Betulkah Malaysia Negara Gagal?

Diterbitkan: Isnin, 7 Ogos 2017 4:51 PM

(Ubah saiz teks)

SESETENGAH rakyat Malaysia beranggapan bahawa Malaysia adalah sebuah negara gagal.

Perkara ini juga ada tercatat dalam satu laporan akhbar tempatan atas talian.

Dengan isu IMDB yang menghantui, nilai ringgit yang telah jatuh sejak lebih setahun yang lalu, kos sara hidup yang meningkat dan kes rasuah yang dikatakan berleluasa – adakah negara kita ini seteruk itu sehinggakan tiada apa pun yang dapat kita banggakan?


Adakah Malaysia yang telah kita bina daripada kemiskinan belenggu penjajahan ini adalah sekadar sebuah negara gagal?

Bersempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita berlapang dada dan melihat pencapaian negara bukanlah dari sudut politik tetapi lebih kepada pencapaian kita sebagai sebuah negara yang berjaya.

Sosio-ekonomi

Sewaktu Tanah Melayu mula-mula merdeka pada tahun 1957, masyarakat Melayu adalah golongan yang paling miskin, tidak berpendidikan dan menghuni peringkat terbawah dalam strata sosio-ekonomi masyarakat.

Dalam tempoh 60 tahun, sistem pendidikan negara telah banyak melahirkan golongan-golongan Bumiputra profesional yang – suatu yang tidak dapat digambarkan sewaktu Tanah Melayu (dan kemudiannya Malaysia) mula-mula merdeka.

Dahulu, dikatakan orang-orang Melayu/Bumiputera nak buat jarum pun tak pandai, tetapi sekarang, bukan sahaja jarum, kebanyakan jurutera yang membina jalan raya, mengendalikan projek Transit Aliran Massa (MRT) dan bangunan-bangunan megah adalah daripada golongan Bumiputera.


Walaupun begitu, sistem pendidikan negara tidak meminggirkan kaum bukan Bumiputera sama sekali kerana golongan profesional bukan Bumiputera pun bukan calang-calang.

Apa yang penting, indeks pembangunan sumber manusia (HDI) yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menempatkan Malaysia di tangga 59 antara 188 negara pada tahun 2015 – antara yang tertinggi di dunia.

Maka tidak hairanlah 5 universiti-universiti Malaysia sekarang adalah ‘top 300’ di dunia, seperti dilaporkan oleh New Straits Times pada 8 Jun 2017.

Ketenteraman

Walaupun ada pihak yang melaporkan Malaysia bukanlah negara yang rapuh dan dikatakan tidak selamat, Malaysia ditempatkan di tangga 29 daripada 159 negara oleh Indeks Keamanan Global pada tahun 2017 mengalahkan United Kingdom, Korea Selatan, Perancis, Indonesia dan Amerika Syarikat, menunjukkan Malaysia adalah antara negara yang paling aman seantero dunia.


Apabila negara-negara lain di rantau ini dan di luar Asia Tenggara terpaksa menghadapi masalah perkauman yang menjurus ke arah ketidaktenteraman, masyarakat Malaysia mampu untuk hidup dengan harmoni di antara satu sama lain- menunjukkan kaum sikap keterbukaan masyarakat Malaysia untuk hidup aman dan damai.

Pelancongan

Kuala Lumpur, ibu kota Malaysia merupakan salah sebuah kota paling banyak dikunjungi pelancong di dunia seperti yang dilaporkan oleh akhbar Telegraph pada tahun 2017.


Statistik ini menunjukkan industri pelancongan Malaysia tetap berkembang pesat walaupun terdapat sentimen yang mengatakan negara ini semakin menjadi sebuah negara ekstremis.

Integriti

Terdapat laporan oleh media atas talian tempatan yang menyebut Malaysia sebagai negara kedua paling korup di dunia.

Ini mungkin terjadi akibat laporan rasuah bertalu-talu di akhbar dan media sosial terutamanya melibatkan 1MDB dan Perdana Menteri.


Akan tetapi, berbeza dengan kepercayaan ‘popular’, Corruption Transparency Index 2016 yang dikeluarkan oleh Transparency International meletakkan Malaysia pada tangga ke 55 daripada 176 negara di seluruh dunia, mencadangkan bahawa Malaysia sebenarnya salah satu negara paling tidak korup di rantau Asia-Pasifik.

Lagi pula, Malaysia tidak pun disenaraikan sebagai salah sebuah negara paling korup di dunia, seperti dilaporkan oleh CNBC pada 24 Januari 2017. 

Rakyat Malaysia memiliki pasport kelima paling kukuh di dunia seperti yang disenaraikan oleh Passport Index pada tahun 2017.

Pasport

Di sebalik reputasi buruk yang dimomokkan oleh media barat ke atas orang-orang Islam, Malaysia adalah negara Muslim yang mempunyai pasport terkuat di dunia, membuktikan negara kita adalah negara Islam yang dihormati.

Rakyat Malaysia mempunyai akses bebas-visa/visa ketika ketibaan ke 155 negara di seluruh dunia.


Kedudukan utuh ini adalah representasi terhadap reputasi baik Malaysia di mata banyak negara-negara seantero dunia.

Infrastruktur

Selain itu, Malaysia juga sudah berjaya membina dan sedang membina infrastruktur berkelas dunia seperti berikut:

(a) Projek Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, jambatan sepanjang 24km menghubungkan Batu Maung dan Batu Kawan di Pulau Pinang pada tahun 2014 – jambatan terpanjang di Asia Tenggara;

(b) Penambahbaikan besar-besaran sistem rel bersepadu Lembah Klang menerusi penambahan stesen-stesen tambahan ke atas sistem LRT sedia ada dari Sri Petaling dan Kelana Jaya ke Putra Heights, pengoperasian sistem Sunway BRT dan pengoperasian MRT Sungai Buloh-Kajang, yang dikatakan antara tercanggih di dunia. Selain itu, MRT jajaran kedua menghubungkan Sungai Buloh dan Serdang juga sedang rancak di bina untuk memudahkan perjalanan masyarakat di antara kedua-dua kawasan di Lembah Klang menjelang tahun 2024.


(c) Perasmian gedung KLIA2 sebagai hab utama penerbangan tambah murah di Kuala Lumpur pada tahun 2014, menggantikan terminal usang Low Cost Carrier Terminal (LCCT);

(d) Pembinaan dua bangunan yang bakal menggantikan Menara Berkembar Petronas sebagai struktur-struktur tertinggi di Malaysia iaitu ‘Signature Tower’ di Bandar Malaysia dan KL118 (yang bakal siap pada tahun 2018-2019);

(e) Pengoperasian Terminal Bersepadu Selatan pada tahun 2011, terminal bersepadu perkhidmatan bas dan rel menggantikan Stesen Pudu dan Putra di Kuala Lumpur. 


(f) Pembangunan Projek Lebuhraya Pan-Borneo sepanjang 1,073km menghubungkan Sabah dan Sarawak yang bakal tersedia pada hujung 2021.

(g) Perkhidmatan Sistem Keretapi Elektrik yang dibuka pada tahun 2010 sepanjang 755km dari Padang Besar ke Gemas yang menghubungkan Kuala Lumpur ke sempadan Thailand di Padang Besar dalam masa 5 jam sahaja;

(h) Pembangunan Projek Laluan Rail Pantai Timur (ECRL) menghubungkan Gombak dan Kota Bharu yang bakal siap pada tahun 2023; dan,

(i) Pembangunan projek Keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura yang dijadualkan selesai pada tahun 2026.

Gagalkah Malaysia?

Bolehkah sebuah negara gagal memulakan projek-projek infrastruktur mega seperti yang disenaraikan di atas? 

Saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik, tetapi saya hanya memerhatikan apa yang sedang berlaku dalam negara.

Isu rasuah, salahguna kuasa dan sebagainya memang membelenggu sesetengah pemimpin kita tapi itu bukan alasan atau penyebab untuk kita katakan Malaysia adalah sebuah negara gagal. 


Negara gagal adalah seperti Somalia, Syria, Iraq, Liberia dan Congo yang mana rakyatnya sukar untuk mencari makan walaupun sesuap nasi.

Walaupun rakyat Malaysia sering mengomel mengenai kos sara hidup dan sebagainya, terdapat sebilangan besar juga rakyat Malaysia yang berbelanja sakan di pusat beli-belah, cukup makan dan pakai.

Malaysia juga tersenarai sebagai negara yang mempunyai penduduk tergemuk di Asia Tenggara, sekali gus menunjukkan kebanyakan rakyat cukup (atau terlebih) makan.

Pergilah juga ke KLIA atau KLIA2 atau di destinasi percutian dalam negara. Setiap kali cuti sekolah, kawasan-kawasan ini penuh dengan para pelancong domestik.

Kalau kita negara gagal, bolehkah rakyat mengecapi kenikmatan ini?


Sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan pentadbiran terkini, memburukkan negara bukanlah cara penyelesaian sesuai kerana kita boleh mengamalkan hak kita di peti undi.

Menjelang hari kemerdekaan yang akan kunjung tiba, marilah kita sama-sama menghayati semangat merdeka – nikmat yang telah membawa kemakmuran, kejayaan dan kesejahteraan kepada kita sehingga hari ini.

Hakikatnya, Malaysia bukanlah sebuah negara gagal.


Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang dan seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal Unversity, Vladivostok, Rusia. 


Tags / Kata Kunci: Malaysia , 1MDB

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan