Dulu 6 pekerja, kini jualan biskut raya lebih suku juta ringgit - Rencana | mStar

Dulu 6 pekerja, kini jualan biskut raya lebih suku juta ringgit

Diterbitkan: Rabu, 6 Jun 2018 2:30 PM

Salah seorang kakitangan mahir Bakeri Ikhwan Labuan sedang menghasilkan biskut raya di gedung roti di Ujana Kewangan, Labuan.-fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

LABUAN: Mungkin ramai menyangka berniaga biskut raya tidak menguntungkan apatah lagi untuk diperkembangkan ke peringkat global.

Bagaimanapun, sangkaan itu ternyata meleset apabila sebuah syarikat roti tempatan mampu menghasilkan rekod jualan biskut raya mencecah lebih suku juta ringgit atau RM356,000 sepanjang Ramadan tahun lepas.

Bakeri Ikhwan yang memulakan perniagaan pembuatan biskut raya sejak tahun 2004 dan mempunyai beberapa cawangan di Semenanjung Malaysia, menjadikan Labuan sebagai pusat pelaburan pertamanya dengan jumlah pelaburan yang kecil bersama hanya enam pekerja.

"Pada tahun pertama memulakan perniagaan biskut raya ini, kami hanya hasilkan sebanyak 12 jenis biskut dan Alhamdulillah, pendapatan yang dijana mencecah lebih RM35,000," kata Pengurus Bahagian Biskut Raya Labuan Athirah Zakof kepada Bernama.

Bermula tahun itu dan selepas melihat sambutan yang baik, Bakeri Ikhwan meneruskan perniagaan ini dengan menambah lagi jenis biskut pada Ramadan setiap tahun dan rekod jualan tahun lepas melepasi sasaran iaitu melebihi suku juta.

"Meskipun pembuatan biskut raya mengikut kehendak pelanggan dan mengikuti trend semasa, namun kami masih mengekalkan biskut-biskut tradisional seperti biskut tart nanas, makmur, semperit dan kuih bangkit,” katanya.

Beliau berkata biskut-biskut raya ini dihasilkan dengan bahan-bahan yang berkualiti seperti minyak sapi dan ini sedikit sebanyak mempengaruhi harga bagi setiap biskut dihasilkan.

"Disebabkan bahan-bahan untuk membuat pelbagai biskut-biskut agak mahal dan kurang di Labuan, begitu juga di tanah besar Kota Kinabalu, kami terpaksa membawa lebih 75 peratus bahan-bahan dari Semenanjung," katanya.

Sementara itu, Pengurus Jualan bakeri itu, Fazuian Zakof, 36, berkata harga untuk kesemua biskut dijual bermula RM26 hingga RM35 bergantung kepada bahan-bahan yang digunakan.

"Tempahan yang kami terima kebanyakannya dari Labuan dan ada juga dari Kota Kinabalu dan negara jiran Brunei," katanya.

Antara biskut yang menerima sambutan yang baik ialah almond london, ulat bulu, snow almond serta makmur Sabah dan makmur Semenanjung.

Meskipun dengan kelembapan ekonomi di pulau bebas cukai ini, Bakeri Ikhwan yakin akan mencapai sasaran jualan melebihi suku juta tahun ini dengan jumlah 56 jenis biskut raya.

"Pada tahun ini, Bakeri Ikhwan Labuan dilengkapi dengan 30 kakitangan mahir dan berpengalaman yang diambil setiap seorang dari setiap negeri di seluruh negara termasuk seorang dari Australia bagi menyiapkan 56 jenis biskut," katanya.

Katanya, perniagaan pembuatan biskut raya ini telah diperluaskan di seluruh negara dan di beberapa bandar besar di luar negara melalui syarikat induknya GISB Holdings.
-Bernama

Tags / Kata Kunci: Bakeri Ikhwan , biskut raya
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan