suria

'Main Batu', Ramai VIP 'Terkena'

TIDAK kiralah permata jenis intan, nilam atau zamrud, jika hati sudah berkenan dan ada bajet dalam tangan, tentu tidak salah jika ia dibawa pulang, sama ada untuk koleksi sendiri atau buat insan tersayang.

Namun, lebih afdal jika permata itu dimiliki selepas diamati mata ‘berilmu’, kerana tanpa ilmu, silap hari bulan si pembeli mungkin membeli permata palsu.

Ahli gemologi, Mat Ruzlin Maulud berkata, ramai dalam masyarakat negara ini yang minat membeli batu permata atau lebih biasa dipanggil 'main batu', tapi sayangnya mereka kurang ilmu asas mengenainya.

Katanya, andai tidak tahu selok-belok 'main batu', sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa penipuan, baik individu biasa, mahu pun golongan kenamaan atau VIP.

“Yang paling biasa datang ke sini mereka mengadu terbeli permata sintetik, yang beli ‘kaca’ pun ramai juga, ada yang beli sampai RM30,000, bila saya periksa nilainya tak lebih RM50 atau RM100.

“Sebenarnya kita mesti tahu hak kita bila mahu beli permata. Anda bayar beribu ringgit, pastikan anda tahu apa yang dibayar dan ‘bangunkan’ mata yang ‘terpelajar’ untuk menilai dengan lebih efektif, jangan mudah tertipu sebab ramai sangat yang kena tipu, betul-betul ramai,” katanya dalam temubual bersama mStar Online.

Pemilik syarikat khidmat rundingan batu permata MRM Gem Centre yang terletak di Petaling Jaya ini berkata, selain membeli permata sintetik atau palsu yang didakwa asli oleh peniaga, ada pengguna yang diperdaya dengan taktik yang lebih licik.

Lebih senang disapa sebagai Che Mat, beliau berkata, taktik ini biasanya dilakukan peniaga tidak bertanggungjawab apabila pemilik permata asli menghantar koleksi untuk dijadikan aksesori atau dicuci.

“Ada yang hantar permata mereka ke kedai untuk dicuci dan apabila dipulangkan, ia telah ditukar dengan permata palsu atau sintetik yang hampir sama dengan permata asli yang dihantar,” dedahnya.

Jelasnya, disebabkan batu permata dibayar atas dasar persetujuan bersama antara pembeli dan peniaga, setakat ini tiada undang-undang khas yang dapat memberi keadilan dalam kes-kes penipuan seperti ini.

Bagaimanapun katanya, penilaian ahli gemologi yang mengeluarkan sijil pengesahan tentang keaslian batu permata itu sedikit-sebanyak dapat membantu peniaga dan pembeli.

"Ramai peniaga batu permata jumpa saya dan minta periksa, buat penilaian dan sahkan keaslian batu permata mereka sebelum saya mengeluarkan sijil khas. Sijil ini lebih membuatkan pelanggan lebih yakin untuk membeli.

"Bagi yang ada permata sendiri pula, mereka juga akan minta saya keluarkan sijil untuk pastikan koleksi permata mereka adalah asli dan untuk kepuasan sendiri," katanya yang turut mengeluarkan sijil pengesahan bersama maklumat lengkap batu permata yang dibuat penilaian.

KELAS 'CELIK' PERMATA

Tidak mahu masyarakat terus terpedaya, Che Mat terpanggil untuk membuka kelas khas ‘celik’ permata bagi membolehkan pengalaman dan ilmu tentang batu permata dapat dikongsi sebaiknya dengan mereka yang berminat.

Berpengalaman lebih 30 tahun dengan kelayakan akademik dalam bidang sama, beliau berkata, kelas tersebut terbuka kepada sesiapa sahaja dan diadakan secara berkumpulan dengan bayaran RM200 seorang.

Jelasnya, walaupun batu permata tidak dapat dinilai dengan mata kasar, pembeli tetap boleh menjadi seorang penilai batu permata, sekurang-kurangnya untuk melihat kecacatannya, seterusnya tidak tertipu.

Menurut Che Mat, permata sintetik atau palsu bagai tidak mempunyai ‘nyawa dan jiwa’ jika dinilai dengan betul menggunakan kanta dan lampu penyuluh.

“Salah satu sesi dalam kelas adalah amalan etika yang betul, maksudnya kalau nak beli permata anda ada hak, anda mesti nilai permata itu dengan betul, dengan ‘cara antarabangsa’.

“Dalam penilaian permata, anda kena guna kanta sekurang-kurangnya 10 kali, ‘standard’ dunia 10 kali, baru boleh sahkan permata tu,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan kajian dan pembacaannya, beliau turut mendakwa bahawa negara rantau Asia, termasuk Malaysia, bukanlah tempat yang baik untuk membeli permata jika pelanggannya tidak berhati-hati.

“Bila banding di luar negara dengan di sini, kita kekurangan dari segi etika, pelanggan tak dapat layanan sepatutnya.

“Bila kita beli di luar negara, kita dapat layanan lebih istimewa, mereka akan hulurkan kita lampu suluh dan kanta walaupun bukan kita yang minta, jadi saya rasa etika itu betullah, di sini susah nak dapat etika yang betul untuk beli permata,” katanya.

batu permata, MRM Gem Centre

Artikel Sebelum

Artikel Lain