala apabila keluar dari tempat tinggal ibarat mengambil risiko terhadap keselamatan diri sendiri. Satu daripada paradigma dalam jenayah dikenali sebagai “perbezaan persepsi terhadap jenayah,” iaitu anda berasa selamat dalam komuniti sendiri tetapi kurang selamat jika berjauhan daripada komuniti tersebut.

Penguat atau amplifier  melibatkan media sosial dan tradisional. Media tradisional mencetuskan atau menguatkan lagi ketakutan terhadap jenayah sebanyak empat kali ganda berbanding media sosial.

Penyebaran berita dari mulut ke mulut juga, dua kali ganda lebih tinggi berbanding media sosial.

Perasaan umum dalam kalangan kita merasakan bahawa laporan dalam media sosial lebih mudah tersebar berbanding media tradisional, tetapi adalah sebaliknya melalui kajian kami pada tahun lalu. Keputusan kajian tersebut konsisten dengan kajian dari negara-negara maju yang lain.

Pada 17 Februari lalu, The Star melaporkan kira-kira 30 uniform anggota polis dicuri dari sebuah kedai dobi. Berita itu tersebar cepat, sekali gus mencetuskan dan menguatkan lagi perasaan takut orang awam yang bimbang uniform polis tersebut disalahguna oleh penjenayah yang menyamar sebagai penguatkuasa untuk melakukan jenayah.

Bagi faktor perkhidmatan polis, ia merujuk kepada kualiti interaksi atau detik kebenaran hubungan antara orang awam dan anggota polis.

Orang awam mengharapkan untuk menerima jaminan, empati dan tindak balas daripada pihak polis. Hubungan yang baik boleh membina kepercayaan antara orang awam dan pihak polis.

Keempat-empat faktor terbabit mempunyai kaitan dengan jenayah itu sendiri yang menjurus kepada kebimbangan terhadap jenayah seperti yang dipaparkan melalui Rajah 3.

Kami kini dalam proses menjalankan kajian terhadap ‘ukuran persepsi jenayah’ atau CPI untuk mengukur tahap kebimbangan terhadap jenayah, Sebaik-baik sahaja ia dilaksanakan dengan baik, kami akan menyiarkan indeks jenayah dan CPI.

Selain itu, isu berkaitan strategi untuk menurunkan tahap CPI akan dibincangkan dalam artikel yang lain.

Cara untuk menangani rasa ketakutan terhadap jenayah merupakan cabaran yang sukar. Jika anda mempunyai sebarang idea atau cadangan, sila ajukan kepada saya untuk dikaji.

Pihak berkuasa tidak boleh menentang jenayah dan perasaan bimbang terhadap jenayah tanpa sokongan anda. Sertai kami melalui kempen “Bersatu Membanteras  enayah”  dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang selamat untuk semua orang.

> Datuk Dr. Amin Khan merupakan Pengarah Pemandu NKRA Membanteras Indeks Jenayah. Beliau boleh dihubungi melalui emel aminkhan@pemandu.gov.my. Artikel ini merupakan pandangan beliau. Satu video ringkas tentang pandangan terhadap jenayah boleh ditonton melalui pautan ini, https://www.youtube.com/c/gtproadmap/


Tags / Kata Kunci: NKRA , Pemandu , Jenayah , Polis , Amin Khan

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan