SPRM Diiktiraf PBB, Tiba Masanya Masyarakat Perlu Ubah Persepsi - Abu Zahar

Diterbitkan: Isnin, 22 Disember 2014 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

LAPORAN penilaian Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) mengiktiraf kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Di peringkt antarabangsa, PBB telah menilai kedudukan (SPRM), kita satu-satunya ada lima badan check and balance, ia diiktiraf oleh PBB. Pencapaian kita dalam sektor siasatan, kita boleh dianggap diperakui di peringkat antarabangsa," kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Abu Zahar Ujang apabila dianjukan persoalan sejauh mana bebasnya SPRM.

Laporan UNODC dikeluarkan pada Mei 2013, manakala baru-baru ini pula Laporan Daya Saing Global 2014-15 mengiktiraf kejayaan Malaysia menangani aspek rasuah.

Dua contoh itu menurut Abu Zahar membuktikan SPRM sebagai entiti pencegahan rasuah tunggal di negara ini yang jelas bersifat suruhanjaya bebas.

Abu Zahar berkata: "Pada hemat saya, selepas Akta SPRM diwujudkan pada 2009, persepsi masyarakat mestilah berubah, tidak boleh dibandingkan dengan ketika era Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang mungkin dianggap dikawal kerajaan."

Tegas beliau, struktur sekarang jelas menjurus ke arah SPRM yang "betul-betul bebas, berkecuali, telus, keterbukaan, ketelusan dalam menyiasat apa saja kes yang berkaitan dengan rasuah, mestilah betul-betul telus. Itu sebabnya kita ada jawatankuasa bebas yang memantau SPRM."

Abu Zahar yang juga Yang Dipertua Dewan Negara mengetuai JKMR yang ahlinya terdiri daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan PKR). Kini JKMR dianggotai oleh Senator Datuk Doris Sophia Anak Brodi (BN), Dr. Tan Seng Giaw (Ahli Parlimen Kepong-DAP), Datuk Irmohizam Ibrahim (Ahli Parlimen Kuala Selangor-BN), Datuk Fauzi Abd Rahman (Ahli Parlimen Indera Mahkota-PKR), Datuk Takiyuddin Hassan (Ahli Parlimen Kota Bharu-Pas) dan Datuk Noraini Ahmad (Ahli Parlimen Parit Sulong-BN).

"Kita ada wakil pembangkang, dan kerajaan. Mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Kita ada kualiti, integriti dan tidak ada campur tangan politik, semuanya dilaksanakan mengikut Akta SPRM.

"Kebebasan ini dengan kewujudan lima badan bebas, mereka juga terdiri daripada bekas pegawai kerajaan, bekas hakim, bekas ketua audit negara, yang mempunyai kualiti dan profesionalisme, betul-betul ke arah mewujudkan SPRM sebagai badan bebas," kata beliau.

Selain JKMR, empat lagi badan 'check and balance' yang memantau SPRM ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Panel Penilaian Operasi, Jawatankuasa Aduan dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Kesemua badan ini dianggotai 46 ahli bagi menentukan SPRM berjalan dan menuju ke arah betul-betul bebas, dan berkecuali dalam usaha memerangi rasuah," katanya lagi.

Persepsi Terhadap SPRM

Menjawab soalan masih ada pihak yang sangsi dengan SPRM, Abu Zahar berkata, ia satu perkara yang tidak boleh nafikan.

"Ini kerana masyarakat belum betul-betul faham, atau mengetahui tentang ciri dan sifat SPRM itu sendiri, lebih-lebih lagi perbezaan  dengan era sebelum Januari 2009.

"Oleh itu, sudah sampai masanya kita perlu lakukan pendedahan di setiap peringkat masyarakat, NGO, parti-parti politik, biar rakyat tahu peranan semasa SPRM," kata beliau sambil merujuk kepada kewujudan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Perlindungan Saksi.

"Jika ada unsur rasuah, masyarakat harus tampil beri maklumat kepada SPRM, tanpa takut dan sebagainya.

"Lakukan bersama untuk memastikan rasuah tinggal sebagai sejarah, jangan bagi ruang kepada rasuah berulang. Ada peruntukan untuk melindungi setiap orang yang bekerjasama memerangi rasuah," tambah Abu Zahar.

Apakah benar SPRM menjalankan siasatan selektif?

Menjawab persoalan diatas, Abu Zahar mengimbas kembali detik ketika anggota JKMR bertemu buat pertama kali di mana beliau menyuarakan pandangan bahawa amanah dan tanggungjawab yang diberi mesti dilaksanakan sebaik mungkin rakayat.

"Gejala rasuah ini patut diperangi oleh semua pihak. Kerana kalau tidak dilakukan, ini akan membawa satu penyakit, merosakkan masyarakat," kata beliau yang mengetuai JKMR sejak tahun lalu.

Beliau seterusnya meminta pihak yang mendakwa SPRM menjalankan pendakwaan berselektif agar tampil tanpa rasa takut dan membuat aduan kepada badan bebas pemantau SPRM.

"Kita ada lima jawatankuasa. Kalau jawatankuasa berpuas hati adanya merit wujud pendakwaan berselektif, kita boleh nasihatkan SPRM agar kaji semula. Kita pernah ada situasi di mana Panel Penilaian Operasi mengarahkan kes yang diputuskan oleh Pendakwa Raya sebagai tidak ada kes, dibuka semula dan beberapa kes dibawa ke mahkamah," katanya.

Pengiktirafan Antarabangsa

Sejak 2009, Panel Penilaian Operasi telah mengarahkan supaya 52 kes disiasat semula dan lapan daripadanya berjaya dibawa ke mahkamah. Kewujudan dan peranan Panel Penilaian Operasi ini turut diiktiraf UNODC.

"Sudah ada contoh kes. Jadi, masyarakat tolong hakis persepsi yang mengatakan SPRM ini tidak lagi bebas," katanya sambil menambah beliau tidak akan teragak-agak untuk berhenti daripada jawatan yang disandang ketika ini jika masih ada pihak terus membuat dakwaan melulu terhadap SPRM.

"Saya komited dalam perjuangan ini dan saya akan lakukan. Justeru, kita perlu berkorban untuk berbuat sesuatu, bukan untuk mendapatkan tempat sahaja, bukan untuk seronok bercakap sahaja, kita mesti melaksanakan apa yang telah diamanahkan," kata beliau lagi.

Bagaimanapun, Abu Zahar mengakui wujud keadaan di mana isu rasuah dipolitikkan atau politik dicampuradukkan, tetapi beliau tetap bertegas mempertahankan bahawa SPRM bertindak dengan telus.

"Kalau boleh masyarakat ubahlah persepsi dan bekerjasama untuk lahirkan suasana harmonis... bebas rasuah, lebih baik untuk generasi akan datang dan negara kita," katanya.

Sambil menarik perhatian bahawa jenayah rasuah merupakan isu yang selaku dibangkitkan oleh parti-parti politik, Abu Zahar berkata: "Kita jangan buat tuduhan melulu, tuduhan yang tiada bukti untuk menjatuhkan sesuatu."

Pada masa sama, katanya, SPRM akan menjalankan tanggungjawab sebagai badan bebas untuk memantau dan memberi nasihat dalam memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Abu Zahar juga berkata, bagi memastikan kebebasan dan ketelusan terus terjamin dan dipertingkatkan, sudah tiba masa undang-undang sedia ada dipinda. Pindaan ini membabitkan perkara berkaitan dengan pelantikan ketua pesuruhjaya dan pembentukan suruhanjaya perkhidmatan khusus bagi SPRM.

"Bagaimanapun, walaupun kajian mendapati ada kelemahan dalam undang-undang sedia ada dan perlunya pindaan, ia masih memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

"Sebab itu, ketika Ahli Parlimen PAS (Datuk Takiyuddin) diwawancara tahun lalu dan ditanya apa pendirian beliau jika partinya tidak setuju (dengan pindaan itu), beliau memberi jaminan akan meyakinkan partinya dan jika partinya masih tidak setuju, beliau akan berhenti jadi ahli jawatankuasa ini (JKMR).

"Bermakna beliau ada komitmen dan ia bukan kerana kepentingan individu atau parti, tetapi demi kepentingan negara. Perubahan seperti inilah yang mesti dilakukan untuk kebaikan rakyat," jelas beliau.

Kesimpulannya kata Abu Zahar, jika rakyat masih dengan persepsi bahawa SPRM tidak bebas dan bertindak secara selektif, perkara itu perlu dimaklumkan kepada JKMR yang ahlinya di kalangan wakil rakyat, atau kepada mana-mana empat badan bebas yang lain.

"Jika anda masih tidak yakin dengan SPRM, bawa bukti-bukti kepada kami. Seperti saya sebut tadi, kita perlu pastikan SPRM berfungsi dengan betul. Kita perlu sokong," kata beliau.

Tags / Kata Kunci: SPRM , UNODC , BPR , persepsi , Abu Zahar Ujang

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan