Rasuah Penjawat Awam, Rakyat Sengsara

Diterbitkan: Sabtu, 27 Ogos 2016 11:00 AM

Seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar 'Datuk Seri' ditahan reman 16 Ogos lalu bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

(Ubah saiz teks)

TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersungguh-sungguh memburu penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk mengumpul kekayaan peribadi baru-baru ini, bukan sahaja harus dipuji, malah perlu disokong oleh setiap golongan masyarakat.

Tindakan ini memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kemampuan SPRM untuk berfungsi lebih cemerlang. Tetapi banyak lagi yang perlu dilaksanakan.

Bermula awal tahun ini, masyarakat didedahkan dengan kes seorang penjawat awam berpangkat Setiausaha Bahagian di Kementerian Belia dan Sukan menghadapi 32 pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM38.4 juta.

Beberapa minggu lalu, tiga pegawai kanan termasuk seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar Datuk Seri ditahan SPRM. Agensi itu bertindak membeku akaun simpanan berjumlah lebih RM13 juta milik tiga penjawat awam tersebut. 

Terkini, seorang Pengarah Urusan bank milik kerajaan bergelar Datuk pula ditahan kerana dipercayai terlibat penyelewengan dana berjumlah RM15 juta dan akaun bank berjumlah RM8.1 juta telah dibekukan.

Kemewahan yang dimiliki oleh pegawai-pegawai ini merupakan suatu perkara yang luar biasa. Ia tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah sektor penting yang diberi tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan kerajaan terbaik kepada rakyat.

Ia sekali gus boleh menghakis kepercayaan masyarakat apatah lagi merosakkan imej kerajaan di mata dunia.

Jika tidak dibendung, penyakit ini akan menjadi barah yang mungkin tidak dapat dikawal. Namun kita percaya kerajaan sedang berusaha ke arah itu dengan mengambil langkah-langkah lebih efektif.

Dalam hal ini, ketua kementerian, jabatan dan agensi perlu mengawasi dan peka terhadap ‘red flag’ gejala rasuah seperti mempunyai kakitangan yang hidup mewah berbanding pendapatan, terlalu rapat dengan pelanggan atau pembekal, enggan mengambil cuti atau menolak kenaikan pangkat.

Ketua-ketua ini juga perlu memperlihatkan contoh yang baik kepada anak-anak buah dengan menggunakan prinsip kepimpinan melalui teladan.

Selain itu, penjawat awam khususnya di peringkat tertinggi juga perlu sedar bahawa mereka sebenarnya diperhatikan oleh masyarakat kerana memikul tanggungjawab dan amanah yang penting.

Kita juga harus menganggap rasuah sebagai jenayah luar biasa dan hukumannya tidak boleh setara dengan jenayah biasa. Mereka perlu dihukum semaksimum mungkin oleh pihak mahkamah.



Harus diingatkan, pelaku rasuah bukan sahaja memberikan kesan yang negatif kepada diri sendiri malah ada yang kehilangan keluarga dan kawan karib.

Orang awam juga tidak terkecuali. Jangan sesekali cuba memberi rasuah kepada mereka ini kerana mereka juga boleh didakwa. Sogokan di peringkat bawahan inilah yang membuka jalan kepada gejala itu. Beri sokongan, kerjasama sepenuhnya dan lapor kepada SPRM jika ada permintaan rasuah.

Dalam pada itu, susulan tangkapan ini, diharapkan SPRM akan terus mengenalpasti semua penjawat awam yang terlibat dalam kegiatan rasuah, penggubahan wang haram, salah guna kuasa dan hidup di luar kemampuan dengan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka.

Semua wang yang diambil secara tidak sah daripada masyarakat perlu dirampas semula dan dipulangkan kepada rakyat untuk meningkatkan lagi kualiti kehidupan mereka.

Adalah tidak wajar membiarkan rakyat sengsara tatkala segilintir penjawat awam yang tidak bertanggungjawab hidup mewah di luar kemampuan mereka.

Malah misi SPRM membersihkan penjawat awam ini juga perlu diperluaskan ke sektor swasta juga kepada ahli-ahli politik korup yang juga menjadi harapan rakyat. Kajian Malaysia Corruption Barometer 2014 menunjukan bahawa parti politik paling korup, diikuti oleh polis dan penjawat awam.

Bagaimanapun, bagi mencapai kejayaan dalam usaha pembasmian rasuah serta mendapat kepercayaan rakyat, usaha perlu dilakukan secara berterusan, ikhlas dan menyeluruh tanpa pilih bulu. 


Dato’ Akhbar Satar
Presiden Transparency International Malaysia (Ti-M)

Tags / Kata Kunci: rasuah , SPRM , penjawat awam , salah guna kuasa

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan