suria

Penonton Antarabangsa Puji Kisah Cinta Menyentuh Hati

Lau Kek Hua

PETALING JAYA: Ia adalah dokumentari ringkas berhubung kisah cinta keluarga di Malaysia namun berjaya mengalirkan air mata penonton antarabangsa.

Filem Absent Without Leave ditayangkan di festival filem Korea, Taiwan dan baru-baru ini memenangi hati penonton di Festival Filem Antarabangsa Singapura yang berlangsung pada Ahad lalu.

Filem berdurasi 85 minit yang diarah oleh Lau Kek Hua itu adalah dedikasi terhadap datuknya, seorang komunis.

Lau, 37, mencari semula rakan-rakan seperjuangan yang mengenali datuknya dalam Parti Komunis Malaya (PKM) di serata dunia seperti Thailand, China dan Hong Kong.

“Saya mesti jelaskan bahawa filem ini bukan mengenai komunis. Ia tidak bermakna saya menyokong ideologi politik mereka. Sebab utama saya melakukan dokumentari mengenainya ialah kerana saya ingin mengenali datuk saya dengan lebih dekat,” katanya.

Lau yang telah berpisah daripada bapanya, Lau Soon Chin mengakui sukar untuk merealisasikan idea berkenaan selepas bapanya itu diberitahu mengenainya lima tahun lalu.

“Bapa tidak mahu orang tahu bahawa datuk saya merupakan seorang komunis. Sejak daripada kecil lagi, kami diajar untuk menghormati gambarnya di rumah namun tidak tidak mengetahui siapa dia sebenarnya.

“Saya yakin ia merupakan stigma tentang pemberontakan komunis pada masa lalu,” jelasnya.

Lau berharap bahawa dokumentari ini boleh membantu menyembuhkan luka-luka yang disebabkan oleh konflik awam pada masa lalu Malaysia.

Absent Without Leave sedang ditayangkan di Taiwan, tetapi Lau berharap agar ia dapat memasuki pasaran di Malaysia.

"Bukan sahaja untuk menceritakan kisah datuk saya sendiri, tapi ia akan menjadi lebih baik jika saya boleh bekerjasama dengan pengarah filem Melayu untuk memberitahu kisah datuknya yang telah berjuang untuk tentera British.

"Hanya selepas itu barulah ia menjadi filem Malaysia yang sebenar," katanya.

Filem ini mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dan menelan belanja RM80,000.

Lau dilahirkan di Sitiawan, Perak dan kini meneruskan kerjaya pembikinan filem di Taipei.

Beliau telah dua kali memenangi Anugerah Filem Pendek Terbaik dan sekali bagi Anugerah Pengarah Terbaik di Anugerah Golden Harvest.

Artikel Berikut

Artikel Lain