Agenda Melayu Maju Sebagai Tawaran Baharu Umno

Diterbitkan: Isnin, 5 Disember 2016 3:37 PM

Sebahagian perwakilan UMNO bersemangat menyanyikan lagu warisan 'Anak Kecil Main Api' selepas mendengar ucapan penggulungan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini. -BERNAMA

(Ubah saiz teks)

SELEPAS 70 tahun kewujudan Umno, terdapat keperluan untuknya mencari naratif dan fokus baharu agar kekal segar dan relevan.

Umno tidak boleh sekadar mengitar semula segala pendekatan dan formula sebelum ini.

Terutamanya dalam konteks globalisasi dan kehidupan abad ke-21 yang sangat mencabar.

Justeru, Pemuda Umno Johor menyarankan agar parti menyemak semula agenda Melayu yang diperjuangkan selama ini. Khususnya slogan ‘Hidup Melayu’. 

Benar bahawa slogan dan semangat kebangsaan seperti ini adalah penting.

Orang Melayu bersatu berjuang menentang Malayan Union sehingga menyaksikan tertubuhnya Umno. - Gambar Fail

Namun, semua itu lebih menjurus kepada menyeru penyatuan dalam usaha mengusir penjajah dan menanam rasa bangga kepada orang Melayu sebagai bangsa berdaulat dalam fasa awal era pasca merdeka.

Jika dilihat dengan teliti, selepas hampir enam dekad mengecapi kemerdekaan, masih ramai orang Melayu yang kelihatan tidak mempunyai ketahanan jiwa dan pemikiran aras tinggi, tidak mempunyai kemahiran bertaraf global, tidak mempunyai kebitaraan dan keupayaan untuk bersaing secara terbuka.

Biarpun selepas pelbagai dasar dan bantuan yang dikhususkan untuk melonjakkan kedudukan orang Melayu telah diperkenalkan oleh Umno.

Lebih penting, semakin hari hubungan orang Melayu dengan Umno seakan semakin renggang. 

Usaha mewujudkan hubungan baharu antara Umno dan orang Melayu juga nampaknya mencapah dan tidak bersepadu. 

Semakin ramai orang Melayu bukan sahaja menolak Umno sebagai sebuah wadah siasah pilihan. 

Malah, orang Melayu kelihatan terkapai-kapai tanpa keunggulan baharu yang boleh menyatukan dan merangsang mereka menjadi bangsa terbaik.
 
Tanpa satu aruhan baharu dalam agenda orang Melayu yang dipimpin oleh Umno, kebanyakan orang Melayu pasti akan kekal di tampuk lama. 

Tidak mustahil, mereka akan tewas dalam persaingan global yang sangat radikal dan tidak mempunyai belas ihsan.

Sebagai salah satu solusi kepada enigma ini, Pemuda Umno Johor menyambut baik saranan Umno Johor, melalui pembawa usul politiknya, Datuk Ayub Rahmat pada Perhimpunan Agung Umno 2016 yang lepas, bagi parti mempertimbangkan saranan Agenda Melayu Maju ini, sebagai satu ‘Tawaran Baharu’ (New Deal) Umno kepada orang Melayu.

Agenda ini boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk dan pendekatan.

Misalnya, dengan memberi fokus kepada pemerkasaan dan kebolehsaingan ekonomi orang Melayu serta memperhalusi semula cabaran-cabaran baharu ekonomi orang Melayu yang mesti Umno hadapi dan juarai.

Najib Tun Razak ketika berucap pada PAU 2016 di PWTC, baru-baru ini. - AZHAR MAHFOF/The Star

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2017 menyatakan bahawa ekonomi negara terus berkembang pada kadar 4.1 peratus, dan mensasarkan pertumbuhan antara 4 hingga 4.5 peratus bagi tahun 2016 dan 4 hingga 5 peratus pada 2017, akan tercapai.

Akan tetapi, Umno juga harus sedar bahawa sekadar merekodkan pertumbuhan ekonomi yang baik belum memadai.

Kerana kesemua angka tersebut tidak secara automatik mencerminkan kualiti hidup rakyat yang sebenar.

Kesenjangan ekonomi rakyat yang menokok, ketiadaan pelan khusus dalam mendepani peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat dan pendapatan yang kekal tidak berganjak boleh terus menjadi punca besar kemarahan dan penolakan rakyat kepada Umno dan kerajaan.

Misalnya, yang pertama, dalam isu kos sara hidup dan survival harian orang Melayu di Malaysia. 

Perkara yang dianggap sudah terlalu biasa dan klise’ ini boleh menjadi penentu menang atau tewasnya Umno dalam PRU-14 yang akan datang.

Kerana, isu kos sara hidup ini adalah isu asasi. Ia cerita kehidupan sehari-hari. Ia bukan cerita kehendak dan kemahuan. Ini isu keperluan dan amat mendesak.

Umno harus ingat, orang yang kosong perutnya, juga boleh kosong kesabaran dan kewarasannya. 

Malah, Rasulullah SAW pernah berpesan bahawa kefakiran itu boleh membawa kepada kekafiran.

Jadi, jika orang yang lapar, yang sedang berada dalam keadaan sukar, yang berasa diketepikan dan tidak dipedulikan, boleh berpotensi meninggalkan agama, apakah kita fikir mereka tidak akan teragak-agak meninggalkan parti dan segala perjuangan kita?

Jadi, Umno mesti memandang serius perkara ini. Jangan biarkan sehingga orang Melayu berasa yang mereka seakan terpaksa bertarung nyawa, demi sesuap nasi dan semangkuk hidangan di atas meja.

Jadi, tidak hairanlah hanya sehari selepas Ayub wakil membentangkan idea keperluan Umno memberi ‘Tawaran Baharu’ kepada orang Melayu ini, DAP tanpa segan menciplak penuh idea dan saranan ini.

Malah, peniruan tidak bermaruah oleh DAP tersebut ibarat menjilat ludah sendiri, memandangkan mereka amat lantang mengecam Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, apabila beliau menyelar DAP sebagai parti rasis yang ketandusan idea baharu.

Melainkan sekadar mampu merayu-rayu agar Johor mengikut sahaja secara membuta tuli segala dasar Selangor dan Pulau Pinang. Sekalipun dalam perkara yang tidak diperlukan.

Kedua, dalam isu kesiapsiagaan orang Melayu dalam persaingan dunia pekerjaan abad ke-21.

Laporan yang dibentangkan di World Economic Forum di Davos, Switzerland pada Januari tahun ini menjangkakan bahawa dalam tempoh lima tahun akan datang, mesin dan robot akan menggantikan lebih 5.1 juta pekerjaan.

Sumber tenaga manusia semakin tidak diperlukan ekoran peralihan teknologi pembuatan robot yang semakin canggih. - Ihsan Business Insider

Angka ini didasarkan pada kaji selidik oleh Chief Human Resources Officer dan Top Strategy Executives dari perusahaan di sembilan kategori industri yang meliputi 15 negara ekonomi terbesar di dunia.

Antaranya China, Perancis, Jerman, India, United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang secara kolektifnya menyumbang sekitar 65% dari jumlah pekerja dunia.

Kesannya, banyak sektor yang selama ini menawarkan pekerjaan akan terkesan teruk.

Misalnya sektor pembuatan, sektor pentadbiran, sektor pengeluaran, sektor pembinaan, sektor kreatif dan inovasi. Kesemua sektor ini akan berubah wajah dan sudah tidak memerlukan tenaga manusia yang ramai.

Dan perlu kita ingat, sektor-sektor inilah yang banyak dipenuhi dengan orang Melayu.

Jadi, kesan jangka masa panjangnya, ia akan membawa kepada gelombang kadar pengangguran yang besar dan berleluasa, sekaligus menyebabkan sebahagian besar masyarakat kita akan hilang pekerjaan dan mata pencarian.

Maka, untuk berhadapan dengan gelombang ini, kita mestilah mempunyai perancangan yang rapi. Bagaimana untuk mempersiapkan masyarakat umum kita dengan pelbagai persediaan.

Di sinilah kita melihat mengapa konsep ekonomi merdeka (independent economy) atau indienomics perlu disuburkan.

Ia berupaya membuka ruang dan peluang kepada masyarakat kita mencipta pendapatan sendiri melalui perniagaan.

Malah, ketika kejatuhan pasaran kewangan di United Kingdom sebelum ini, sektor pasaran ‘hipster’ inilah yang banyak membantu untuk memulihkan keadaan.

Terutamanya di dalam memerangi pengangguran di kalangan golongan pekerja muda. Umno atau Kerajaan Pusat perlu ambil saranan Agenda Melayu Maju ini, dengan menubuhkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan (MECD), bagi kembali berada di landasan dalam membudayakan keusahawan sebagai satu kerjaya pilihan.

Dalam isu ini, sekali lagi DAP menyerlahkan belang dan sikap sebenar mereka serta kekontangan idea parti DAP, apabila mereka turut memasukkan aspek kepentingan melahirkan masyarakat yang berdaya saing global sebagai salah satu ‘tawaran baharu’ versi mereka.

Ketiga, kita lihat pula dalam konteks kerancakan pengaruh aplikasi digital dan sejauh manakah tahap penglibatan orang Melayu. 

Dijangkakan bahawa Ekonomi Digital bakal menyumbang kira-kira 18% KDNK Malaysia pada tahun 2020.

Manakala, lebih 90% daripada kesemua pekerjaan ini menuntut kemahiran digital yang pelbagai.

Apa implikasi dari semua ini?

Generasi muda kini bergantung kepada teknologi digital untuk mendapatkan maklumat dengan lebih pantas. - GAMBAR HIASAN

Pertama, kelahiran generasi digital asli (digital native). Mereka yang hidupnya, pemikiran dan sikap, dipengaruhi oleh kemajuan teknologi digital dan kepantasan maklumat. Kehidupan mereka adalah segala-galanya tentang ‘screen, information and speed’.

Kedua, perubahan dalam bentuk dan corak lingkungan kehidupan. Wang tunai umpamanya, sudah tidak lagi digunakan di kebanyakan negara Eropah. Semuanya bersifat bebas tunai atau cashless.

Tetapi, pendedahan kepada teknologi digital seperti ini bukan bermakna wujudnya keupayaan dan kemahiran digital yang sebenar.

Data menunjukkan bahawa ramai sekali generasi digital tidak mempunyai kemahiran dalam teknologi digital. Mereka hanya sekadar menjadi pengguna dan pengikut.

Malah tidak kurang yang termasuk dalam golongan ‘mangsa alam digital’.

Penggunaan perisian digital yang kerap dan meluas belum menggambarkan pemilikan kemahiran dan kepakaran digital yang sebenar.

Maka Umno harus mencari jalan untuk memulihkan keadaan ini terutamanya dalam menyediakan orang Melayu untuk menghadapi semua ini.

Umno perlu menjadi peneraju bagi memulakan langkah menjadi pelopor “The Fourth Industrial Revolution” (Industry 4.0), iaitu dengan menyediakan bakat terbaik bagi menggerakkan dunia dan ekonomi digital kita dengan kemahiran sebenar. 

Kerana, Revolution Perindustrian Keempat ini akan mengubah cara kita hidup, bekerja, dan berinteraksi antara satu sama lain. Ia adalah realiti ekonomi masa depan yang memerlukan kemahiran dan kefahaman bahasa digital dan teknologi.

Kesimpulannya, rentetan daripada segala perkembangan dan perubahan yang kita saksikan dalam masyarakat dan negara kita hari ini, Pemuda UMNO Johor berpendirian bahawa wujud keperluan yang besar kepada Umno untuk mencari naratif dan fokus baharu.

Terutamanya yang melibatkan semakan terhadap agenda Melayu yang kita perjuangkan selama ini. 

Dalam hal ini, Pemuda Umno Johor berpendirian bahawa Agenda Melayu Maju boleh diangkat sebagai satu Tawaran Baharu Umno kepada orang Melayu.

Kami juga ingin merakamkan setinggi – tinggi penghargaan kepada Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin kerana menyambut baik cadangan dan saranan Umno Johor ini.

Pemuda Umno Johor juga mahu agar cadangan dan saranan Agenda Melayu Maju ini disegerakan perlaksanaannya bersama – sama agenda ‘Transformasi Nasional 50’, demi kelangsungan Umno, maruah orang Melayu, kemajuan negara serta martabat Islam.

Artikel ini dikarang oleh Hahasrin Hashim, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor pada 5 Disember 2016


Tags / Kata Kunci: Umno , Pemuda Johor

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan