Fungsi Perkeso Dalam Jaringan Keselamatan Sosial

Diterbitkan: Rabu, 20 September 2017 9:00 AM

Pegawai Fisioterapi Perkeso, P. Vikneswaran (kanan) membantu meletakkan kaki prostetik kepada anggota Perkeso di Pusat Pemulihan Sosok di Ayer Keroh sambil disaksikan oleh Mohammed Azman (tengah).

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Di Malaysia, perlindungan keselamatan sosial bagi para pekerja disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak 1971, manakala Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) pula dikhaskan untuk waktu persaraan sejak 1951.

Skim Keselamatan Sosial mula diperkenalkan di negara ini pada 1958 sebaik Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Keputusan kajian yang dikendalikan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 1962 menjadi asas kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Perkeso diperkenalkan untuk memenuhi dua fungsi utama iaitu mentadbir skim keselamatan sosial Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan.

Adakah keselamatan sosial sejenis pembangunan baharu? Keselamatan sosial bermula seawal empayar Rom apabila Maharaja Trajan mengagihkan hadiah berbentuk wang dan bijirin kepada rakyat miskin di bandar tersebut, serta memulangkan hadiah berbentuk emas yang diberikan kepadanya sempena menaiki takhta di Itali.

Sementara itu, Dinasti Song pula menyediakan pelbagai program bantuan sosial seperti rumah persaraan, klinik awam dan kawasan perkuburan untuk orang miskin.

Manakala undang-undang awal khalifah Islam pula menunjukkan keselamatan sosial dilindungi melalui pengagihan zakat yang terkandung sebagai salah satu rukun Islam.

Ia diperkenalkan pada era pemerintahan Khulafa al-Rasyidin iaitu pada abad ketujuh.

Cukai seperti zakat dan jizya digunakan untuk menjana pendapatan agar dapat diagihkan kepada golongan tidak berkemampuan, warga emas, anak-anak yatim, wanita yang kematian suami dan mereka yang tidak berupaya.

Menurut Imam Al-Ghazali, kerajaan seharusnya menyediakan bekalan makanan di setiap wilayah sekiranya berlaku bencana atau kebuluran makanan.

Statistik anggota yang telah menerima manfaat daripada skim keselematan sosial Perkeso.

Seiiring dengan peredaran masa, keselamatan sosial berubah dan sistem yang paling popular adalah Sisten Bismarckian yang dibangunkan oleh Otoo Eduard Leopold, Putera Bismarck dan Duke of Luenburg yang juga dikenali sebagai Otto von Bismarck, sekitar 1 April 1815 hingga 30 Julai 1898.

Beliau adalah seorang negarawan konservatif  Prusia yang menguasai hal ehwal Jerman dan Eropah dari 1860-an hingga 1890. 

Beliau juga bertanggungjawab memperkenalkan insurans pekerjaan dan dana pencen tua.

Sistem Bismarckian turut menjadi asas insurans bencana di tempat kerja (alaf baharu) seperti yang dilakukan oleh Perkeso.

Keselamatan sosial yang dilakukan pada abad ini menjadi bertambah baik kerana banyak inisiatif telah diambil terutamanya dalam mewujudkan standard keselamatan sosial minimum seperti Konvensyen 102 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menentukan sembilan piawaian minimum merangkumi rawatan perubatan, faedah penyakit, pengangguran, faedah warga tua, faedah kecederaan pekerjaan, faedah keluarga, faedah bersalin, manfaat keilatan dan faedah mangsa terselamat.

Konvensyen ILO 102 meliputi spektrum perlindungan keselamatan sosial bagi mereka yang tidak bernasib baik.

Daripada perspektif Malaysia, mungkin ada pihak yang beranggapan bahawa piawaian keselamatan sosial kita terhad.

Tetapi, jika Konvensyen 102 digunakan sebagai penanda aras, kita dapat melihat bahawa Malaysia memenuhi piawaian minimum jaringan keselamatan sosial.

Ini kerana ia memiliki kontingensi seperti mereka yang telah bersara akan dilindungi oleh KWSP dan pencen kerajaan; kecacatan pula dilindungi oleh Perkeso dan insurans persendirian; kematian dilindungi oleh KWSP, Perkeso dan insurans swasta.

Manakala penyakit akan dilindungi oleh Akta Pekerjaan 1955 dan Insurans Persendirian; bersalin oleh Akta Pekerjaan; penjagaan perubatan oleh Insurans Swasta, Skim Majikan, KWSP dan Perkeso; kecederaan pekerjaan oleh Perkeso dan Insurans Swasta; manfaat keluarga / kanak-kanak dilindungi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dr Mohammed Azman.

Sementara itu, faedah pengangguran, yang kini dijaga oleh ETLB (Perlindungan Pemberhentian Pekerjaan) dengan perlindungan terhad pula akan dilindungi sepenuhnya oleh Perkeso sebaik undang-undang mengenai Sistem Insurans Pekerjaan diluluskan di Parlimen.

"Hari ini, sistem keselamatan sosial berhadapan dengan pelbagai cabaran global yang kompleks," kata ketua pegawai eksekutif Perkeso, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz.

Antara cabaran yang disuarakan di Forum Keselamatan Sosial Dunia di Panama 2016 adalah satu siri trend global termasuk demografi penuaan, jurang perlindungan, pengangguran belia dan transformasi yang dibawa oleh ekonomi digital yang memerlukan asas dan pelan tindakan jangka panjang oleh pembuat dasar keselamatan sosial dan pentadbir.

Cabaran tersebut digariskan dalam laporan Pertubuhan Keselamatan Sosial Antarabangsa yang bertajuk 10 Cabaran Global untuk Keselamatan Sosial.

Ia mengandungi dapatan kajian, analisis dan rundingan  bersama lebih 280 jabatan kerajaan dan institusi keselamatan sosial di seluruh dunia.

Di Malaysia, Perkeso sedang menangani cabaran-cabaran ini. Ia merapatkan jurang perlindungan dalam keselamatan sosial untuk memastikan lebih banyak bahagian pekerja mendapat manfaat daripada perlindungan sosial.

Ini termasuk perlindungan untuk pemandu teksi yang bekerja sendiri di bawah Akta Keselamatan Sosial Swasta 2017.

Terdapat juga undang-undang lain dalam perancangan seperti Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan bagi melindungi mereka yang kehilangan pekerjaan.

Objektif keselamatan sosial dapat diringkaskan kepada tiga kategori iaitu Pencegahan, Pemulihan dan Pampasan.

Setakat ini, lima teras strategik utama telah dikenalpasti untuk membantu Perkeso dalam melaksanakan fungsi dan peranannya dengan lebih berkesan.

Setiap majikan hendaklah memastikan semua kakitangan berdaftar dengan Perkeso.

Perkeso mengukuhkan kecemerlangan dan kemajuan modal insan; mengubah perkhidmatan melalui penjenamaan semula; pengukuhan kelestarian dana dan tadbir urus; meningkatkan kesejahteraan sosial pelanggan dan memelihara budaya kreativiti, inovasi dan kualiti. 

Dr Mohammed Azman berkata dalam memenuhi tanggungjawabnya, Perkeso dipandu oleh tiga prinsip teras iaitu Dana Perpaduan, Penggantian Pendapatan dan Kesaksamaan.

Dana Perpaduan adalah nilai kardinal perlindungan sosial yang pada dasarnya terdiri daripada beberapa mekanisme untuk pengagihan semula pendapatan bagi mereka yang kurang upaya dan keluarga yang mempunyai tanggungan. 

Dalam kes kematian pekerja yang diinsuranskan, penggantian pendapatan diberikan kepada tanggungan melalui pencen bulanan.

Dasar asas kesetaraan pula terkandung dalam Akta dan Peraturan. Oleh sebab konsep keadilan sosial, skop perlindungan mesti merangkumi semua majikan dan pekerja yang berdaftar dengan Perkeso.

Pencegahan kemalangan yang berkaitan dengan pekerjaan dan memupuk budaya gaya hidup sihat pula bertujuan untuk mencapai matlamat keselamatan sosial sepenuhnya ketika pekerja masih bekerja sehingga mereka bersara.

"Konsep ini juga menyediakan ruang dan peluang untuk pekerja bermotivasi untuk kembali bekerja. Pemulihan juga diberikan kepada mereka yang mengalami masalah kurang upaya sementara atau kekal," kata Dr Mohammed Azman.

Sumbangan kepada skim Perkeso adalah wajib, di mana pekerja dan majikan perlu membayar sejumlah gaji bulanan ke dalam dana tersebut. 

Di bawah undang-undang, majikan bertanggungjawab dalam memastikan pekerja mereka berdaftar dengan Perkeso. 

Konsep asas adalah untuk memastikan tahap minimum kebajikan semua adalah terjaga supaya kontinjensi utama kehidupan dapat dilindungi. Dalam erti kata lain, keselamatan sosial adalah instrumen "keadilan sosial dan ekonomi".

Caruman di Perkeso ibarat menyediakan perlindungan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini. - Gambar hiasan

Prinsip pertama yang menjadi dasar program tersebut adalah pekerja dapat menyara kehidupan melalui pekerjaannya dan membayar kos perlindungan sosial yang diperoleh daripada pendapatan mereka.

Kedua, sumbangan yang dibuat oleh pekerja yang diinsuranskan boleh mengharapkan faedah yang akan dibayar kepadanya dan tanggungannya tanpa sekatan yang tidak wajar.

Ketiga, hak masyarakat tidak dapat dijamin sekiranya sebilangan besar anggota Perkeso tidak dilindungi dari kehilangan pendapatan yang disebabkan oleh persaraan, kecacatan atau kematian. 

Jadi, jika program tersebut tidak diwajibkan, kebanyakan mereka tidak akan mengambil bahagian, terutama pekerja yang berpendapatan rendah.

Oleh itu, sistem keselamatan sosial harus melibatkan usaha bersepadu untuk menyelesaikan isu sosioekonomi yang boleh menjadi masalah negara jika tidak ditangani lebih awal.

Walaupun ia turut bergantung kepada konteks, masalah tersebut turut melibatkan ketidakstabilan ekonomi yang berterusan; pertumbuhan pengangguran; tahap pengangguran yang tinggi; kadar pertumbuhan gaji yang rendah; pengawalan fiskal; dan kemiskinan di kalangan warga yang telah berusia.

Ringkasnya, jaringan keselamatan sosial memberi jaminan keselamatan kepada kehidupan mereka (dan orang tersayang) diberikan perhatian sewajarnya kerana apabila berlaku perkara yang tidak diingini, sistem sosial akan menjadi penyelamat.

"Melalui keselamatan sosial, kami memastikan institusi keluarga tidak terjejas di mana pasangan dan anak-anak akan dapat meneruskan kehidupan daripada insiden yang tragis.

"Bagi pekerja yang mengalami kecederaan atau kecacatan, mereka boleh kembali kepada masyarakat setelah mereka bersedia iaitu melalui pemulihan fizikal dan vokasional," kata Dr Mohammed Azman.

Tags / Kata Kunci: Perkeso

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan