suria

Hospital Islam Pulau Pinang Dijangka Mula Beroperasi 2020

Datuk Mansor Othman menunjukkan gambar grafik Hospital Islam Pulau Pinang yang akan dibina ketika ditemui Bernama di pejabatnya di Menara Boustead. -fotoBERNAMA

GEORGE TOWN: Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dengan kerjasama Majlis Agama Islam negeri akan membangunkan projek Hospital Islam Pulau Pinang (HIPP) bernilai RM280 juta di kawasan Bayan Baru.

Pengerusi YIPP, Datuk Mansor Othman berkata kerja-kerja pembinaan projek di tanah seluas hampir satu hektar itu akan bermula selepas majlis pecah tanah pada Ahad ini.

Beliau berkata, hospital yang akan dilengkapkan dengan kemudahan 200 katil itu merupakan hospital pertama di wilayah utara yang berkonsepkan patuh syariah dan dijangka mula beroperasi awal 2020.

"Hospital Pakar An-Nur di Selangor, telah dipilih sebagai pengendali HIPP manakala pemajunya merupakan sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang akan diumumkan Ahad ini," katanya kepada Bernama dalam satu temubual di sini, Khamis.

Mansor berkata, hospital ini telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan diperakui oleh Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) selepas menerima pengiktirafan pensijilan MS 1900:2014 dengan sistem berasaskan syariah Islam.

"HIPP akan menerapkan amalan perubatan berasaskan Islam di mana wad lelaki dan perempuan akan diasingkan, doktor wanita untuk wad bersalin dan kakitangan bertugas yang menutup aurat bagi mematuhi syarat sebagai hospital patuh syariah," katanya.

Bagaimanapun katanya, model perniagaan hospital ini bukan hanya tertumpu kepada orang Islam sahaja tetapi juga bagi orang bukan Islam yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan dengan harga berpatutan.

Beliau berkata pembinaan HIPP ini adalah selaras dengan permintaan rawatan perubatan penduduk negeri dan juga warga asing untuk ke Pulau Pinang yang  terkenal dengan destinasi pelancongan perubatan.

"Mengikut Malaysia Healthcare Travel Council, jumlah keseluruhan pendapatan daripada pelancongan kesihatan adalah sebanyak RM390 juta tahun lepas dan 60 peratus daripada pelancong memilih Pulau Pinang sebagai destinasi mereka untuk mendapat rawatan kesihatan," katanya.

"HIPP yang terdiri daripada bangunan 14 tingkat ini akan mempunyai 600 tempat meletak kereta setinggi tujuh tingkat dan dilengkapi dengan pakar bidang  perubatan seperti pakar Pediatrik, Ginekologi, Endoskopi dan Kardiologi," katanya.

Mansor berkata hospital ini akan turut menawarkan 20 buah katil wakaf untuk membantu masyarakat kurang berkemampuan yang memerlukan rawatan perubatan.

"Pembiayaan kos rawatan bagi 20 buah katil wakaf ini akan ditanggung oleh pihak HIPP sebagai salah satu komitmen bahawa hospital yang akan didirikan ini  tidak mengenepikan golongan miskin," katanya.

Selain itu, beliau berkata pembinaan hospital ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan tambahan kepada penduduk setempat khususnya dalam bidang pengurusan pembuatan dan kesihatan.

"Hampir 1,000 kekosongan jawatan pelbagai bidang, bakal ditawarkan kepada orang ramai, selepas projek ini siap dalam tempoh tiga tahun lagi," katanya.

Majlis pecah tanah tapak projek HIPP di persimpangan Jalan Mayang Pasir 1 dan Jalan Mayang Pasir 2 itu dijadual dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada Ahad ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain