suria

Setengah Juta Dapat Manfaat Setiap Tahun - Perkeso

Dr Mohammed Azman (kanan) menyerahkan replika cek kepada pemandu teksi, Ali Ibrahim di Terminal Melaka Sentral awal tahun ini.

PETALING JAYA: Setiap tahun, secara purata 500,000 pekerja dan tanggungan mereka menerima pelbagai bayaran keselamatan sosial berjumlah lebih RM2 bilion.

Pembayaran itu antaranya dalam bentuk faedah hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, pengurusan mayat, perubatan dan orang tanggungan.

Sejak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ditubuhkan pada 1971, jutaan pekerja sektor swasta dan ahli keluarga mereka mendapat manfaat daripada perlindungan keselamatan sosial.

Tanpa Perkeso, ramai pencarum akan terjejas apabila perkara tidak diingini menimpa mereka.

Hari ini selepas 46 tahun, Perkeso masih kukuh dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk latihan penjenamaan semula dengan beberapa perancangan lagi akan menyusul.

Hanya tahun lalu, Perkeso mengambil pendekatan berani dengan memulakan langkah-langkah menaik taraf kemudahan, perkhidmatan dan sistem penyampaian perkhidmatannya.

Intipati penjenamaan semula itu dilakukan berdasarkan beberapa inisiatif, iaitu meningkatkan kualiti operasi; kaunter perkhidmatan melalui media elektronik dan pemberdayaan kakitangan barisan hadapan; mewujudkan Skuad Perkeso Prihatin serta memperkukuh kecemerlangan modal insan dan pembangunan.

Penjenamaan semula itu dilakukan untuk memaklumkan mengenai program tranformasi Perkeso selain memacu anjakan paradigma ke arah kakitangannya yang lebih dinamik dan berdaya saing.

Jadi tidak hairanlah inisiatif berani Perkeso menjadi amalan terbaik peringkat serantau dan antarabangsa seperti Program Kembali Bekerja (RTW), Program Saringan Kesihatan (HSP), Skuad Prihatin Perkeso dan Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak.

Selain inisiatif sedia ada, Perkeso terus berkembang dengan skim lain dalam Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) - yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan.

Skim baharu ini mencadangkan pengurangan bantuan kewangan dan bukan kewangan kepada mereka yang telah kehilangan pekerjaan sehingga enam bulan atau lebih untuk mencari kerja baru.

Banyak strategi Perkeso dalam memperluaskan perlindungan keselamatan sosial pekerja dan menangani cabaran-cabaran global dalam keselamatan sosial tidak kita sedari.

Malah, strategi itu turut membolehkan Perkeso mendapat pelbagai penghargaan dan pengiktirafan, antaranya Anugerah Pengiktirafan Persatuan Keselamatan Sosial Asean (ASSA) 2016 untuk Kecemerlangan Inovasi; Kecemerlangan dalam Pentadbiran Keselamatan Sosial oleh ASSA untuk HSP; Sijil Kecemerlangan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) dalam Pentadbiran Keselamatan Sosial (Koleksi dan Pematuhan Sumbangan) dan Pengiktirafan 5-Bintang Sektor Awam 2015-2016.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Perkeso telah menetapkan sasaran untuk menjadi peneraju utama dan cemerlang dalam keselamatan sosial - instrumen "keadilan sosial dan ekonomi" menjelang 2020."

Misi jangka panjang kami adalah untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada semua individu yang diinsuranskan dan tanggungan mereka melalui skim keselamatan sosial.

"Kami juga ingin meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan supaya kesejahteraan sosial individu yang diinsuranskan dapat dipertingkatkan," katanya.

Dr Mohammed Azman berkata sejak penubuhannya, Perkeso telah meluaskan perkhidmatannya dan meningkatkan faedah tanpa kenaikan kadar caruman. 

Ia dicapai melalui amalan tadbir urus yang baik, penguatkuasaan dan kepelbagaian aktiviti pelaburan.

"Kami juga sedang berusaha untuk merapatkan jurang perlindungan dalam keselamatan sosial untuk memastikan semua kumpulan pekerja dilindungi di bawah jaringan keselamatan sosial," katanya.

Usaha itu turut membawa kepada pelaksanaan dan enakmen untuk pencarum yang bekerja sendiri dikenali sebagai Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (SESSA).

Selain SESSA, Perkeso turut memperkenalkan dan melaksanakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (ESSA) 1969.

ESSA memberi perlindungan kepada pekerja yang bekerja di sektor swasta manakala SESSA melindungi kebanyakan pemandu teksi ketika ini.

Namun, lebih ramai orang yang bekerja sendiri dan pekerja lain dalam sektor tidak formal akan dilindungi di bawah SESSA pada masa akan datang.

Terdapat dua skim di bawah ESSA yang memberi faedah keselamatan sosial kepada pekerja atau tanggungan mereka, iaitu Skim Kecederaan Pekerjaan dan Skim Invaliditi.

Sementara itu, Skim Kecederaan Pekerjaan Sendiri adalah di bawah SESSA, yang berkuatkuasa 1 Jun lalu adalah untuk pemandu teksi atau individu yang menjalankan perkhidmatan serupa seperti limosin lapangan terbang, kereta sewa dan teksi e-hailing (Uber and Grab).

Dr Mohammed Azman berkata, skim di bawah SESSA menyediakan perlindungan kecederaan dan kemalangan kepada pencarum yang bekerja sendiri.

Katanya, dengan bayaran 40 sen sehari yang disifatkan jauh murah berbanding harga sebatang rokok, pencarum perlu membuat caruman tahunan minimum RM157.20 di bawah Skim Kecederaan Pekerjaan Sendiri.

Selain menyediakan faedah perlindungan keselamatan dan pemulihan kepada pencarum, Perkeso juga aktif mempromosikan langkah-langkah mencegah kemalangan dan kesihatan untuk meningkatkan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan semua pekerja di negara ini.

Ini sejajar dengan peningkatan trend kemalangan yang semakin meningkat di kalangan pekerja di Malaysia.

"Perkeso serius dalam memajukan isu pencegahan kemalangan dan mempromosikan kesihatan kerana budaya pencegahan keselamatan dan kesihatan di kalangan rakyat Malaysia boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kos kepada masyarakat dan negara; bukan sahaja kos ekonomi dan kewangan tetapi juga kos sosial dan emosi," kata Dr Mohammed Azman.

Dengan tagline yang memberi tumpuan kepada keprihatinan dan keutamaan pelanggang dan pihak berkepentingan, Perkeso komited untuk meningkatkan kesejahteraan sosial masyarakat dan mewujudkan masyarakat yang inklusif dan produktif. 

Perkeso

Artikel Sebelum

Meratah Ketam Pondan

Artikel Berikut

Dibuli, Diejek? Ini Caranya...

Artikel Lain