Bagan Datuk Bakal Berubah Wajah

Diterbitkan: Khamis, 20 April 2017 10:15 AM

Bagan Datuk yang selama ini dianggap sebagai pekan koboi yang sunyi kerana hanya ada dua baris kedai di jalan utama bakal bertukar wajah dengan pelbagai projek pembangunan sosio-ekonomi.

(Ubah saiz teks)

TANGGAL 9 Januari 2017 terpahat sebagai tarikh bersejarah dalam ingatan penduduk pekan kecil Bagan Datuk (dahulu dieja Bagan Datoh) apabila ia diisytiharkan sebagai daerah baharu oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah, bertempat di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk.

Bagan Datuk ialah kawasan parlimen yang diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sepanjang menjadi wakil rakyat kawasan tersebut, beliau telah membawa beberapa perubahan kepada pekan sunyi ini. Selepas perisytiharan sebagai daerah baru pastinya pembangunan di pekan ini akan lebih pesat.

Kenaikan taraf Bagan Datuk menjadi daerah ke-12 di Perak bererti ia kini ‘terlerai’ ikatan dengan Daerah Hilir Perak. Sebelum ini Bagan Datuk dalam naungan Daerah Hilir Perak dengan ibu pejabat pentadbiran di Teluk Intan. Jarak antara Bagan Datuk dan Teluk Intan kira-kira 48 kilometer.

Bagan Datuk diisytiharkan sebagai daerah baharu oleh Sultan Nazrin.

Dengan wujudnya daerah baru ini pembangunan lebih rancak bakal mewarnai Bagan Datuk yang selama ini dianggap sebagai pekan koboi yang sunyi kerana hanya ada dua baris kedai di jalan utama. Senario ini bakal berubah dan Bagan Datuk bakal bertukar wajah dengan pelbagai projek pembangunan sosio-ekonomi.

Pekan yang dianggap mati kerana kedudukannya di penghujung laluan utama dan di tepi Sungai Perak, kini boleh mengharapkan pelbagai pembangunan pesat dan seterusnya menjadi daerah serba maju serta serba lengkap.

Status Bagan Datuk sebagai pekan sunyi kerana kedudukannya di luar laluan utama dijangka berubah dengan pembinaan jambatan dari Bagan Datuk merentasi Sungai Perak ke Kampung Sejagop. Dari situ ia berhubung dengan laluan utama ke Sitiawan dan Manjung dan seterusnya ke utara melalui jalan pesisir pantai.

Lakaran peta projek pembinaan Jambatan Bagan Datuk - Kampung Sejagop.

Jambatan sepanjang 1.5 kilometer ini menelan kos RM446.9 juta. Pembinaan bermula April 2017 dan dijangka siap Mac 2020. Jambatan ini akan mengandungi dua lorong dua hala dengan jalan tuju ke jambatan sepanjang 10.5 kilometer.

Dengan terbinanya jambatan ini masa perjalanan antara Bagan Datuk dengan kawasan-kawasan berhampiran seperti Manjung, Sitiwan dan Pasir Salak dapat dikurangkan. Ia juga bakal mengubah kedudukan sosio ekonomi dan sistem jaringan perhubungan di daerah Bagan Datuk.

Apabila siap projek Lebuhraya Pesisir Pantai yang kini sedang dalam pembinaan, dan dengan adanya jambatan penghubung ini, ia bakal menjadikan pekan Bagan Datuk lebih sibuk.

Pembinan jambatan ini bukan sahaja menjadi rahmat kepada penduduk Bagan Datuk. Bahkan dijangka lebih ramai yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke utara melalui Hutan Melintang (melalui jalan raya pesisir pantai barat) dan sebaliknya akan singgah ke Bagan Datuk.

Kerana pekan Hutan Melintang menjadi laluan utama dari selatan ke utara dan sebaliknya, pekan tersebut lebih rancak membangun dibandingkan dengan pekan Bagan Datuk sendiri. Tetapi dengan adanya jambatan Bagan Datuk-Sejagop situasi dijangka berubah.

Kompleks pentabiran ini akan muncul sebagai pusat sehenti untuk pelbagai hal pentadbiran atau urusan tanah. 

Orang ramai boleh datang melawat Bagan Datuk dan meneruskan perjalanan ke utara menggunakan jambatan ini tanpa perlu berpatah balik ke Hutan Melintang. Begitu juga mereka dari utara boleh menggunakan jambatan ini untuk singgah ke Bagan Datuk dan meneruskan perjalanan melalui Hutan Melintang.

Sejajar dengan kedudukan sebagai daerah baru, pelbagai rancangan pembangunan dirangka untuk Bagan Datuk. Nadi penggerak ialah sebuah kompleks pentadbiran Daerah Bagan Datuk yang akan dibina di kawasan projek pembangunan Bagan Datuk Water City (BDWC). Projek bernilai RM40 juta ini dimulakan Mac 2017 dan dijangka siap November 2018.

Kompleks pentadbiran ini akan dibina di atas kawasan tanah seluas 30 ekar, menempatkan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk serta agensi-agensi lain. Antaranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Agama Daerah.

Ia akan muncul sebagai pusat sehenti bagi penduduk Bagan Datuk berurusan dalam pelbagai hal pentadbiran atau urusan tanah. Selama ini mereka terpaksa pergi ke Pejabat Daerah Hilir yang berpuluh kilometer jauhnya untuk menyelesaikan perkara-perkara tersebut. Bagi urusan pendaftaran dan pengeluaran kad pengenalan (IC), sebuah pejabat Pendaftaran Negara (JPN) sudah ada di Bagan Datuk.

Aspek pendidikan diberi penekanan di daerah baharu Bagan Datuk. Kini sudah ada Sekolah Menengah Sains (di pekan Bagan Datuk) dan Kolej Komuniti (di pekan Hutan Melintang). Bakal menyusul ialah Politeknik Bagan Datuk yang juga dikenali sebagai Politeknik Marin. Ini kerana ia akan menekankan pendidikan marin.

Politeknik ini akan menawarkan kursus pengajian peringkat Diploma dalam tiga bidang utama iaitu Kejuruteraan Marin, Naval Arkitek dan Pembuatan Kapal. Pengambilan pertama pelajar dijangka pada Jun 2017, beroperasi di bangunan sementara di Hutan Melintang.

Pembinaan politeknik berharga RM220 juta ini bermula pada September 2017 dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2019. Ia terletak berhadapan Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk. Mampu menampung 1,200 pelajar, ia bakal beroperasi sepenuhnya pada 2020.

Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan dijadual beroperasi sepenuhnya pada 2020.

Juga dalam perancangan ialah pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk dengan kos RM110 juta. Kerja-kerja ‘rawatan tanah’ (soil treatment) bermula Februari hingga Ogos 2017, diikuti dengan pembinaan bangunan yang dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2019. MRSM ini mampu menempatkan 750 pelajar dengan modul pelajaran Ulul Albab.

Selain itu akan dibina Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (Bagan Datuk) dan bakal menjadi salah satu daripada enam sekolah menengah tahfiz di bawah inisiatif kerajaan negeri Perak. Menelan kos RM48 juta, pembinaan akan dimulakan pada Mei 2017 dan dijangka siap April 2019. Ia dijadual beroperasi sepenuhnya pada 2020 dengan pengambilan 300 pelajar.

Selain itu, turut dirancang ialah pembinaan sebuah kompleks sukan yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK-11). Ia bertujuan menyediakan kemudahan riadah dan sukan di Bagan Datuk, pembinaan kompleks berharga RM31 juta ini bermula Februari 2017 dan dijangka siap pada Januari 2019.

Bagi memenuhi keperluan penginapan untuk orang ramai yang berkunjung ke Bagan Datuk atau anak tempatan yang pulang ke kampung halaman, sebuah hotel empat bintang akan didirikan oleh Ri-Yaz Hotel and Resorts mengandungi 82 bilik terdiri daripada 52 studio, 26 Delux dan empat Villa.

Hotel berharga RM28 juta ini mula dibina pada Mac 2017 dan dijangka siap November 2017. Ia dilengkapi kolam renang, gimnasium, restoran, dewan majlis dan bilik mesyuarat. Pembangunan oleh Ri-Yaz ini mampu merancakkan lagi sektor pelancongan Bagan Datuk kerana ia akan menjadi tempat persinggahan pelancong sebelum berkunjung ke Pulau Sembilan.

Kompleks masjid terapung dibina berhampiran Sungai Perak.

Sebuah mercu tanda baru juga bakal muncul di Bagan Datuk iaitu kompleks masjid terapung yang akan dibina berhampiran Sungai Perak, dikenali sebagai Kompleks Masjid Tuminah Bagan Datuk. Pembinaan kompleks masjid berharga RM38 juta ini bermula April 2017 dan dijangka siap April 2019. Masjid ini mampu menampung 5,000 jemaah, dilengkapi dengan kemudahan ruang solat utama, Klinik Al-Quran, Dewan Serbaguna dan Dataran Awam di dalam pekarangan masjid.

Sesungguhnya kenaikan taraf Bagan Datuk kepada sebuah daerah memang wajar dan sudah lama dinantikan. Ia bagai rahmat kepada penduduk tempatan kerana mereka kini mempunyai daerah pentadbiran sendiri tanpa perlu berulang alik ke Pejabat Daerah Hilir Perak di Teluk Intan.

Pemisahan ini tepat memandangkan kawasan pentadbiran Daerah Hilir Perak begitu luas. Bagan Datuk sendiri mempunyai keluasan 94,969 hektar. Kewujudan daerah Bagan Datuk memberi manfaat kepada 70,300 penduduk daripada empat mukim iaitu Bagan Datuk, Hutan Melintang, Rungkup dan Teluk Baru, merangkumi 48 kampung.

Dengan pengisytiharan sebagai daerah baharu dan pelbagai projek pembangunan serta sosio-ekonomi yang dirancang, Bagan Datuk akan bergerak maju dan muncul antara daerah terulung di negeri Perak.

Tags / Kata Kunci: Bagan Datuk

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan