Bosou Sada juadah iftar popular di Keningau - Rencana | mStar

Bosou Sada juadah iftar popular di Keningau

Diterbitkan: Isnin, 28 Mei 2018 9:00 AM

(Ubah saiz teks)

KENINGAU: Bosou Sada, yang dalam bahasa Dusun bermaksud jeruk ikan, merupakan antara juadah berbuka puasa paling popular masyarakat suku kaum itu di daerah ini.

Ia merupakan makanan tradisional diperbuat daripada ikan sungai air tawar selain ditambah garam, halia dan nasi yang disejukkan selama dua jam sebelum digaul sebati dan disimpan dalam bekas kedap udara selama seminggu.

Peniaga Bosou Sada, Ina Angkubut, berkata sepanjang Ramadan ini, beliau menjual 20 bekas makanan itu sehari dengan harga RM13 setiap satu.

Beliau berkata kelazatan Bosou Sada telah menarik ramai pelanggan ke gerainya untuk membeli dan menjadikan makanan tradisional itu sebagai juadah berbuka puasa.

-fotoBERNAMA

"Bosou Sada unik kerana hanya ada di Keningau. Ia sangat sesuai dimakan bersama nasi panas ketika berbuka puasa,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di tapak Pasar Malam Keningau di sini, Ahad.

Ina berkata beliau menjangka memperoleh pendapatan lebih hasil jualan Bosou Sada sepanjang Ramadan ini berikutan sambutan luar biasa daripada pelanggan.

“Sepanjang Ramadan ini, ia memberi rezeki lebih kepada saya," katanya yang mewarisi perniagaan itu daripada ibunya sejak 12 tahun lepas.

Menurutnya berniaga Bosou Sada amat bermakna buat dirinya kerana dapat memperkasakan makanan tradisi kaum Dusun itu supaya terus kekal dan dinikmati generasi baharu.
-Bernama

Tags / Kata Kunci: Bosou Sada , Ramadan di Sabah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan