Tunggang Motosikal Pupuk Ukhwah

Diterbitkan: Isnin, 20 November 2017 4:52 PM

(Ubah saiz teks)

MEREKA bermula pada sekitar tahun 2013 sebagai kumpulan kecil pemilik motosikal cruiser jenama Hyosung yang berkongsi minat menunggang santai untuk ‘seronok-seronok’ sambil beriadah sesama rakan.

Kumpulan ini dikenali sebagai Naza Cruiser Owners Group atau NCOG. Keahlian hanya terbuka kepada pemilik motosikal berkuasa besar Hyosung buatan Korea Selatan, yang diedarkan di negara ini oleh Naza Motor.

Daripada jumlah kecil, melalui perkongsian di Facebook, jumlah keahlian bertambah. Ada kira-kira 50 ahli ketika itu, namun ramai antaranya tidak aktif.

Itu kisah permulaan. Kini kumpulan ini semakin mantap dan ramai yang berminat untuk menjadi ahli. Namun keanggotaan dihadkan agar tidak terlalu ramai sehingga kumpulan sukar diurus. 

Juga untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar komited kepada kelab dan aktivitinya sahaja diterima menjadi ahli.

Jika sebelum ini mereka bergerak tanpa berdaftar, kini mereka bernaung di bawah kelab berdaftar. Matlamatnya agar kelab dapat bergerak dengan lebih sistematik, sama ada daripada segi pengurusan atau perancangan serta pelaksanaan aktiviti.

Permohonan pendaftaran yang dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) diluluskan pada 11 Oktober 2017. Nama kumpulan diubah kepada Kelab Bermotosikal Berkuasa Tinggi Cruiser (KBBTC).

Gambar kumpulan sewaktu pelancaran kelab tersebut diadakan di Gombak, 21 Oktober lalu.

Ini bermakna ahlinya tidak lagi terhad kepada pemilik Hyosung Naza sahaja, tetapi terbuka kepada motosikal cruiser jenama lain. Bagaimanapun majoriti ahli adalah pemilik Hyosung.

Kelab dilancarkan pada 21 Oktober 2017 di Restoran Nelayan, Gombak, dengan dihadiri anggota-anggota kelab dan juga wakil Naza Motor, Rosani Hasim. Pada pelancaran ini Ahli Jawatankuasa Penaja dipilih, dengan Zamri Harun sebagai Pengerusi Penaja.

Menurut Zamri, dengan adanya kelab berdaftar serta struktur pentadbiran yang sistematik, mereka akan dapat bergerak secara tersusun dalam melaksanakan pelbagai aktiviti.

Antara matlamat utama kelab, kata beliau, ialah memupuk ukhwah dan silatulrahim semua pemilik motorsikal berkuasa besar jenis cruiser, khususnya yang berjenama Hyosung.

Selain itu, membantu sesama ahli atas sifat persaudaraan, menceburi bidang perniagaan, menjalankan aktiviti amal serta mendidik cara penunggangan motorsikal secara berhemah.

“Demi memastikan kelancaran kelab, dan aktiviti yang dijalankan, kami tidak menyasarkan terlalu ramai ahli.

“Jumlahnya akan dihadkan dalam lingkungan 30 hingga 50 orang sahaja. Kita utamakan kualiti, bukan kuantiti,” kata Zamri dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Ketika berhenti di Krabi, Thailand.

Menurutnya, usaha menambah ahli akan dilaksanakan secara berperingkat selepas mesyuarat agung pertama Januari tahun depan. Keutamaan waktu ini ialah untuk memastikan kelab beroperasi dengan teratur dan lancar.

“Kita mahukan ahli-ahli yang komited kepada kelab dan setiap aktiviti yang dijalankan, bukan ahli pada nama sahaja,” kata beliau.

Mengenai ahli kelab, Zamri memberitahu, ia terdiri daripada individu pelbagai latar belakang dan jawatan dalam sektor awam dan swasta. Untuk masa ini kelab hanya membuka keahlian kepada lelaki sahaja.

Aktiviti yang dijalankan pula menunggang santai secara berkonvoi ke destinasi-destinasi tertentu dalam negara dan luar negara.

Menurut salah seorang ahli kelab, Azhar Ghazali, konvoi mereka telah menjelajahi Langkawi, Perlis, Muar, Melaka dan Negeri Sembilan dan Pahang.

Rancangan penunggangan dalam negara selepas ini akan merangkumi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Menziarahi rakan yang sakit juga merupakan salah satu aktiviti kelab tersebut.

Kembara luar negara yang telah dijelajahi ialah ke Thailand, merangkumi Sungai Golok, Hatyai, Songkhla dan Krabi. Perancangan masa depan ialah ke Phuket.

“Perjalananan ke destinasi lain ini akan dilaksanakan selepas kelab menjadi lebih tersusun dan operasinya lebih kemas,” kata Azhar.

Menurutnya, perjalanan berkonvoi memang sangat menyeronokkan. Selepas setiap jam perjalanan, merek akan berhenti rehat atau menjamu selera. Ini menjadikan perjalanan jauh sekalipun tidak terasa penat.

Mereka juga sangat mengambil berat dan mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan rakan semasa dalam perjalanan. Oleh itu prinsip mematuhi peraturan jalan raya sentiasa dipatuhi. Selain itu kawan yang sakit juga diziarahi.

Azhar memberitahu, motosikal cruiser tidak sama dengan motosikal berkuasa tinggi. Menurutnya, motosikal cruiser lebih kepada pemanduan santai sementara motosikal berkuasa tinggi lebih menitik beratkan kelajuan.

Cruiser adalah motosikal berkuasa besar 250 CC tetapi penunggangan menekankan kepada konsep santai untuk rekreasi atau makan angin. Selain itu gaya diutamakan, antaranya bunyi ekzoz yang kuat,” kata Azhar.

Gambar kenangan ketika siri kembara mereka singgah di Songhla.

Aktiviti kelab ini bukan sekadar santai. Seperti yang ditegaskan oleh Pengerusi Penaja Kelab, Zamri (gambar), dalam berkonvoi mereka memupuk ukhwah dan silatulrahim dengan mengunjungi tempat-tempat tertentu, khususnya rumah kebajikan.

“Misalnya tunggangan amal ke rumah anak-anak yatim dan memberi sumbangan serta kaunseling. Antara yang pernah dilawati ialah Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelang dan sekolah tahfiz di Kuantan,” katanya.

Menurut beliau, ini menunjukkan kelab bukan sahaja menjalankan aktiviti santai beriadah tetapi pada masa yang sama melibatkan diri dalam bidang kemesyarakatan dan kemanusiaan.

Untuk membolehkan kelab diurus dengan baik dan pelbagai aktiviti dijalankan dengan lancar, dana amat diperlukan. Dalam hubungan ini, Zamri memberitahu, setiap ahli dicadang dikenakan bayaran sekali bayar sebanyak RM50 dan yuran bulanan RM10. Jumlah muktamad akan diputuskan dalam mesyuarat agung Januari nanti.

Selain itu katanya, usaha akan dibuat bagi mendapatkan penaja untuk aktiviti, di samping menceburi bidang perniagaan atau mengadakan usahasama dengan syarikat-syarikat motosikal tertentu.

“Misalnya jika syarikat motosikal seperti Naza mengadakan jualan pada sesuatu event tertentu, kami akan membantu mempromosi jualan dan memperoleh komisyen. Ini sebagai sumber pendapatan kelab,” kata Zamri.

Beliau memberitahu, pada Disember ini sempena KL Bike Week, kelab ditawarkan satu booth untuk promosi jenama Naza. Semua kos promosi ditanggung oleh Naza Motor.

Katanya, perincian mengenai projek-projek yang bakal dirancang dan dilaksana akan dibentangkan pada mesyuarat agung nanti untuk mendapatkan pandangan dan sokongan ahli-ahli.

Beliau percaya, projek-projek yang dirancang teliti dan dengan kerjasama serta sokongan padu daripada anggota kelab, matlamat menambah dana untuk kegiatan kelab serta kebajikan ahli bakal dicapai.

Menurut Zamri, mereka kini berada pada tangga permulaan bergerak setelah didaftar dan memerlukan masa untuk membolehkan kelab maju. Tetapi beliau percaya dengan komitmen ahli seperti yang ditunjukkan selama ini, pengurusan dan aktiviti kelab akan lebih lancar.

Beliau menaruh harapan tinggi dengan usaha dan komitmen bersungguh-sungguh ahli, Kelab Bermotosikal Berkuasa Tinggi Cruiser akan berkembang maju sebagai sebuah kelab motosikal cruiser berprestij di negara ini.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan