suria

SIP Jaringan Keselamatan Untuk Pekerja

Richard Riot.

PETALING JAYA: Kerajaan sentiasa berusaha untuk mengurangkan beban rakyat dalam persekitaran mencabar ketika ini.

Bagaimanapun, sumber adalah terhad disebabkan penurunan harga minyak mentah dan kelembapan ekonomi global.

Menyedari hal ini, kerajaan menyediakan beberapa cadangan yang bertindak sebagai jaringan keselamatan untuk melindungi pekerja terutama dalam sektor swasta, yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan satu inisiatif iaitu Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pada 1 Mei lalu. 

Najib berkata, sebagai permulaan, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM70 juta bagi tujuan pembayaran faedah kewangan SIP di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sehubungan itu, kira-kira 6.5 juta pekerja dalam sektor swasta akan dilindungi, sekiranya berlaku kemelesetan lain.

Di bawah SIP, para pekerja yang terjejas akan menerima bantuan kewangan sementara bagi membantu mereka dan keluarga, sementara mencari kerja baharu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata, SIP diperkenalkan oleh kerajaan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan semasa krisis ekonomi dan menambah baik perlindungan jaringan keselamatan sosial.

Richard berkata, SIP akan menjadikan pasaran buruh lebih cekap menerusi sistem padanan bekalan dan permintaan yang lebih baik, membawa kepada lebih produktiviti dan persaingan industri, terhadap implikasi gangguan teknologi yang disebabkan ledakan Revolusi Perindustrian Keempat.

Sebenarnya, SIP bukanlah sesuatu yang baharu di kebanyakan negara seperti Korea Selatan, Jepun, China, Vietnam dan Thailand yang berjaya melaksanakannya untuk menstabilkan ekonomi dan membantu memastikan aktiviti ekonomi mampan.

“Jujurnya, kami terkejut dengan beberapa kenyataan sebelum ini yang dikeluarkan oleh beberapa pihak berkaitan dengan SIP.

“Kementerian saya telah menjalankan banyak sesi ‘engagement’ bagi menjelaskan rasional di sebalik skim tersebut, tetapi masih ada yang mengkritiknya dengan maklumat tidak berasas.

“Ada yang mendakwa bahawa akan ada lebihan yang banyak selepas membuat bayaran menerusi manfaat SIP, seolah-olah kita membuat duit daripada skim ini.

“Terdapat juga dakwaan bahawa hanya 50,000 pekerja akan mendapat SIP setiap tahun,” kata Richarrd kepada The Star.

Menurut satu kajian oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang diterbitkan pada 2015, dianggarkan 137,000 hingga 215,000 pekerja yang diberhentikan, akan mendapat manfaat tersebut pada permulaan tahun pelaksanaan SIP.

Richard berkata, pihak berkenaan tidak mengambil kira bahawa angka itu diperoleh apabila perlindungan Perkeso terhad kepada pekerja dengan pendapatan RM3,000 dan ke bawah.

“Saya percaya angka ini lebih tinggi sekarang sejak bilangan pencarum Perkeso meningkat dari RM5.5 juta pada 2010 kepada 6.6 juta tahun lepas.

“Oleh itu, jumlah untuk membayar faedah itu bukan sekadar RM300 juta sebagaimana yang dinyatakan mereka,” tegas beliau.

Richard berkata, terdapat perbezaan ketara antara pemberhentian kerja dan kehilangan pekerjaan.

“Saya tidak mengatakan bilangan kes pemberhentian kerja akan meningkat, tetapi dua kategori ini tidak boleh dicampurkan. Kita mesti faham bahawa kedua-duanya tidak sama,” katanya.

“Pemberhentian kerja” hanyalah sebahagian daripada kehilangan pekerjaan dan perlindungannya berdasarkan Akta Pekerjaan 1955 dan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak, yang terhad kepada siling gaji tertentu.

“Kehilangan pekerjaan” sebaliknya merangkumi spektrum yang lebih luas tanpa mengira gaji.

Menurut data Perkeso, kira-kira 52 peratus pekerja mempunyai pendapatan kurang RM2,000, yang mana ia merupakan siling gaji di bawah Akta Pekerjaan.

Merujuk kepada kes Perwaja Steel Sdn Bhd dan MegaSteel Sdn Bhd, Richard berkata, para pekerja yang diberhentikan terpaksa menunggu banyak tahun untuk menerima faedah penamatan mereka.

“Sesetengah pekerja mungkin mempunyai perjanjian kolektif yang menetapkan faedah penamatan mereka tetapi perlindungannya sangat kecil kerana peratus pekerja di bawah kesatuan hanya 7.5 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja, termasuk kesatuan sektor awam.

“Dengan kata lain, faedah penamatan semasa bagi pekerja sektor swasta tempatan di Malaysia tidak universal.

“Malah mereka yang dilindungi tidak mendapat jaminan  akan dibayar,” katanya.

Richard berkata, situasi yang agak menyedihkan itu akan berubah sebaik saja SIP dilaksanakan kerana ia akan melindungi semua pekerja sektor swasta tempatan.

Beliau berkata, kesemua mereka yang terjejas akan dibayar faedah “hampir serta-merta” selepas tujuh hari pengesahan mengenai kehilangan pekerjaan.

“Jadi, kita berharap semua pihak berkepentingan akan memberikan sokongan penuh terhadap bacaan kedua Rang Undang-Undang SIP pada Oktober ini.

“Kadar caruman 0.4 peratus merupakan yang terendah di dunia,” katanya.

Jika RUU SIP diluluskan di Parlimen, Malaysia menjadi negara ketiga di Asia Tenggara yang melaksanakan sistem berkenaan.

Kadar caruman di negara jiran Thailand dan Vietnam lebih tinggi, masing-masing 1.25 peratus dan 3 peratus.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan baru-baru ini mengumumkan kadar caruman di bawah RUU SIP akan dikurangkan.

Semasa penglibatan pihak ketiga pada 10 Ogos lalu, terdapat persetujuan antara lain mengenai kadar caruman dari 0.5 peratus bagi setiap majikan dan pekerja akan diturunkan kepada 0.2 peratus.

“Kabinet turut bersetuju terhadap pindaan RUU yang akan dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang pada Oktober,” menurut kenyataan itu.

Pada 4 Ogos lalu, RUU ditangguhkan selepas bacaan pertama bagi membolehkan pembabitan pihak ketiga dengan pihak berkepentingan.

Empat anggota Kabinet yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas itu, iaitu Richard, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Datuk Paul Low.

Di bawah SIP, pekerja yang kehilangan pekerjaan mungkin dapat menuntut sebahagian gaji yang diinsuranskan untuk tempoh antara tiga dan enam bulan pengangguran.

Perkeso akan menguruskan SIP dan bayaran bermula pada 2019.

Pertemuan sekurang-kurangnya 78 kesatuan dagangan dan persekutuan pekerja di peringkat kebangsaan dan negeri diadakan sebelum menggubal model dan RUU SIP.

Di samping itu, lawatan sambil belajar telah dibuat ke beberapa negara yang berjaya melaksanakan SIP bagi mempelajari pengalaman mereka.

Kementerian turut bekerjasama dengan pakar-pakar daripada ILO bagi membantu dalam kajian untuk mereka bentuk model SIP yang bersesuaian buat Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Naik Tong Dram Ronda Kampung

Artikel Lain