Ulang Tahun Ke-50: Pesta Pulau Pinang Telah Hilang Seri?

Diterbitkan: Ahad, 18 Disember 2016 5:15 PM

(Ubah saiz teks)

PESTA Pulau Pinang, acara tahunan berprestij di Pulau Mutiara khususnya dan negeri di sebelah utara semenanjung amnya, kini sudah mencecah usia 50 tahun sejak bermula pada 1966.

Ketika ini, pesta yang menyambut ulang tahun jubli emas  sedang berlangsung di Sungai Nibong sejak akhir November hingga akhir Disember ini.

Sejak diperkenalkan, Pesta Pulau Pinang terus menempa populariti dan mendapat sambutan hangat, khususnya dalam tempoh beberapa tahun selepas ia bermula. Malahan, acara ini menjadi salah satu peristiwa penting dalam kalendar pelancongan negeri itu.

Penganjurannya pada musim cuti persekolahan setiap hujung tahun bermatlamat untuk menarik lebih ramai pengunjung. Sasaran utama untuk ibu bapa membawa keluarga bercuti dan melancong ke Pulau Pinang dengan menjadikan Pesta Pulau Pinang sebagai salah satu tarikan.

Penulis sendiri masih ingat ketika masih di sekolah rendah pada akhir tahun 60-an, penduduk kampung mengadakan rombongan ke Pulau Pinang untuk melancong dan berkunjung ke Pesta Pulau Pinang. Memang ramai menyertai rombongan kerana orang kampung memang ‘excited’ untuk melawat Pulau Mutiara.

Dari seluruh pelusuk negara banyak bas rombongan bertumpu ke Pulau Pinang memenuhi tapak pesta. Tidak ketinggalan penduduk setempat yang hadir untuk memeriahkannya.

Pelbagai tarikan disediakan untuk pengunjung seperti gerai-gerai jualan pelbagai aneka barangan dan pakaian,  permainan, pameran , gerai makanan serta konsert artis  popular.

Tarikan ini, di samping suasana santai dan meriah di tapak pesta, memang menghiburkan dan menjadikan Pesta Pulau Pinang terus unggul untuk tempoh yang agak lama. Saban tahun setiap kali pesta didakan sambutan begitu menggalakkan.

Namun barangkali masa mengubah segalanya. Pesta Pulau Pinang yang ternyata sangat gah suatu ketika dahulu kini bagaikan telah hilang serinya. Malah ada yang menyifatkan ia diadakan hanya sebagai meneruskan tradisi agar pesta itu tidak berkubur.

Ketika ke Pulau Pinang baru-baru ini, penulis mengambil kesempatan berkunjung ke pesta tersebut. Tapak pesta ini yang bersebelahan terminal bas ekspres dihias indah dengan lampu neon berwarna warni, menyeri dan menghidupkan suasana sekeliling.

Di samping itu gerai-gerai menjual pelbagai barangan seperti pakaian, permaidani dan barangan telekomunikasi adalah antara gerai utama yang memenuhi pesta. Gerai makanan dan minuman juga disediakan untuk pengunjung.

Antara permainan yang ada pula ialah ‘roller coaster’ dan juga buaian pusing. Tetapi kerana hujan, permainan-permainan ini tidak beroperasi.

Juga terdapat pameran replika haiwan dinamakan ‘The Animal Kingdom’ yang memang menarik, selain persembahan hiburan dan pertandingan karaoke.

 

Namun sayangnya pengunjung tidak ramai. Ditambah musim hujan sekarang, sambutan terhadap pesta tersebut begitu suram, bagai tiada seri.

Selepas menyaksikan sendiri situasi terkini di tapak pesta itu, penulis berpendapat faktor cuaca bukan punca utama pengunjung tidak ramai. Berdasarkan perbualan dengan beberapa penduduk tempatan, mereka mengakui Pesta Pulau Pinang sudah tidak semeriah atau sehebat seperti ketika era popularnya dahulu.

Penulis juga cuba meninjau sekitar kawasan berhampiran tapak pesta jika ada deretan bas rombongan di seperti suatu ketika dahulu. Memang tidak ada. Yang ada hanya deruan bas ekspres dari terminal bersebelahan. Ini petanda orang luar sudah tidak ramai datang ke pesta.

Jelas sekali zaman kemeriahan dan kegemilangan Pesta Pulau Pinang sudah berlalu. Pesta yang ada sekarang hanyalah sebagai penyambung tradisi tahunan acara berkenaan.

Malah ada penduduk tempatan menyifatkan Pesta Pulau Pinang kini hanya seperti ‘fun fair’ sahaja kerana  semangat pesta bagaikan sudah malap, tidak segar seperti dahulu.



Penulis percaya pihak penganjur telah berusaha sedaya upaya untuk menjadikan pesta ini terus meriah sebagai tarikan pelancong. Namun peredaran masa dan perubahan citarasa masyarakat menyebabkan Pesta Pulau Pinang tidak lagi gah seperti dahulu.

Ketika dilancarkan pada 1966 dan untuk beberapa tahun berikutnya, Pesta Pulau Pinang diakui sebagai pesta berprestij, mungkin sebab utamanya ketika itu tidak ada pesta sedemikian di negeri-negeri lain. Pulau Pinang dengan status pelabuhan bebas cukai menjadi tumpuan dan Pesta Pulau Pinang menggamit pengunjung.

Masa berlalu. Dengan tarikan pesta lain dan wujudnya pelbagai bentuk hiburan serta tempat-tempat santai di seluruh negara seperti taman-taman tema, dan terhapusnya status Pulau Pinang sebagai pelabuhan bebas cukai, menyebabkan pesta itu bukan lagi menjadi daya tarikan.

Jika pada era kegemilangannya, pelawat dan pelancong memenuhi Pulau Pinang dan memeriahkan tapak pesta itu, tetapi kini ia adalah sebaliknya. Menanti kedatangan mereka berpusu-pusu seperti dahulu bagaikan impian yang tak kunjung jelma.

Dengan sambutan yang tidak lagi sehebat dahulu, mampukah Pesta Pulau Pinang bertahan? Mampukah ia mengembalikan zaman kegemilangannya? Hanya masa yang menentukan.



Tags / Kata Kunci: Pesta Pulau Pinang , Sungai Nibong

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan