UMNO Dan Tawaran Baharunya Kepada Orang Melayu - Satu Pemahaman

Diterbitkan: Ahad, 4 Disember 2016 2:48 PM

AHLI perwakilan menyatakan sokongan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Persidangan Agung Umno di Dewan Merdeka, PWTC pada 3 Disember 2016. - ZZRAFIQ ALIAS/The Star

(Ubah saiz teks)

HAKIKAT yang perlu ditelan oleh pemimpin dan ahli Umno pada hari ini adalah kepimpinan, tauladan dan kehadiran Umno dalam gerakan massa makin jauh dari hati dan ingatan orang Melayu kebanyakan.

Banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya perkara ini. Namun yang pasti, inilah lumrah bagi mana-mana institusi politik seusia Umno.

Formula Umno selama ini yang mahu orang Melayu bergantung harap dan berterima kasih kepadanya hanya kerana Umno terlibat dalam kemerdekaan Malaysia, jaminan perlindungan hak-hak orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan; agenda ketuanan Melayu, dan penubuhan segala agensi dan institusi untuk memperjuangkan nasib dan masa depan orang Melayu dan Bumiputera, tidak lagi mampu menjadi daya penarik sokongan orang Melayu kepada Umno.

Kalau sekalipun semua di atas masih berkesan, Umno tidak mungkin berdepan dengan krisis keyakinan dalam kalangan orang Melayu dan rakyat seperti yang kita lihat pada hari ini.

Untuk itu, keperluan kepada suatu 'perjanjian' baharu antara Umno dengan orang Melayu perlu dibuat.

Dan sebelum 'perjanjian' tersebut dibuat, Umno perlu terlebih dahulu membuat 'tawaran-tawaran' baharu kepada orang Melayu majoriti, dan perjanjian ini akan dianggap termetrai apabila keputusan PRU-14 diumumkan.

'Tawaran-tawaran' yang perlu terkandung dalam 'perjanjian' ini pula mestilah berasaskan ke arah menangani cabaran orang Melayu hari ini dan strategi mempersiapkan generasi bangsa Melayu yang maju serta mampu berdepan dengan cabaran abad ke-21 pada masa akan datang.

Bak seperti peniaga, ‘tawaran-tawaran’ ini haruslah berlandaskan kepada citarasa dan kehendak 'trend' zaman kini, yang mana ekonominya dipacu oleh gelombang digital.

Sifar lahiriah tawarannya mestilah untuk merapatkan lagi jurang atau kesenjangan serta pembukaan peluang sama rata untuk semua. Dalam soal pendidikan pula, mestilah tertumpu kepada usaha untuk memastikan penyediaan pendidikan yang paling berkualiti untuk orang Melayu.

Agenda Islam juga terus dimartabatkan syiar dan keagungannya di Malaysia.

Melayu dan Bumiputera akan terus kekal sejahtera tinggal di dalam bandar serta kawasan-kawasan pertumbuhan strategik baharu, kerana kemampuan dankebolehupayaan mereka untuk bersaing.

Melayu juga mampu mengisi jutaan peluang pekerjaan yang bermutu yang menawarkan pendapatan tinggi, lantaran mereka mempunyai merit, kelayakan, ilmu dan pengetahuan. Dan bukan mengisinya atas asas kuota.

Amalan dan budaya politik Umno pada masa akan datang adalah yang mampu meraikan perbezaan pendapat dan pandangan. Pemimpin Umno pula dipilih dan diangkat berdasarkan sistem yang berpandukan merit dan kelayakan. Rasuah dan politik wang adalah perkara paling aneh yang disebut-sebut.

Agenda Umno pula adalah untuk kemaslahatan bangsa Melayu sejagat.

Hubungan antara kaum terus menjadi kekuatan kemajuan Malaysia. Tidak ada syak wasangka antara kita sesama bangsa Malaysia.

Inilah bentuk-bentuk 'tawaran' yang Umno perlu berikan kepada orang Melayu yang akhirnya menjadi sebuah 'perjanjian' yang perlu Umno terjemahkan apabila ianya termetrai.

Berlapang dadalah kerana Umno ini bukan milik pemimpin, bukan juga milik ahli-ahlinya. Umno ini milik orang Melayu dan kepada merekalah segala jasa dan budi perlu kita curahkan.


Artikel ini dikarang oleh Noor Azleen Bin Ambros, Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang pada 4 Disember 2016


Tags / Kata Kunci: Umno , Noor Azleen Bin Ambros

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan