Memburu Penghutang Tegar PTPTN Yang Culas...

Diterbitkan: Isnin, 5 Disember 2016 8:26 PM

(Ubah saiz teks)

SEHINGGA 31 Ogos tahun ini, lebih 753,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak pernah membayar balik walau satu sen pun pinjaman mereka.

Keseluruhan pinjaman tersebut berjumlah RM5.191 bilion.

Fakta ini yang didedahkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di Parlimen baru-baru ini sangat membimbangkan. Bukan sahaja jumlah pinjaman yang belum berbayar begitu besar tetapi ia juga menggambarkan sikap sangat tidak bertanggung jawab peminjam yang tidak peduli langsung untuk membayar pinjaman.

Menurut Idris, sehingga 31 ogos lalu, sejumlah 1,917,033 pelajar yang menerima pembiayaan PTPTN telah menamatkan pengajian dan sepatutnya mula menjelaskan pembayaran balik pinjaman. Namun mereka ingkar atau sengaja mengabaikan pembayaran mengakibatkan sasaran kutipan sebanyak RM18.311 bilion gagal dicapai. Sebaliknya hanya RM9.6 bilion sahaja berjaya dikutip semula.

Tidak hairanlah jika kedudukan kewangan PTPTN semakin menipis akibat sikap peminjam yang mementingkan diri sendiri. Selepas memperoleh pembiayaan untuk belajar di pusat pengajian tinggi, mereka culas apabila tiba masa untuk membayar balik.

Para penghutang tegar ini lupa ramai pelajar lain juga memerlukan bantuan sepertimana mereka sebelum itu. Saban tahun ribuan pelajar baru yang memasuki institusi pengajian tinggi bergantung harap kepada bantuan PTPTN, selain pelajar yang sudah sedia ada dibiayai. Pihak PTPTN pula hanya mampu memberikan bantuan berterusan jika kedudukan kewangannya kukuh.

Kerana itulah sikap bertanggung jawab peminjam untuk membayar balik pinjaman sangat dituntut. PTPTN adalah umpama ‘tabung pusingan’ di mana pemberian pinjaman baharu dan kesinambungannya banyak bergantung kepada kedudukan kewangan.

Pembayaran balik pinjaman adalah ibarat kitaran mengisi tabung. Jika bayaran balik tidak dibuat, pusingan kewangan juga menjadi tiris. Akibatnya ia boleh menjejaskan bantuan kepada pelajar lain di kemudian har, khususnya golongan yang memang sangat memerlukan pembiayaan.

Mereka yang enggan membayar balik ini jelas tidak memikirkan nasib generasi selepas mereka. Apa yang mereka fikir ialah mereka sudah mendapat pembiayaan. Apa yang terjadi kepada generasi selepas itu bukan masalah mereka.

Sebahagian daripada mereka ini memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian. Pendapatan  yang diterima juga tinggi. Mereka mampu berbelanja untuk pelbagai keperluan lain tetapi merasa tidak perlu untuk membayar balik pinjaman PTPTN - badan yang berjasa dalam memastikan mereka memperoleh pendidikan tinggi dan segulung ijazah.

Justeru disarankan agar PTPTN tidak lagi memberi muka kepada golongan ini. Sebaliknya bertindak dengan lebih agresif dan proaktif bagi memastikan mereka menghormati syarat pinjaman.

Beberapa langkah yang telah diambil seperti menghalang penghutang tegar ke luar negara atau merujuk nama mereka kepada pusat maklumat kredit seperti Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System) atau CCRIS dikira usaha yang baik.

Difahamkan sehingga November 2015 sahaja, sebanyak 701,895 nama penghutang tegar telah dirujuk kepada CCRIS, di samping ramai yang gagal ke luar negara akibat disenarai hitamkan. Tetapi usaha ini nampaknya belum benar-benar menggerunkan penghutang tegar.

Sistem pemantauan PTPTN perlu lebih teliti dan terkini. Misalnya membuat pemantauan berterusan  dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Peminjam yang membuat caruman cukai atau KWSP bermakna mereka sudah bekerja. Mereka wajar diberi surat peringatan.

Jika selepas diberi peringatan mereka masih tidak peduli untuk membayar pinjaman, PTPTN wajar menggunakan saluran undang-undang bagi membolehkan majikan membuat potongan gaji untuk membayar pinjaman.

PTPTN juga mungkin perlu memikirkan kembali kaedah memberikan potongan atau rebat dalam usaha menggalakkan penghutang tegar membayar pinjaman. Mungkin kaedah ini perlu dihentikan kerana ia secara tidak langsung seperti menggalakkan peminjam mengabaikan tanggungjawab mereka membuat pembayaran.

Ini kerana kecenderungan yang akan berlaku ialah mereka akan menunggu ada tawaran rebat baru hendak membuat pembayaran, itu pun bukan membayar keseluruhan pinjaman.

Jika tawaran ini setahun sekali misalnya, maka hanya setahun sekali mereka membuat pembayaran sedangkan yang sebaik-baiknya ialah pembayaran secara sistematik setiap bulan.

Apa yang dikesalkan ialah sekalipun PTPTN memberi kelonggaran dalam kaedah pembayaran balik seperti penstrukturan pinjaman, ramai peminjam tetap tidak ambil peduli. Justeru untuk mengatakan PTPTN tidak memberi peluang atau tidak mahu berunding sangat tidak benar.

Apabila mereka sudah dikenakan tindakan mahkamah, atau disenarai hitam untuk membuat pinjaman atau ke luar negara barulah mereka bersuara menyalahkan PTPTN kononnya tidak memberi peringatan sedangkan pelbagai ingatan sudah diberi sebelumnya.

Situasi seperti inilah yang perlu ditangani oleh PTPTN dengan berani dan tegas. Mungkin selama ini masih ada ruang-ruang kelembutan yang luas daripada PTPTN yang menyebabkan peminjam tidak gentar dan terus memperlekeh PTPTN.

Jika mereka boleh patuh kepada jadual pembayaran kereta misalnya, kenapa mereka enggan patuh kepada jadual pembayaran PTPTN. Tidak membayar ansuran kereta akan menyebabkan kereta ditarik. Mereka tidak mahu ini terjadi. Tetapi membayar balik pinjaman PTPTN mereka abaikan.

Justeru PTPTN juga perlu ada kaedah seperti yang dilakukan oleh bank terhadap peminjam. Terlalu berlembut boleh memberi isyarat yang salah kepada peminjam yang beranggapan tidak perlu gentar kepada PTPTN.  Jelas mereka tidak menghargai pihak yang telah membantu mereka mencapai kejayaan dalam mengejar impian.

Para peminjam mesti sedar dan perlu disedarkan bahawa PTPTN bukan jabatan kebajikan yang memberi bantuan percuma. Sebaliknya ia adalah agensi yang membantu pembiayaan pelajar ke pusat pengajian tinggi melalui tabung pusingan.

Setiap pinjaman perlu dibayar balik kecuali ada pengecuaian seperti memperoleh Ijazah Kelas Pertama kerana pembayaran balik itu adalah sumber kewangan untuk memastikan tabung PTPTN sentiasa berisi bagi membolehkannya memberi pembiayaan seterusnya. Tanamkan ini di jiwa peminjam.

Sikap membayar balik pinjaman perlu dibudayakan dalam kehidupan. Ia perlu ditanam di dalam diri dan jiwa sipeminjam. Jika tidak, sikap buruk dan jelak ini akan menjadi darah daging dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. 

Tags / Kata Kunci: PTPTN , penghutang tegar

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan