Sambut Ramadan zaman dulu memang ‘best' - Rencana | mStar

Sambut Ramadan zaman dulu memang ‘best'

Diterbitkan: Jumaat, 25 Mei 2018 10:30 AM

Disebabkan tiada pembesar suara di surau atau masjid, pukulan beduk dijadikan sebagai tanda masuknya waktu solat, ada kematian dan juga kedatangan bulan Ramadan. Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

RAMADAN datang lagi, membawa bersamanya memori kemeriahan menyambut puasa ketika zaman kanak-kanak penulis di kampung, Bagan Datuk, Perak pada pertengahan tahun 60-an dan awal 70-an.

Pengumuman permulaan puasa dinanti penuh debaran. Ia bagai satu ujian kerana tidak ramai yang memilik radio ketika itu, apatah lagi televisyen. Oleh itu hebahan terus tidak dapat diketahui oleh ramai penduduk.

Bagi penduduk kampung penulis, secara tradisinya cara memaklumkan permulaan puasa ialah melalui pukulan ‘kentung’ (ketuk-ketuk) di surau. Ada juga tempat memanggil beduk.

Ini dilakukan setelah mendapat maklumat sahih, misalnya daripada penghulu atau ketua kampung.

Bunyi kentung

Atau penduduk kampung yang memiliki radio dan mendengar pengumuman akan memaklumkan kepada imam untuk dibuat hebahan. Setelah sahih tarikh mula berpuasa, kentung akan dibunyikan pada malam tersebut.

Pukulan kentung ini dalam nada berlainan daripada pukulan menandakan masuk waktu solat. Apabila  penduduk mendengar bunyi kentung khas ini mereka faham esok puasa bermula. Mereka yang sudah berada di surau pada malam itu akan terus menunaikan solat sunat Terawih.

Anak-anak muda juga akan pergi keliling kampung riuh rendah menguar-uarkan kepada penduduk bahawa esok puasa bermula. Suasana malam itu jadi meriah sekampung.

Batang kayu yang ditebuk tengahnya dipanggil kentung dijadikan sebagai alat komunikasi suatu masa dahulu. Gambar hiasan.

Sebenarnya kentung atau tabuh memainkan peranan penting sebagai alat komunikasi dalami kalangan penduduk kampung ketika itu. Selain menandakan masuk waktu solat, ia juga memaklumkan mengenai kematian.

Dalam bulan Ramadan fungsinya bertambah. Selain mengumumkan permulaan berpuasa, pada waktu Maghrib kentung dipalu menandakan waktu berbuka puasa dan solat Maghrib.

Bulan Ramadan menyerlahkan lagi suasana kemesraan dan hubungan mesra penduduk sekampung, khususnya dengan jiran berhampiran rumah. Apatah lagi dalam kalangan jiran ini pula saudara mara sendiri.

Tukar juadah

Seawal hari pertama puasa kemesraan ini sudah terserlah apabila aktiviti tukar menukar juadah bermula, sama ada lauk pauk atau kuih muih. Inilah tradisi kampung yang sudah jadi amalan tidak bertulis.

Penulis berperanan menjadi ‘perantara’ tukar menukar juadah ini. Emak akan meminta penulis menghantar juadah ke rumah tertentu. Ada kala terus mendapat balasan juadah daripada tuan rumah yang dihantar. Jika tidak… esok lusa mereka pula menghantar juadah.

Beginilah moleknya tradisi masyarakat kampung. Apa yang dimasak oleh satu keluarga dinikmati sama oleh keluarga lain. Bukan sahaja dapat saling rasa merasai makanan tetapi juga menambah erat hubungan.

Kalau dahulu jiran-jiran lebih gemar menukar juadah berbuka puasa kerana tiada bazar Ramadan seperti zaman moden sekarang.

Seperti juga kebiasaannya, buah kurma ialah penyeri bulan Ramadan. Namun ketika itu tidak ada kurma yang dijual dalam kotak-kotak menarik dengan pelbagai jenama seperti sekarang.

Yang penulis ingat kurma didatangkan ke kedai runcit di kampung penulis dalam guni jute dan dijual secara timbang.

Kurma ini dikatakan datang dari India. Namun kualitinya tidak begitu baik. Ada yang keras separuh masak. Namun bagi penduduk kampung ketika itu hanya inilah sumber kurma yang mereka boleh dapat.

Air batu ketul

Dahaga di siang hari memang menginginkan minuman sejuk waktu berbuka. Tanpa bekalan elektrik (bekalan air juga tiada) ke kampung ketika itu, air batu ketul tidak dijual di kedai-kedai kampung atau kampung di sekitar.

Sebaliknya air batu ketul blok didatangkan dari Teluk Anson (Teluk Intan) di mana terdapat kilang air batu. Jarak Teluk Anson dari kampung penulis di Parit Serong, Bagan Datuk, ialah 40 kilometer. 

Membuat pelita raya menggunakan buluh antara tarikan pada zaman dahulu dan masih diteruskan segelintir generasi muda sekarang.

Proses jual beli air batu ini dijalankan dengan seorang penduduk kampung bertindak sebagai  ‘tauke’. Biasanya orang yang sama setiap tahun. Dia akan berurusan dengan syarikat pembekal air batu berkenaan.

Setiap hari lori yang membawa blok air batu dari Teluk Intan ini akan menurunkannya di kedai kampung di tepi jalan utama Teluk Intan-Bagan Datuk. ‘Tauke’ pula sudah sedia menunggu.

Selepas menerima bekalan dia akan membawa blok air batu ini ke surau di kampung untuk disimpan. Ini kerana bekalan air batu ini dihantar lama sebelum waktu berbuka puasa dan perlu disimpan dengan baik untuk mengelakkan daripada cair segera.

Sistem penyimpanan mudah tapi berkesan. Air batu ini akan disalut dengan habuk papan gergaji yang tebal dan kemudian ditutup pula dengan guni. Ia akan tahan sampai waktu dijual pada sebelah petang.

Pembelian melalui tempahan awal, bukan waktu air batu mula dijual. Tempahan awal ini penting untuk ‘tauke’ menentukan berapa blok air batu perlu dipesan dari kilang. Hanya mereka yang membuat tempahan awal akan dapat, kecuali jika kebetulan ada lebihan.

Untuk memastikan lebih ramai boleh menempah, jualan juga dihadkan sekitar ‘sekupang’ (10 sen) atau ‘dua kupang’ (20 sen).

Menjelang petang pengagihan air batu kepada mereka yang menempah dibuat. Blok air batu  dipotong menurut saiz tempahan menggunakan gergaji. Saiz ketul ais pembelian ‘sekupang’ pun sudah agak besar, tambahan bagi saiz ‘dua kupang’.

Nilai ‘dua kupang’ dan ‘sekupang’ besar ketika itu. Banyak makanan masih boleh dibeli dengan harga lima sen.

Rumah akan menjadi cantik dengan hiasan lampu raya menggunakan minyak tanah.

Air batu yang dibeli dibungkus dengan surat khabar dan diselaputi serbuk papan bagi mengelakkan cepat cair. Sudah dapat air batu perlu segera balik ke rumah. Emak sedang menunggu untuk membuat minuman.

Air minuman biasanya sirap sahaja. Untuk menambahkan seri dan rasa, emak akan tambah dengan biji selasih. Ringkasnya sirap selasih. Untuk air panas ialah teh O.

Setelah segala hidangan disediakan, masing-masing menunggu kentung di surau berbunyi. Bagi keluarga penulis biasanya berbuka terus makan nasi. Jika ada kuih hanya dirasa sedikit. Selebihnya untuk sajian malam nanti.

Selepas selesai solat Maghrib, bersedia pula untuk pergi menunaikan solat Terawih. Rumah penulis di pedalaman memang jauh daripada surau kampung. Selalu penulis pergi bersama bapa dengan berjalan kaki. Dalam kegelapan malam kami menggunakan lampu minyak tanah atau obor daun kelapa.

Moreh

Waktu selepas solat Terawih memang ditunggu-tunggu terutama oleh kanak-kanak kerana ada ‘moreh ’.  Para jemaah membawa kuih muih untuk dinikmati bersama. Pihak surau pula menyediakan minuman.

Menjelang dua minggu berpuasa suasana nampak berbeza. Ketika itu persiapan membuat juadah hari raya bermula. Penulis ingat ketika itu emak sudah mula menjemur tepung, gula dan beras.

Tepung, gula dan beras ini akan ditumbuk dalam lesung, diayak bagi mendapatkan tepung lebih halus, juga gula halus serta tepung beras. Semua disediakan sendiri bukan dalam bungkusan siap seperti hari ini.

Tepung dan gula halus diperlukan untuk membuat kuih, contoh kuih bakar dan bahulu. Tepung beras diperlukan untuk membuat dodol.

Moreh antara aktiviti yang sering dilakukan selepas solat Terawih dan sentiasa dinanti-nantikan oleh kanak-kanak.

Kuih tradisi seperti bahulu dan kuih bakar bagai kemestian. Selain itu juga dodol dan wajik. Membuat dodol memang mencabar dan mengambil masa. Mula memasak pada pagi sehingga lewat petang baru selesai. 

Memang letih mengacau dodol untuk memastikan ia benar-benar masak agar tahan lama apabila disimpan.

Membuat kuih juga ada jadual. Satu hari membuat kuih bahulu, hari lain membuat kuih bakar dan seterusnya. Semua tersusun sehingga Ramadan mencecah ke hujung.

Penghujung Ramadan suasana meriah makin terasa. Lampu panjut mula menyerikan kawasan sekeliling rumah. Di dalam rumah yang biasanya diterangi minyak tanah diserikan oleh cahaya lampu gasoline yang cahayanya menerjah terang hingga ke halaman rumah.

Bunyi mercun atau meriam juga mula kedengaran di sana sini. Kemeriahan Aidilfitri mula melanda seluruh kampung. Kemeriahan dan kegiran ini berterusan sehingga munculnya fajar Aidilfitri.

Begitulah meriahnya Ramadan suatu ketika dahulu namun suasana sebegitu sudah tenggelam ketika ini dek kerana perubahan zaman.

Tags / Kata Kunci: Ramadan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan