'Rope Walk' Penyeri Pulau Mutiara

Diterbitkan: Selasa, 6 September 2016 9:09 PM

Azhar Ghazali dan anaknya, Ain Najwa memilih cemderamata di 'Rope Walk'.

(Ubah saiz teks)

‘Rope Walk’ tidak asing bagi penduduk Pulau Pinang, khususnya mereka di bahagian pulau. Namun bagi mereka yang datang dari luar Pulau Pinang, ‘Rope Walk’ adalah tempat menarik yang wajar dilawati kerana ia adalah salah satu keistimewaan di Pulau Mutiara.

‘Rope Walk’, yang terletak bersebelahan Stadium Bandaraya, secara mudah boleh diterjemah sebagai ‘Jalan Tali’. Tetapi jangan terkeliru kerana tidak ada tali atau jualan tali di sini.

Kawasan ini sebenarnya adalah pasar  awam terbuka yang menjual pelbagai barangan. Apa yang menarik dan menjadikan pasar ini lain daripada pasar lain ialah barangan yang dijual merupakan  kombinasi barangan lama atau antik dan barangan kegunaan harian semasa.

Di pasar ini, yang juga dipanggil ‘Pasar Karat’, banyak dijual barangan antik seperti jam, lampu, seterika, peralatan untuk hantaran perkahwinan, radio lama, pinggan mangkuk lama, buku lama dan pelbagai lagi.


Barangan lama seperti mesin kira, acuan bahulu dan alat penimbang juga dijual di 'Rope Walk'.

Barangan keperluan harian semasa pula adalah yang biasa terdapat di pasar pagi seperti pakaian, beg, tali pinggang, kasut, buah-buahan dan lain-lain.

Oleh itu pasar ini menjadi tumpuan orang ramai untuk meninjau dan membeli barang-barang antik, khususnya para pelancong luar. Para peminat barangan antik sudah pasti akan terpaut dengan pelbagai barangan lama yang dijual. Barangan sebegini tidak mudah diperoleh di mana-mana.

Selain barangan antik,  orang ramai juga boleh membeli pelbagai barang keperluan di pasar ini seperti pakaian, cenderamata,  buah-buahan dan lain-lain. Inilah keistimewaan pasar ini,  bagai serampang dua mata.

Kenapa tempat ini dinamakan ‘Rope Walk’? Menurut seorang penduduk Pulau Pinang, Mohd. Hashim, nama tersebut diberi nama tersebut bersempena lokasi asal pasar tersebut yang bermula di Jalan Pintal Tali sebelum berpindah ke lokasi sekarang.

Jalan Pintal Tali antara nama jalan bersejarah di Pulau Pinang. Nama ini diberi kerana pada kurun ke 19 wujud perusahaan membuat tali daripada sabut kelapa di jalan tersebut.


Jika anda mencari-cari lampu gasoline dan alat pertukangan lama, berkunjunglah ke 'Rope Walk' di Pulau Pinang.

Menurut Mohd. Hashim,  sabut-sabut kelapa dipintal dijadikan tali yang kukuh. Tali tersebut diangkut ke pelabuhan mengggunakan kereta tolak dan kereta lembu bagi kegunaan kapal yang berlabuh di pelabuhan.

Perusahaan pintal tali ini sudah tidak wujud. Namun Jalan Pintal Tali masih kekal, dibarisi oleh bangunan-bangunan kedai lama yang juga masih wujud serta menjalankan pelbagai perniagaan, termasuk kedai barangan logam (hardware).

Seorang lagi penduduk, Zulkarnain Ismail memberitahu, pasar Rope Walk ini beroperasi setiap hari. Bagaimanapun pada hujung minggu, terutama hari Ahad, jumlah pengunjung lebih ramai, termasuk pelawat dan pelancong dari luar.  Suasana memang agak sibuk dengan pengunjung tawar menawar membeli barangan pilihan mereka.

Katanya, keunikan pasar tersebut yang menjual barangan antik dan barang keperluan harian menjadi satu daya tarikan. Ia menjadi tempat pertemuan peminat barangan lama dan mereka yang datang ke pasar tersebut untuk membeli barang keperluan harian.

Bagi  mereka yang menggelar ‘Rope Walk’ ini  ‘pasar karat’ mungkin ia merujuk kepada barangan lama yang dijual di pasar tersebut. Tetapi ia bukan bermakna barangan yang dijual sudah berkarat. Sememangnya antara barangan lama yang dijual diperbuat daripada tembaga. Nampak malap tetapi apabila digilap memang memancar kilatnya.


Barang keperluan harian juga dijual di 'Rope Walk'.

Yang menarik, pasar ini terletak berhampiran rumah kelahiran Seniman Agong, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Rumah ini adalah antara destinasi pelancongan popular di Pulau Pinang dan sentiasa menjadi tumpuan pengunjung, khususnya pada hujung minggu atau waktu cuti.

Dari rumah ini, pengunjung hanya perlu berjalan beberapa meter sahaja untuk ke ‘Rope Walk’. Selepas meninjau rumah tempat tumpah darah P. Ramlee dan menghayati segala yang dipamerkan di dalam rumah tersebut, memang sesuai untuk melawat ‘Rope Walk’ pula.

Seorang pengunjung pasar tersebut yang sempat ditemui, Azhar Ghazali, memberitahu beliau mengunjungi  ‘Rope Walk’ untuk melihat sendiri barangan yang dijual di pasar tersebut di samping  membeli  cendermata lama dan baru.

Beliau yang datang dari Kuala Lumpur mendapat tahu mengenai pasar tersebut daripada seorang kawan yang mencadangkan beliau berkunjung ke pasar tersebut.

Menurut Azhar, pasar tersebut  memang menarik dan unik kerana menjual kombinasi barang-barang antik dan barangan keperluan harian dalam satu kawasan.

Beliau dan anaknya, Ain Najwa mengambil masa mengelilingi pasar tersebut dan membeli beberapa barangan cenderamata seperti T shirt dan barangan lama sebagai tanda kenangan untuk dibawa kembali ke ibu kota.

“Jika datang ke Pulau Pinang lagi, saya pasti akan mengunjungi  pasar `Rope Walk’. Belum habis mengelilingi pasar tersebut,” kata beliau.

Kepada anda yang berhasrat berkunjung ke Pulau Pinang, pastikan `Rope Walk’ termasuk dalam destinasi lawatan anda. Rasailah sendiri kemeriahan di pasar tersebut sambil memlilih barangan yang berkenan di hati.

Tags / Kata Kunci: Rope Walk

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan